DETIK KEGEMBIRAAN SHARIFAH AINI

(Mingguan Malaysia: Pancaindera, 21 Oktober 2001)

Barangkali inilah detik terbaik yang dirasakan oleh penghibur evergreen Sharifah Aini ketika ini.  Mana tidaknya, baru-baru ini dia menerima Anugerah Tertinggi Biduanita Negara daripada Sultan Kedah sempena kelahiran Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahman.  Ketika pihak lain seakan-akan menutup mata terhadap sumbangan bintang tahi lalat yang sudah lebih 30 tahun menghambakan diri pada bidang seni, anugerah itu bagaikan memberi satu semangat baru buat Sharifah.

Meluahkan perasaan gembira dan terharunya itu Sharifah berkata, rasa gembira berbunga di hatinya mengenangkan penghargaan yang diberikan oleh Sultanah Kedah.  "Saya dengan rasa rendah hati melahirkan rasa syukur dan terima kasih yang yang tidak terhingga kepada penghormatan yang baginda berikan," katanya kepada Pancaindera.  Sharifah menerima anugerah tersebut pada majlis Malam Setangkai Mawar Biru yang berlangsung di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Dengan tema warna biru firus, Sharifah anggun pada malam tersebut dengan mengenakan kebaya moden.  Sharifah menerima anugerah itu berikutan sumbangan dan komitmen jitunya dalam bidang seni khususnya seni suara.  Sebagai bintang sepanjang zaman Sharifah yang menerima anugerah tersebut daripada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah tidak keseorangan pada malam itu.

Sebaliknya, Sharifah turut berkongsi kegembiraan dengan personaliti sukan dan hiburan terkenal, Malek Noor.  Pada malam itu, Malek diberikan Anugerah Khas Atlet Serba Boleh, sementara pelukis karikatur majalah URTV, Syed Yusof Wafa pula menerima Anugerah Khas Pelukis.  Malam Setangkai Mawar Biru turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada Sharifah.  Penghibur itu menceriakan majlis dengan rangkaian lagu-lagu popularnya seperti Bunga Tanjung, Hati Yang Terluka dan Nour El-Ain.  Sharifah turut menghadiahkan koleksi cakera padat yang mengandungi lagu-lagu istimewa yang pernah dirakamkannya kepada Sultanah Kedah.

Tahniah Sharifah Aini