PANGGILAN HAJI KAK PAH

oleh Nor Akmar Samudin  (Harian Metro: Khamis, 14 Oktober 2010)

Selepas 15 kali mengerjakan umrah, 3 November ini biduanita negara, Datuk Sharifah Ani (Kak Pah) akan berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan fardu haji pula.  Dia ke sana bersama pembantu rumahnya, Mus, yang sudah 19 tahun bekerja dengannya dan dua adik.  Anak lelaki tunggalnya, Aliff Omar, 27, yang menuntut di Universiti Madinah dalam jurusan Perundangan Islam peringkat ijazah akan menyambut kedatangannya dan akan turut serta mengerjakan haji bersama Kak Pah.  Dia yang ditemui selepas sidang akhbar Majlis Makan Malam Amal Malam Juitaku Sayang di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, kelmarin, berkata, sepatutnya dia mengerjakan ibadah haji 10 tahun dulu, namun hasrat itu hanya terlaksana sekarang.

"Jangan ditanya kenapa saya tidak mengerjakan ibadah haji 10 tahun dulu kerana saya tiada jawapan untuk itu.  Hanya Allah swt yang tahu kenapa.  Bagaimanapun, saya bersyukur kerana hari itu datang juga.  Aliff sangat gembira kerana selain dapat berjumpa dengannya di sana, dia juga akan menemani saya sepanjang berada di Makkah dan Madinah.  Berjauhan dengannya memanglah rindu tetapi setiap tahun dia balik bercuti selama dua bulan.  Sekarang pun dengan adanya pelbagai alat komunikasi canggih seperti SMS dan sebagainya, yang jauh terasa dekat.  Beruntungnya Aliff belajar di sana kerana sudah tiga kali dia mengerjakan ibadah haji dan jika selepas tamat pengajian dua tahun lagi, dia mahu terus tinggal di Madinah pun saya relakan.  Bagaimanapun, bagus juga sekiranya Aliff mahu balik berkhidmat di negara sendiri.

"Saya juga bertuah kerana sepanjang di Makkah nanti, Aliff akan menjadi mutawif saya.  Inilah detik yang paling saya nantikan.  Alhamdulillah, selama enam tahun belajar di sana, bahasa Arab Aliff juga semakin bagus," katanya.  Walaupun sudah berbelas kali mengerjakan umrah, namun tanggungjawab mengerjakan ibadah haji lebih berat.  Oleh itu, Kak Pah membuat persediaan rapi termasuk mendalami lagi cara bersolat yang betul dan segala hukum hakam mengenai rukun haji yang perlu jelas serta dilakukan dengan sempurna.  Saya sedang berkursus haji untuk menambah kefahaman mengenai rukun haji, apa yang boleh dan tidak boleh dibuat di sana.  Sekiranya saya tidak berkesempatan untuk berkursus haji di kelas yang disediakan, saya akan panggil ustaz datang ke rumah.  Semoga saya akan mendapat haji yang mabrur," katanya.

Bergelar hajjah nanti, Kak Pah juga ditanya mengenai imejnya sama ada mahu bertudung atau kekal dengan imej sedia ada.  "Selama ini saya tidak pernah bercakap mahu pakai tudung atau tidak dan tidak semestinya dengan gelaran hajjah saya perlu bertudung.  Barangkali ramai tidak tahu, tanpa bertudung pun saya selalu menutup rambut saya dengan memakai rambut palsu.  Saya bertudung apabila saya benar-benar bersedia untuk melakukannya.  Saya juga akan berubah kerana Allah swt dan bukannya disebabkan orang lain.  Soal bertudung atau tidak, ia tidak memberi tekanan kepada saya langsung."

"Buat masa sekarang, saya bertudung mengikut kesesuaian majlis.  Seperti hari ini, saya bertudung kerana gigi sakit menyebabkan pipi nampak bengkak dan untuk melindunginya saya bertudung.  Orang kita suka sangat menentukan hidup orang lain tetapi saya tidak perlu peduli dengan cakap dan pandangan orang lain terhadap saya.  Jangan mudah sangat masyarakat menilai seseorang menerusi pakaiannya, paling utama keikhlasan saya terhadap Allah swt," katanya.

Mengenai majlis makan malam amal itu, Kak Pah sanggup berhabis wang mengadakan persembahan amal membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.  Untuk setiap konsert amal yang dilakukannya, dia akan menghabiskan sekurang-kurangnya RM150,000.  "Walaupun ia konsert amal bagi mencari dana untuk rumah kebajikan, saya perlu menanggung kos membayar artis yang membuat persembahan pada malam itu dan pemuzik.  Saya faham situasi mereka yang mencari rezeki menerusi bidang ini.  Selain dapat membantu anak yatim, saya juga memberi peluang kepada ahli muzik mencari rezeki menyara keluarga mereka.  Sebab itulah, harga konsert saya mahal sedikit.  Selepas ditolak semua kos, segala keuntungan itu saya salurkan kepada mana-mana rumah kebajikan dan sekolah tahfiz.  Setakat ini, sepanjang penganjuran konsert amal yang dibuat syarikat saya, Seri Dewi Production dan Lime Events, kami tidak mengumpul sebarang keuntungan pun kerana saya ikhlas untuk memberi.

"Insya-Allah, selepas ini saya akan mengadakan satu konsert bukan bertujuan kebajikan sekurang-kurangnya setahun sekali.  Wang itu nanti boleh digunakan untuk modal syarikat saya mengadakan konsert amal lain," katanya.  Pada malam itu, Kak Pah akan membawakan 20 hingga 25 lagu yang disusun semula oleh Belle Fatah dan Faizal Loke Yew.  Kak Pah turut menjemput penyanyi veteran, Datuk Ahmad Jais dan Syazliana sebagai penyanyi undangan dan turut berduet dengan mereka.

Ahmad Jais sendiri akan menyanyikan 10 hingga 11 lagu.  Majlis makan malam amal itu yang sepatutnya diadakan Jumaat ini ditunda pada 31 Oktober dan akan diadakan di Pacific Ballroom, Aras 2, Hotel Seri Pasific, Jalan Putra Kuala Lumpur.  Mengenai pemilihan Ahmad Jais, Kak Pah berkata, waktu remaja dulu dia selalu buat persembahan bersamanya.  "Apabila saya kena buli, dia yang membela saya.  Bagaimanapun, sudah lebih 30 tahun kami tidak menyanyi bersama.  Saya amat mengagumi suaranya yang masih tidak berubah dari dulu," katanya.

Untuk majlis makan malam amal ini, sebanyak 50 meja dijual dan 38 meja sudah dijual kebanyakannya kepada syarikat korporat.  Untuk pertanyaan lanjut, e-mel ke limeevent@gmail.com.  Tiket dijual mengikut meja (10 orang setiap meja) dengan harga RM3,500, RM4,500 dan RM7,500.  Bagi yang ingin membuat tempahan secara individu, tiket berharga RM450 dan RM200, tidak disediakan makan malam.  Hasil kutipan pada malam itu akan disalurkan kepada Madrasah Tahfiz Baitul Mahhabbah, Shah Alam dan Darul Uloom Islamiah Surau Jamal Assurur, Kuala Lumpur.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Pohon Maaf (Kosmo! Selasa, 19 Oktober 2010)

  Bertudung Bila Sampai Waktu (Utusan Malaysia Selasa, 19 Oktober 2010)