KAK PAH, ANUAR ZIARAH BAKAL HAFIZ oleh Farihad Shalla Mahmud (Berita Minggu: B*Pop, 1 November 2009) |
Niat untuk membantu akhirnya membawa langkah mereka ke Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Huffaz, Batu 13 Puchong, Selangor petang Rabu lalu. Biarpun kedatangan mereka itu diiringi hujan lebat, namun itu bukanlah halangan untuk dua figura seni hebat ini menunaikan hajat yang tersimpan dalam hati selama ini. Kehadiran biduanita negara, Datuk Sharifah Aini dan penyanyi popular, Anuar Zain ke tahfiz terbabit disambut gembira pengetuanya, Ustaz Aminurrasid Che Ibrahim dan Ustaz Khalid Al Walid Ismail serta hampir 30 pelajar lain. Biarpun perkenalan Sharifah atau lebih akrab disapa Kak Pah dengan dua ustaz itu sudah terjalin berbelas tahun, namun inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke madrasah yang selama ini dibantunya secara diam-diam. Kedatangan Kak Pah bersama Anuar sebenarnya ada kaitan dengan siri persembahan amal, Datuk Sharifah Aini & Friends yang akan berlangsung mulai 4 Disember ini. "Kak Pah sudah mengenali dua ustaz berkenaan sejak 15 tahun lalu dan hubungan kami seperti adik beradik. Kak Pah sering mengundang mereka untuk majlis khatam al-Quran dan solat hajat di rumah Kak Pah setiap bulan. Malah, jika Kak Pah ada sebarang masalah termasuk perkara peribadi, kepada merekalah tempat Kak Pah mengadu. Kak Pah percaya pada mereka dan kerana itulah Kak Pah berasakan tahfiz ini perlu dibantu. Lagipun madrasah ini mengingatkan Kak Pah pada nostalgia lama sewaktu zaman persekolahan dulu. Masa di Johor dulu, Kak Pah bersekolah Arab.Jadi sekolah Arab itu memang sering dekat di hati. Justeru, atas perasaan itulah membuatkan Kak Pah terpanggil untuk membantu tahfiz ini dari segi mengutip dana untuk membiayai perbelanjaan harian," kata penyanyi yang terkenal menerusi lagu Sri Dewi Malam ini – hadir dengan jubah serta tudung rona hitam.
Sementara itu, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Lelaki Ini dan Ketulusan Hati, Anuar menyifatkan lawatan itu sebagai satu pengalaman baru buatnya sejak bergelar artis. "Seronok bersembang dengan mereka dan melayan setiap pertanyaan mereka. Pelbagai benda ditanya termasuk perihal karier saya sebagai penyanyi. Malah ada juga bertanyakan bilakah saya akan berkahwin. Biasalah, soalan wajib. Pun begitu, saya gembira kerana mereka dapat menerima kami (artis) dengan terbuka. Mereka tidak pernah menghukum. Mungkin hala tuju kita dalam mencari rezeki berbeza tetapi kita tetap sama. Saya juga teruja kerana ini kali pertama saya membuat kerja amal untuk rumah tahfiz. Sebelum ini pun saya pernah terbabit dengan majlis amal tetapi hanya membabitkan anak yatim dan ibu tunggal," kata Anuar.
INFO KONSERT DATUK SHARIFAH AINI & FRIENDS
Artikel lain yang berkaitan:
|