Penggiat seni industri hiburan masa kini cukup beruntung kerana menerima pengiktiraf atas hasil kerja seni mereka dari pelbagai penganjur majlis penganugerahan.  Jika keadaan ini berlaku di era tahun 70-80an saya amat yakin Sharifah Aini merupakan penyanyi yang paling banyak menghimpun koleksi pelbagai anugerah.  Populariti yang dikecapi cukup membanggakan kerana sehingga hayatnya namanya masih gah dan utuh di persada muzik tanahair.  Di awal pembabitannya, sebagai artis pringhitam (ketika itu, EMI Singapura), Sharifah Aini diterima sebagai artis pendatang baru yang cukup berbakat.  Popularitinya meningkat dari masa ke semasa sehinggalah zaman kemuncaknya sekitar tahun 1976-1979.  Di era 70an dan awal 80an, ramai rakan seperjuangannya yang juga pernah bernaung dengan syarikat yang sama seperti Rafeah Buang, Sanisah Huri, Kartina Dahari, Sarena Hashim, Uji Rashid satu demi mula menyepi dalam bidang rakaman ataupun berhijrah ke syarikat piringhitam yang lain, manakala pendatang-pendatang baru yang agak menonjol ketika itu, Rose Iskandar, Rosemaria, Gaya Zakry yang pernah dikatakan bakal mengambil tempatnya juga menghilangkan diri, namun Sharifah Aini terus disanjung sebagai penyanyi kesayangan ramai dan kekal bersama syarikat EMI.

Keunggulan dan kehebatan populariti Sharifah Aini tetap menjadikan beliau satu-satunya penyanyi yang paling banyak menerima anugerah 'Gold Disc' iaitu penjualan album melebih 50,000 unit.  Manakala 'Silver Disc' ke atas penjualan album melebihi 25,000 merupakan sasaran biasa bagi album-albumnya walaupun ia mendapat saingan dari album cetak rompak yang cukup berleluasa ketika itu.  Pencapaian sebegini sukar diraih oleh penyanyi-penyanyi lain terutama penyanyi solo di era tersebut.

Tanpa pendidikan formal bahasa Inggeris beliau telah membuat kejutan ke atas dunia hiburan tanahair apabila album Inggeris pertamanya FOREVER AND EVER (1977) laris di pasaran dan lagu-lagunya mendapat sambutan hangat.  Pencapaian yang hebat ini telah membuka ruang seluas-luasnya kepada Sharifah Aini apabila syarikat EMI memberi kepercayaan kepada beliau untuk melahirkan album Inggeris yang kedua WOMAN IN LOVE (1979) yang juga sukses di pasaran.  Malah cukup membanggakan apabila penjualan album-album Inggeris beliau mengatasi penjualan album-album Inggeris penyanyi-penyanyi tempatan ternama seperti Anita Sarawak, DJ Dave, Khadijah Ibrahim & Sudirman.  Itulah keistimewaan dan uniknya Sharifah Aini yang 'sentiasa menjadi dirinya sendiri' dan tidak terpengaruh atau menjadikan vokalnya sebagai 'klon' daripada penyanyi Barat.  Beliau telah menghasilkan 7 album Inggeris termasuk dua album kompilasi, Collection Plus 2 dan THE BEST of sharifah aini.

Bagaimanapun sekitar penghujung 80an dan awal 90an kegiatan seninya agak perlahan kerana dilanda pelbagai masalah peribadi.  Ketika itu trend muzik tempatan dikuasai irama rock dari kumpulan kegilaan remaja seperti Search, Wings, Lefthanded dan Ella & The Boys, manakala irama balada masih dapat bertahan dan terus diminati terutamanya dari artis wanita angkatan baru yang amat popular seperti Francissca Peters, Ramlah Ram, Siti Fairuz, Fauziah Latiff, Ziana Zain dan Nora.

Sharifah Aini bangkit semula di tengah-tengah kebanjiran kepelbagaian genre muzik dan munculnya ramai artis baru namanya kembali bersinar apabila konsertnya SHARIFAH AINI BERSAMA ORKESTRA KUALA LUMPUR pada tahun 1995 yang berlangsung untuk tiga malam berturut-turut mendapat sambutan luar biasa.  Kejayaan berganda apabila album 'live' SERAUT WAJAH SEMERDU SUARA sempena konsert tersebut yang diterbit dan dipasarkan pada penghujung tahun yang sama juga mendapat sambutan hebat apabila terjual melebihi 100,000 units dan layak menerima anugerah platinum.  Malah sebuah lagu rakaman studio yang terkandung dalam album tersebut, 'Seksa' yang digubah semula oleh S Atan diterima pendengar dan menjadi hit walaupun jarak populariti lagu tersebut yang asalnya dinyanyikan oleh kumpulan Ukay's dan versi rakaman semula Sharifah Aini tidak sampai setahun.  Ramai yang memuji lontaran hebat vokal Sharifah Aini telah menjadikan lagu tersebut bertambah indah, malah mampu bersaing dengan kehangatan irama dangdut bawaan Amelina & Iwan yang sedang menular ketika itu.

Di bidang lakonan pula beliau telah membintangi tiga buah filem sebagai pelakon utama, HAPUSLAH AIRMATAMU, SUMBER ILHAMKU dan BINTANG PUJAAN (SUPERSTAR).  Secara jujur saya lebih meminati beliau sebagai penyanyi dan beranggap mungkin tawaran filem yang diterimanya hanya sebagai medan untuk menguji bakat lakonannya.  Tiada anugerah besar yang diterimanya menerusi filem-filem tersebut walaupun Festival Filem Malaysia telahpun wujud ketika itu.  Festival Filem Malaysia yang pertama telah diadakan pada tahun 1980.  Bagaimanapun beliau pernah menerima anuegarah khas menerusi festival filem antarabangsa sebagai Pelakon Harapan Terbaik menerusi filem sulungnya, HAPUSLAH AIRMATAMU di Festival Filem Asia di Pusan (kini dikenali sebagai Busan), Korea Selatan. 

 

ANUGERAH & PENGHARGAAN

1976

  Anugerah Pelakon Harapan Terbaik bagi filem HAPUSLAH AIRMATAMU di Festival Filem Asia di Pusan (kini dikenali Busan), Korea Selatan

1978

  Anugerah Penyanyi Wanita Terbaik anjuran SENIMAN

1979

  Anugerah Penyanyi Paling Popular Era 70an anjuran PAPITA

1983

  Dianugerahkan pingat SMJ (Setia Mahkota Johor) oleh DYMM Baginda Sultan Johor sempena ulangtahun keputeraan baginda yang ke 51

1996

  Anugerah Penghibur Terbaik Sri Angkasa (RTM)

2000

 

  Anugerah Sri Wirama AIM 2000 anjuran Industri Rakaman Malaysia (RIM) Keputusan penuh

  Anugerah Pencapaian Seni Terbaik Tiga Dekad anjuran PAPITA Keputusan penuh

  Anugerah Suara Buluh Perindu oleh Nona Roguy

2001

  Artis Evergreen Paling Sensasi oleh Media Hiburan (Karangkraf)

  Anugerah Biduanita Negara (Nation Diva's of Song Award) sempena Hari Keputeraan Sultanah Kedah

2002

  Anugerah Emas ERA   

2003

  Dianugerahkan pingat PJN (Panglima Jasa Negara) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Yang Di-pertuan Agong XII

2004

  Anugerah Khas Bintang Popular anjuran Berita Harian 2003

  Kategori Artis Wanita Paling Banyak Menghasilkan Album tercatat dalam Malaysia Book Of Records (MBOR)

2005

  Anugerah Diva Sepanjang Zaman Malam Gala Gemilang Parti Cit Cat Ulang Tahun Ke-5 (PCC5)

2007

  Anugerah Tertinggi Biduanita Negara anjuran PAPITA Keputusan penuh

2012

  Anugerah Tokoh Hari Seniman 2012 anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Keputusan penuh

2013

  Anugerah Khas Malam Gala Seri Temasek II anjuran Hann's Entertainment dan disokong Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) Keputusan penuh

GALERI FOTO SHARIFAH AINI & FRIENDS turut disumbangkan oleh Zakariah Setiu & Ramli Ahmad