SHARIFAH AINI – PELUANG PEMINAT DEKATINYA oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin (Utusan Malaysia: Selasa, 15 April 2003) |
Bertuahlah bagi mereka yang masih berkesempatan mengungkap rasa kasih dan sayang kepada insan yang melahir dan membesarkan. Budi seorang ibunda yang mengandung selama sembilan bulan, melahir dan membesarkan dengan tulus kasih sayang mungkin akan menjadi hutang yang tidak akan terlunas sampai bila-bila sekalipun. Betapapun sumbangannya kepada anak dan keluarga, seorang ibu tidak meminta apa-apa sebagai balasan baktinya. Cukup hanya dengan menghargai ketika hayatnya masih di kandung badan dan cintanya berbalas dengan kejayaan zuriatnya dalam kehidupan. Mengajak masyarakat menghargai kaum ibu, penyanyi Sharifah Aini akan muncul dalam persembahan istimewa pada 11 Mei depan. Persembahan eksklusif 'Syurga Di Telapak Kaki Ibu' dan 'Sepetang Bersama Sharifah Aini' ini akan berlangsung di Dewan Perdana Felda, Jalan Maktab off Jalan Semarak, Kuala Lumpur. "Saya seorang ibu. Justeru, saya mahu berkongsi rasa kasih dan sayang seorang anak terhadap ibu dan seorang ibu kepada anak dalam persembahan ini," jelas biduanita kesayangan ramai ini ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Sharifah Aini berharap majlis berkenaan akan mendapat perhatian daripada individu bergelar anak untuk membuat kejutan dan menghargai segala pengorbanan mereka. "Saya tidak berani menjanjikan persembahan istimewa. Cuma cukup kalau saya katakan setiap kali muncul di pentas saya akan memberikan yang terbaik kepada penonton," jelasnya lagi. Sementara itu menurut Pengarah Urusan, Mahir Entertainment, Normahiran Yusof, biduanita berkenaan dipilih untuk persembahan berkenaan kerana nama besarnya dalam dunia hiburan tempatan. "Di samping itu persembahan ini sesuai dengan status Sharifah Aini sebagai seorang ibu dan penghibur kebanggaan negara," katanya lagi. Normahiran berharap majlis ini menjadi pilihan individu bergelar anak yang mahu memberi kejutan kepada orang tuanya. "Majlis hiburan eksklusif ini pasti tidak akan dilepaskan oleh anak-anak untuk meraikan bersama ibu masing-masing," katanya. Sambil dihiburkan dengan alunan suara merdu Sharifah Aini, hidangan petang turut disediakan oleh D'Saji di samping menyaksikan pameran Pods & Petals yang akan diadakan di ruang legar dewan berkenaan. "Peminat juga berpeluang membeli album terbaru Sharifah Aini berjudul 'Syahdu' dengan harga istimewa dan mendapat poster serta foto terbaru beliau," kata Normahiran lagi. Memberi lebih makna pada persembahan berkenaan, pelawak Dee & Moon turut diundang untuk memeriahkan majlis di samping acara baca puisi khusus untuk golongan ibu. Tiket dijual dengan harga RM150. Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi talian 03- 9057 7725 atau 019-212 9029. Artikel lain yang berkaitan: Sharifah Aini Merenjis Kasih Di Hati Ibu (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 18 Mei 2003) Sharifah Aini Sakit Tekak Tetapi Hebat (Utusan Malaysia – Jumaat, 16 Mei 2003) Persembahan Sharifah Aini Laris (Utusan Malaysia – Jumaat, 9 Mei 2003) |