KAK PAH POHON MAAF oleh Roni Hidayat Ridwan (Kosmo!: Selasa, 19 Oktober 2010) |
Setelah beberapa kali melaksanakan umrah sebelum ini, tiada apa yang lebih menggembirakan buat penyanyi tersohor negara, Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah apabila berpeluang untuk menunaikan haji pada tahun ini. Kak Pah ketika ditemui baru-baru ini berkata, dia akan berangkat ke Tanah Suci Mekah bersama jemaah haji yang lain pada 3 November ini. Ujarnya, segala persiapan telah dibuat dan ketika ini dia juga sibuk menghadiri kursus persediaan sebelum melaksanakan rukun Islam yang kelima itu. "Pada kesempatan ini, saya ingin meminta maaf sekiranya ada berlaku sebarang kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini. Terutama sekali kepada rakan-rakan serta pihak media sekiranya kalau saya pernah melukakan hati anda semua. Ini merupakan kali pertama saya melaksanakan ibadah haji dan sudah tentu saya mengharapkan untuk mendapat haji yang mabrur. Semasa berada di sana nanti, saya juga akan ditemani oleh anak saya, Aliff yang sebelum ini sudah empat kali menunaikan haji," ujarnya. Ujar Kak Pah lagi, setelah kembali daripada melaksanakan ibadah tersebut, dia juga meminta agar semua pihak tidak menganggap dirinya akan berubah 100 peratus selepas ini. Ujarnya, karier sebagai seorang penyanyi masih akan diteruskan memandangkan ia adalah sumber mata pencariannya. Bagaimanapun, tiga hari sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah, Kak Pah turut berkesempatan untuk membuat satu persembahan majlis makan malam amal, Malam Juitaku Sayang yang akan diadakan pada 31 Oktober ini. Ia dianjurkan oleh Seri Dewi Production Sdn. Bhd dan Lima Events Management serta diadakan di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Dalam satu sidang media baru-baru ini, Kak Pah memberitahu antara matlamat utama majlis berkenaan dianjurkan adalah untuk mendapatkan sumbangan yang akan diagihkan kepada dua sekolah tahfiz iaitu Madrasah Tahfiz Baitul Mahabbah, Shah Alam dan Darul Uloom Islamiah, Kuala Lumpur. "Sepatutnya majlis ini diadakan pada 15 Oktober di Dewan Perdana Felda. Namun atas sebab-sebab tertentu, tarikh dah tempat terpaksa diubah. Untuk persembahan tersebut sebanyak 50 buah meja disediakan dengan harga yang berbeza dikenakan iaitu di antara RM350 dan RM450 seorang. Sebarang tempahan, boleh menghubungi talian 019-248 8054 atau 012-933 2373 atau emel ke limeevent@gmail.com. "Untuk tidak menghampakan peminat yang ingin datang, pihak kami juga turut menawarkan harga serendah RM200 tetapi tidak termasuk makan malam. Alhamdulillah, setakat ini hampir kesemua meja telahpun berjaya dijual dan kebanyakan tempahan bukan sahaja daripada Kuala Lumpur, malah ada juga yang datang dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura," ujarnya. Menurut Kak Pah, bagi menjayakan majlis tersebut, tetamu juga akan turut dihiburkan dengan penampilan khas artis veteran, Datuk Ahmad Jais dan penyanyi remaja, Syazliana yang akan turut sama-sama membuat persembahan. "Datuk Ahmad Jais akan menyampaikan lapan buah lagu, manakala Syazliana pula akan menyanyikan enam buah lagu. Sementara itu, saya sendiri akan menyanyikan sebanyak 20 hingga 25 buah lagu pada malam itu. Pemilihan lagu-lagu pula dibuat berdasarkan permintaan daripada peminat sendiri. Seboleh-bolehnya saya mahu setiap orang yang hadir pada majlis itu nanti akan berasa puas memandangkan mereka telah mengeluarkan wang yang banyak dan saya tidak mahu mereka rasa tertipu," jelasnya. Bagi menjayakan majlis itu nanti, Kak Pah memberitahu dia sendiri telah memperuntukkan kos sebanyak RM150,000 untuk keseluruhan kos majlis amal tersebut. Malah, Kak Pah juga menyasarkan untuk membantu sebanyak 15 buah sekolah yang memerlukan bantuan kewangan dengan penganjuran majlis-majlis sebegini. Artikel lain yang berkaitan: Bertudung Bila Sampai Waktu (Utusan Malaysia – Selasa, 19 Oktober 2010) Panggilan Haji Kak Pah (Harian Metro – Khamis, 14 Oktober 2010) |