ANUGERAH SERI TEMASEK UNDANG NOSTALGIA

oleh Akmal Abdullah  (Berita Minggu: Bi-Pop – 10 Februari 2013)

Ada emosi terharu menerpa di hati setiap hadirin sejurus pengacara mengumumkan penerima Anugerah Legenda Sepanjang Zaman kepada bintang filem Melayu era 1940-an, Momo Latif.  Wanita berusia 92 tahun itu, masih kuat berjalan tetapi terpaksa dipimpin untuk naik ke pentas bagi menerima trofi berkenaan sempena Anugerah Seri Temasek 2013 yang berlangsung di Singapura, minggu lalu.

Bagi hadirin yang kebanyakannya pencinta dan peminat filem Melayu, Momo Latif adalah satu nama besar dalam sejarah perfileman Melayu kerana pelakon veteran ini mula terbabit dalam lakonan filem sejak penghujung 1930-an lagi, selain menjadi penyanyi piring hitam bermula pada 1941 menerusi lagu Bunga Sakura, Pohon Beringin dan Pulau Bali

Beliau menerima trofi dan hadiah wang tunai yang disampaikan Speaker Parlimen Singapura, Halimah Yacob sambil diiringi Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Md Afendi Hamdan.  "Terima kasih kerana masih mengingati saya ..." kata Momo dengan riak wajah yang tersenyum tanda ceria itu bagaikan menutupi kesedihannya apabila mukanya bagaikan terharu kerana jasa dan sumbangannya untuk dunia filem Melayu terus dikenang generasi kini.

MOMO LATIF TETAP DIHARGAI

Momo Latif dikenali ramai kerana turut berlakon dalam kebanyakan filem Melayu, antaranya karya P Ramlee seperti Pendekar Bujang Lapok, Musang Berjanggut dan Labu Labi.  Dalam filem Musang Berjanggut, beliau yang berpasangan dengan Raden Sudiro membawa watak sebagai ibu Puspawangi (lakonan seniwati Saadiah), manakala dalam Pendekar Bujang Lapok memainkan watak sebagai isteri Pendekar Mustar atau ibu kepada watak Ros (lakonan Roseyatimah).

Seniwati yang berasal dari Indonesia itu mula berhijrah ke Singapura ketika zaman gadisnya dan mula berlakon filem Melayu sejak penghujung 1930-an lagi, selain pernah aktif di pentas bangsawan dan nyanyian.  Nama sebenarnya ialah Momo Makarim dilahirkan pada1921.

Begitu juga seniwati Latifah Omar selepas menerima trofi, beliau dengan spontan berucap dengan gurindam sama yang pernah diucapkannya dalam sebuah filem Melayu klasik: "Tuai pada antara masak, esok jangan layu-layuan, intai kami antara nampak, esok jangan rindu-rinduan ..."  Ia adalah lagu dan dialog yang pernah dilafazkan dalam satu babak membabitkan beliau bersama Nordin Ahmad dalam filem Gurindam Jiiwa.

NORDIN AHMAD DIBERIKAN PENGIKTIRAFAN

Anugerah kedua tertinggi sempena Anugerah Seri Temasek 2013 diberikan kepada Allahyarham Nordin Ahmad, iaitu trofi Anugerah Legenda Kenangan Seri Temasek.  Nordin yang meninggal dunia pada usia 41 tahun di Hospital Besar Singapura pada 1971 akibat penyakit kuning terkenal dengan kehebatan mutu lakonannya seperti mana terserlah menerusi filem Semerah Padi, Seri Mersing, Hang Jebat dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.

Majlis anugerah berkenaan yang buat kali kedua diadakan itu selepas kali pertama dianjurkan pada 2011 adalah simbolik sebagai penghargaan terhadap jasa bintang seni veteran dalam dunia perfileman dan muzik, selain ia turut mengiktiraf pencapaian bakat muda yang terserlah dalam bidang berkenaan.  Ia dianjurkan Hann's Entertainment, syarikat pengurusan acara terkenal di republik itu, menerusi kerjasama FINAS.

Hadirin yang memasuki dewan besar hotel berkenan terpesona kerana mengundang nostalgia indah dengan pameran gambar babak dan bintang filem Melayu klasik di sekitarnya, selain iringan muzik Melayu tradisi bergema.  Anugerah Gemilang Seri Temasek dihadiahkan kepada seniwati Latifah Omar, Datuk Dr Ahmad Nawab, Datuk Sharifah Aini, Mariani Ismail dan M Rawi.  Bagi Anugerah Seri Temasek diberikan kepada Datuk Aziz Singah, S Shamsuddin, Ahmad Idham, Datin Umi Kalthum, Mat Sentul, A Galak, Salmah Ahmad, Wirdaningsih, Pansha dan Fredo.

Anugerah Pencapaian Seri Temasek diberikan kepada penyanyi Jamal Abdillah dan Bob Tutupoly, Anugerah Harapan Seri Temasek disampaikan kepada Taufik Batisah, Aniu, Shaheizy Sam, Adrian Teh Kean Kok dan Adi Putra.  Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Halimah berkata, penganjuran anugerah berkenaan penting sebagai usaha berterusan mengenang jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh angkatan anak seni zaman dulu untuk dihargai generasi sekarang, selain dapat menyatu-padukan penggiat seni membabitkan Singapura, Malaysia dan Indonesia.    Keputusan penuh

KERJASAMA DITERUSKAN

Md Afendi dalam ucapannya pula simbolik Anugerah Seri Temasek dianjurkan adalah ruang untuk memanfaatkan perkongsian dalam kerjasama antara penggiat filem Malaysia, Singapura dan Indonesia kerana ia berkait dengan dunia seni serumpun yang sudah lama berkembang di antara negara terbabit.  "Kerjasama ini harus diteruskan.  FINAS akan berusaha menjadikan perkembangan filem nasional ke arah lebih gemilang," katanya.  Majlis lebih dua setengah jam itu dihadiri lebih 800 hadirin, berlangsung di Hotel Fairmont, Singapura.  Hadir sama, Ketua Pengarah FINAS, Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah; Penasihat Anugerah Seri Temasek 2013 yang juga seniman Datuk Mustapha Maarof, Pengarah Urusan Hann's Entertainment, Hanns Rawee.

Antara penggiat filem dari Malaysia yang hadir termasuk produser Datuk Yusuf Haslam, David Teo, Richard Ng dan Naib Presiden Bahagian Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh.  Turut bersama ialah seniman Datuk Aziz Sattar, Datuk Mustafa Ton dan Neng Yatimah.

Artis yang membuat persembahan termasuk Datuk Ahmad Nawab yang bermain saksofon sambil lagunya didendangkan Jamal Abdillah, manakala Wirdaningsih mengajak peminat bersama menyanyikan lagu Ayam Den Lapeh.  Fredo turut mengembalikan kenangan kepada populariti kumpulan Flybaits pada era 1970-an menerusi lagu Kenangan Lalu.  Sketsa komedi dijayakan Os dengan Isma Aliff, manakala pengacara majlis ialah Didie Alias dan Suhaimi.

Turut membuat persembahan ialah Adi Putra dan Taufik Batisah, selain bakat baru, Amir Ariff dan P Ramlee Singapura atau nama sebenarnya Shafie Hazmah.  Pada hari sama sebelah siangnya diadakan Bicara Filem yang memperkatakan topik mengenai pengisian dan pembikinan dilem KL Gangster arahanan Syamsul Yusof.  Filem itu dipilih kerana mencipta sejarah menjadi filem yang mendapat kutupian tertinggi di Malaysia dengan catatan RM12 juta.