SHARIFAH AINI MERENJIS KASIH DI HATI IBU

(Mingguan Malaysia: Pancaindera, 18 Mei 2003)

"MUMMY, Aliff akan sentiasa mendoakan mummy supaya kita sama-sama dapat masuk syurga."  Mesej ringkas itu dihantar oleh putera tercinta Sharifah Aini dari Madinah, Aliff minggu lalu bersempena dengan Hari Ibu.  Ia benar-benar menyentuh perasaan penghibur itu.  Mesej berkenaan kata Sharifah, menyimpan makna yang cukup mendalam baginya.  Menurut Sharifah Aini, tidak ada hadiah lain yang lebih berharga berbanding dengan doa anaknya itu bersempena dengan Hari Ibu.  "Sebaik membaca mesej berkenaan, hati saya terusik dan saya menangis kerana teringatkan anak saya yang tidak pernah berhenti mendoakan kesejahteraan ibunya," ujar Sharifah Aini dalam satu pertemuan dengan media selepas mengadakan persembahan 'Sepetang Bersama Sharifah Aini: Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu' di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis yang diadakan sempena Hari Ibu itu dianjurkan oleh syarikat pengurusan, Mahir Entertainment & Production di Dewan Perdana Felda, Kuala lumpur.  Apa yang amat bermakna buat Sharifah juga ialah, anaknya yang sedang melanjutkan pelajaran di tanah suci itu juga memberitahu yang dia akan mengadakan solat hajat untuk memohon kesejahteraan ibunya.  Barangkali tidak semua wanita menjadi ibu tetapi semua wanita mempunyai ibu.  Jadi tema 'Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu' memang sesuai dengan semua orang kerana mereka mempunyai ibu.  Petang itu mesej daripada persembahan Sharifah Aini ialah selain memburu kehidupan, kita jangan lupa kasih sayang yang pernah diberikan oleh seorang wanita bernama ibu.

"Saya terlalu merindu Aliff," lafaz Sharifah Aini ringkas.  Biarpun jauh di dasar hatinya, dadanya sarat menanggung kerinduan, namun pada petang yang cukup bermakna untuk ibu-ibu yang menghadiri majlis minum petang itu, Sharifah tidak lupa tanggungjawabnya.  Menghiburkan tetamu menjadi tugasnya dan beliau telah meninggalkan hiburan yang cukup bermakna kepada tetamu yang seramai 1,200 orang itu.  Petang itu juga, Sharifah turut membuatkan ramai yang sebak apabila tanpa berselindung beliau mendedahkan yang kesihatannya tempoh hari tidak begitu baik berbanding dengan hari-hari sebelum ini.

"Saya bagaikan mahu memarahi diri saya kerana tidak mampu untuk memberikan sebuah persembahan yang sempurna kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.  Tetapi, saya sedar saya hanya manusia kerdil dan tidak mampu melawan kuasa takdir.  Apa pun, saya bersyukur kerana Tuhan terus memberi kekuatan kepada saya untuk menghiburkan anda semua," katanya yang turut menitiskan air mata ketika mengadakan persembahan hampir dua jam tanpa henti.  Sharifah yang sudah lebih tiga dekad memperjuangkan seni cukup dihormati kerana sudah berada di kedudukan yang tersendiri.  Tanpa perlu dibandingkan dengan mana-mana penyanyi, legenda bersuara emas itu dikagumi kerana bijak menawan hati peminat kala di atas pentas.

Petang itu juga menyaksikan kebijaksanaan Sharifah Aini menghadapi beberapa masalah termasuk kesihatannya yang tidak memuaskan termasuk masalah teknikal.  Demikian juga dengan gelagat peminat-peminat beliau yang di luar jangkaannya, turut dihadapinya dengan tenang sekali.  "Sebetulnya, saya sedang `berperang' dengan diri saya sendiri ketika di pentas.  Bagaimanapun, syukur kerana saya boleh menghadapinya dengan tenang," kata Sharifah Aini lagi.  Sepanjang mengadakan persembahan tempoh hari, penyanyi itu diiringi oleh sekumpulan pemuzik profesional diketuai oleh pemuzik ternama, Ramli M.S.  Antara koleksi lagu klasik nyanyian beliau yang menarik perhatian tetamu tempoh hari ialah 'Ibu', 'Terbang Helang', 'Seroja', 'Hapuslah Airmatamu', 'Bunga Tanjung' dan lain-lain lagi.

Menonton persembahannya tempoh hari juga, apa yang paling jelas dapat menggambarkan kedudukan beliau ialah, Sharifah Aini merupakan seorang penghibur yang akan terus relevan dan diperlukan oleh dunia hiburan tanah air.  Pengalaman dan bakat seninya cukup luar biasa dan harus menjadi teladan bagi generasi muda.  Justeru, tidak hairanlah mengapa beliau sendiri masih tidak jemu untuk terus berkarya dan terbaru penghibur berdarah Arab itu sedang dalam proses menghasilkan sebuah album yang memuatkan khazanah lagu Melayu.

September depan pula, Sharifah akan ke Istana Budaya, Kuala Lumpur, untuk meneruskan komitmennya mempertahankan irama Melayu yang sudah begitu sebati dengan jiwanya.  "Semua yang saya lakukan semata-mata untuk kemajuan industri muzik tanah air," katanya mengakhiri perbualan tempoh hari.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Sakit Tekak Tetapi Hebat (Utusan Malaysia Jumaat, 16 Mei 2003)

  Persembahan Sharifah Aini Laris (Utusan Malaysia Jumaat, 9 Mei 2003)

  Sharifah Aini - Peluang Peminat Dekatinya (Utusan Malaysia Selasa, 15 April 2003)