BERTUDUNG BILA SAMPAI WAKTU

oleh Shazryn Mohd Faizal  (Utusan Malaysia: Selasa, 19 Oktober 2010)

Apabila melihat imej bertudung yang digayakan oleh Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini dalam beberapa majlis hiburan baru-baru ini, ramai yang mengandaikan beliau sudah berhijrah.  Sementelah dengan pemergiannya ke Tanah Suci Mekah pada 3 November ini bagi menunaikan ibadah haji, ia menguatkan lagi kenyataan itu.

Namun, bagi empunya diri, dia hanya akan berhijab apabila sudah sampai seru dan benar-benar bersedia untuk melakukannya meskipun sudah pulang dari Mekah nanti.  "Saya tidak mahu memakai tudung hanya kerana desakan masyarakat yang mahu melihat saya berimej sebegitu.  Kalau hendak memperkatakan tentang imej berhijab ini, biarlah dari hati yang tulus dan ikhlas dan bukannya semata-mata mahu memuaskan hati semua pihak.  Biar kita bertudung dengan niat kerana Allah SWT.  Kalau saya rasa mahu memakai tudung dalam mana-mana majlis sekalipun, tidak salah untuk saya berbuat demikian," demikian penjelasan Sharifah Aini menyatakan pendiriannya.

Dia ditemui pada sidang akhbar Majlis Makan Malam Amal Malam Juitaku Sayang yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, baru-baru ini.  Turut hadir Biduan Negara, Datuk Ahmad Jais dan penyanyi muda, Syazliana yang juga akan terlibat dalam persembahan itu pada 31 Oktober ini.

Raut wajah Sharifah Aini terpancar jelas kegembiraan yang tidak terkata saat diajak berbicara tentang fardu haji yang akan ditunaikannya nanti.  Dengan penuh optimis dia memberitahu, dia memang sudah mempersiapkan diri secara mental dan fizikal untuk bersama-sama jutaan umat Islam di seluruh dunia bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Kunjungannya ke sana bukan keseorangan tetapi akan disertai juga oleh beberapa individu yang rapat dengan Sharifah Aini iaitu pembantu, adik lelakinya, sepupu dan termasuk anak tunggalnya, Aliff Omar.  "Apabila saya berfikir balik, sepatutnya saya pergi menunaikan haji 10 tahun yang lalu dan inilah kali pertama saya ke sana untuk ibadah haji.  Sebelum ini, saya hanya melakukan umrah sebanyak 15 kali.

"Apabila saya menyatakan hasrat saya ini kepada Aliff, dia memang gembira untuk saya.  Dia pun sudah empat kali menunaikan haji.  Insya-Allah, saya benar-benar sudah bersedia dan tidak sabar lagi untuk ke sana," ujarnya yang akan menghabiskan masa di Madinah lebih kurang dua minggu untuk menemani Aliff yang akan menduduki peperiksaan selepas fardu haji nanti.

Ketika ditanya apakah selepas kepulangannya nanti akan menutup pintu hatinya untuk terus bergiat aktif dalam bidang seni, Sharifah Aini pantas menggelengkan kepalanya.  "Saya dilahirkan untuk menjadi seorang penyanyi dan penghibur.  Inilah mata pencarian saya selama 42 tahun menjadi anak seni.  Selagi saya mampu, selagi itulah saya akan terus mencari rezeki dalam bidang ini," kata penyanyi legenda yang cukup masyhur dengan lagu Hapuslah Airmatamu dan Kau Tinggi Di Awan Biru itu.

Biarpun akan berlepas pada 3 November ini, Sharifah Aini masih lagi tidak menang tangan menerima undangan nyanyian.  Pada 24 Oktober ini misalnya, dia bersama barisan artis ternama negara lain akan terlibat dalam sebuah konsert penghargaan untuk Allahyarham Tan Sri P. Ramlee iaitu Di Manakan Ku Cari Ganti.  Empat hari selepas itu, Sharifah Aini akan terlibat dalam sebuah persembahan korporat dan kemudiannya untuk makan malam amal Juitaku Sayang pada 31 Oktober.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Pohon Maaf (Kosmo Selasa, 19 Oktober 2010)

  Panggilan Haji Kak Pah (Harian Metro Khamis, 14 Oktober 2010)