SHARIFAH AINI DIIKTIRAF BIDUANITA NEGARA

oleh Rozdan Mazalan  (Berita Harian: Jumaat, 29 Disember 2006)

BIDUANITA NEGARA: Sharifah Aini bersama trofi dan sijil dimenanginyaPembabitan selama 40 tahun dalam industri muzik dan seni suara tanah air adalah sumbangan besar anak seni ini, Datuk Sharifah Aini, 55, apabila menerima penganugerahan tertinggi oleh Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (Papita) pada majlis Anugerah Kecapi 2006 sempena Malam Semarak Kasih, baru-baru ini.

Beliau menerima anugerah tertinggi, Biduanita Negara berdasarkan pencapaian, jasa dan sumbangannya yang tidak ternilai untuk muzik Malaysia.  Dia adalah satu-satunya penyanyi tanah air yang juga digelar ‘diva evergreen’ dengan kemampuan menghasilkan 97 album dan mampu bertahan serta terus aktif sehingga kini.  Sharifah Aini yang lebih mesra digelar Kak Pah amat berterima kasih kepada Papita kerana mengiktiraf kerja seninya selama ini sehingga semangatnya terus berkobar untuk menghasilkan album ke-98 tidak lama lagi.

"Namun, saya kurang pasti sama ada saya berhak menerima anugerah ini.  Bagaimanapun, perlu saya akui, saya menyanyi bukan kerana wang.  Kemungkinan pada awal pembabitan saya menyanyi pada awal era 1970-an memang kerana wang tetapi apa yang saya lakukan sekarang kerana minat dan cinta terhadap industri ini.  Saya akan tampil dengan album baru pada 2007.  Doakan album itu berjaya dan diterima semua peminat yang selama ini sentiasa menyokong kerjaya seni saya.  Saya juga berjanji dengan nama Allah sekiranya sasaran penjualan album saya mencapai apa yang diimpikan, saya akan membawa 200 orang untuk bersama menunaikan ibadah haji,” katanya ketika menyampaikan ucapan ringkasnya pada majlis itu yang diadakan di Hotel Sunway Lagoon Resort, Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Kak Pah menerima trofi yang disampaikan Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Noriah Kasnon.

Beliau kini sentiasa setia bersama syarikat rakamannya sejak dulu, EMI dan mempunyai 97 album rakaman mahupun koleksi terbaik yang berjaya mendapat sambutan baik.  Selain merangkumi lagu berbahasa Melayu, beliau pernah merakam lagu dalam bahasa Inggeris dan Arab manakala lagunya juga terdiri daripada genre seperti pop, asli, joget, ghazal, inang, keroncong, zapin, deli hinggalah ke nasyid.  Malah, menerusi album Breaking The Silence, Kak Pah dengan suara emasnya itu mengabadikan bacaan beberapa ayat suci al-Quran termasuk terjemahannya.  Apa yang pasti, ia juga tidak pernah dibuat mana-mana penyanyi wanita Melayu sebelum ini.

Sempena anugerah itu, lebih 30 penerima lain yang terbabit dalam bidang nyanyian, penciptaan lagu, muzik dan lirik turut diberi penghargaan.  Anugerah Kecapi Papita diadakan lima tahun sekali menerusi pemilihan daripada panel berdasarkan ciri sumbangan, kejayaan dan pencapaian dalam tempoh berkenaan.

BINTANG LAMA, BARU DIHARGAI

oleh Rozdan Mazalan

TAHNIAH: Sharifah Aini menerima anugerah yang disampai Noriah sambil disaksikan Presiden Papita, M DaudSelain pembabitan artis veteran dihargai, Anugerah Kecapi Papita 2006 sempena Malam Semarak Kasih berjaya mengumpul sebilangan besar artis veteran yang selama ini banyak menyumbang dalam perkembangan industri muzik tanah air.  Malah, malam yang mengukir seribu kenangan kepada penggiat seni itu turut dihadiri lebih 100 artis veteran dan 600 tetamu lain termasuk artis baru dan muka popular yang dihimpun dalam majlis penuh gemilang.  Syabas buat penganjurnya, Persatuan Penyanyi Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita) yang mewujudkan satu majlis anugerah yang lain daripada yang lain kerana penerima anugerah dibuat berdasarkan penilaian tempoh sepanjang lima tahun sekali.

Presidennya, M Daud Wahid berkata, apa yang lebih memberi kepuasan bukanlah nilai sesuatu anugerah yang diberikan tetapi berbangga dapat mengumpul dan mengeratkan lagi hubungan sesama rakan artis lama yang jarang dapat dikumpulkan bersama.  “Dapat menyatukan semula artis veteran adalah kejayaan sebenar yang dikecapi bukan trofi atau wang ringgit yang boleh dibanggakan.  Saya amat terharu dan sebak melihat semula semua artis ini berkumpul dalam satu majlis demi menyokong segala pembabitan Papita terutama untuk menyemarakkan lagi industri seni muzik tanah air,” katanya.  Majlis berkenaan dirasmikan Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Noriah Kasnon.

Malam yang melakar seribu kenangan kepada tetamu yang hadir turut disajikan dengan persembahan yang jarang dapat kita saksikan.  Persembahan pembukaan daripada anak-anak penggiat seni dimulai dengan cucu kepada Datin Rosiah Chik iaitu Jimie Chik, J Mizan, Farah, Raffeah Bachik, Inas, Raja Iskandar, Ilmi, Lynn dan ramai lagi.  Manakala artis veteran dan baru yang turut menghiburkan tetamu yang hadir seperti, Datin Orchid Abdullah, Ahmad Jais, Jeffrydin, Zaiton Sameon, Amy Search, Dina dan Shamrin.

Sebanyak 34 anugerah telah diberikan kepada penggiat seni termasuklah beberapa anugerah khas yang difikirkan bersesuaian diberikan kepada mereka yang layak.  Antara anugerah khas yang diberikan termasuklah Anugerah Biduanita Tertinggi Negara yang telah diterima oleh Datuk Sharifah Aini, Anugerah Tokoh Kepimpinan Industri Muzik (Datuk A Rahman Hassan), Anugerah Penghibur Lagenda (Allahyarham Sudirman Hj Arshad) dan Anugerah Khas Penyanyi Sepanjang Zaman (Jeffrydin).  Manakala bagi Anugerah Kewartawanan Media Cetak dimenangi Berita Harian menerusi wartawan hiburanya, Akmal Abdullah dan Zainuri Misfar.  Anugerah Penghibur Lagenda 2006 dianugerahkan kepada Allahyarham Sudirman Arshad.  Trofi anugerah disampaikan kepada kakak Allahyarham, Datin Rodziah Arshad.

Rahman Hassan ketika ditemui berkata, beliau sering mengingatkan dirinya supaya selalu berpegang kepada sikap amanah sekiranya ingin menjadi seorang pemimpin yang baik.  “Namun, kejayaan ini tidak akan dicapai sekiranya tanpa kerjasama daripada ahli persatuan.  Pemimpin berusaha memberi buah fikiran dan pemimpin yang dilantik seharusnya diberi sokongan, jika tidak tanggungjawab yang dipikul amat sukar untuk dilaksanakan,” katanya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Bekas Suami Sharifah Aini Tersentuh Hati (Berita Minggu: Bi-Pop – 7 Januari 2007)

  Anugerah Kecapi Macam Hari Keluarga PAPITA (Harian Metro – Khamis, 28 Disember 2000)