SHARIFAH AINI SAKIT TEKAK TETAPI HEBAT

oleh Rosli Manah  (Utusan Malaysia: Jumaat, 16 Mei 2003)

Sakit tekak pada saat-saat untuk mengadakan persembahan adalah sesuatu yang amat menakutkan.  Ini adalah fobia semua penyanyi.  Membatalkan persembahan bukanlah jawapan yang mudah diterima.  Mereka terpaksa memenuhi kehendak peminat yang menantikan persembahan.  Malah peminat telah mengeluarkan wang bagi menyaksikan persembahan tersebut.  Itulah situasi yang dialami oleh biduanita Sharifah Aini semasa muncul menghiburkan peminat dalam persembahan 'Sepetang Bersama Sharifah Aini: Syurga Di Telapak Kaki Ibu'.

Semasa menyanyikan lagu pertama, 'Syurga Di Telapak Kaki Ibu', Sharifah Aini baru sedar yang dia mengalami sakit tekak kerana tidak cukup tidur.  Sharifah Aini menyatakan rasa marahnya kepada diri sendiri kerana tidak dapat memberikan persembahan terbaik kepada peminatnya yang datang dari seluruh negara ke Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur Ahad lalu.

"Saya bukan menyanyi untuk wang semata-mata.  Tujuan utama saya adalah untuk menghiburkan anda semua.  Jika hanya kerana mahukan wang tentu saya tidak akan memiliki perasaan seperti ini," kata Sharifah Aini dengan suara yang serak dan kadang-kadang batuk.  Ungkapannya itu disahut dengan laungan menyokong daripada peminat yang mengatakan mereka terhibur.  "Sharifah Aini, kamu hebat," laung peminatnya yang membuatkan penyanyi itu bersemangat untuk terus menari di pentas.

Peminatnya yang datang dari jauh sudah cukup terhibur dapat meraikan Hari Ibu bersama penyanyi pujaan mereka.  Menatap dan bersua dengan Sharifah Aini dari dekat telah cukup membuatkan mereka gembira.  Apatah lagi itu adalah hadiah anak-anak kepada mereka.  Nyata apabila Sharifah Aini turun ke pentas menyampaikan hadiah kepada ibu-ibu, dia dikerumuni, dicium dan dipeluk oleh peminat setia.

Dia menyanyikan lagu-lagu 'Ibu', 'Ayah Dan Ibu', 'Kasihnya Ibu', 'Terbang Helang', 'Seroja', 'Hapuslah Airmatamu', 'Mawar Putih Untuk Mama' dan banyak lagi.  Sharifah Aini cuba menyampaikan lagu 'Bunga Tanjung' dengan berhati-hati agar dapat melindungi sakit tekak yang dialami.  Lagu tersebut adalah lagu terbaik yang disampaikan petang itu.  Kelihatan Sharifah Aini senyum kembali apabila merasa sedikit kepuasan.

Kemudian penyanyi itu menghangatkan lagi suasana dengan lagu dangdut 'Kau Pergi Tanpa Pesan'.  Gelekannya menghiburkan.  Pemilihan lagu-lagu dalam persembahan itu paling menarik dan menghiburkan semua golongan.  Lagu pop 70-an, tradisional, dangdut, ala Arab dan Latin dipersembahkannya.  Pelawak Dee dan Moon turut menggamatkan suasana dengan lawak bersahaja mereka.  Mereka muncul dengan gaya Sharifah Aini.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Merenjis Kasih Di Hati Ibu (Mingguan Malaysia: Pancaindera 18 Mei 2003)

  Persembahan Sharifah Aini Laris (Utusan Malaysia Jumaat, 9 Mei 2003)

  Sharifah Aini - Peluang Peminat Dekatinya (Utusan Malaysia Selasa, 15 April 2003)