NYANYIAN SHARIFAH AINI BUAT IBU MENANGIS oleh Roslen Fadzil (Harian Metro: Rabu, 16 Mei 2012) |
Bukan mudah bagi seseorang penghibur itu menyentuh emosi insan lain sehingga menangis apabila mendengar alunan lagunya. Lebih daripada itu, bukan senang pula penyanyi itu sendiri melontarkan suaranya dalam keadaan sebak. Begitulah yang terjadi apabila Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar atau Kak Pah mengalunkan lagu-lagu Melayu klasik dalam persembahan terbarunya bersempena Hari Ibu di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, malam minggu lalu.
"Kasihnya ibu, membawa ke syurga Kasihnya saudara, masa berada Berkorban raga, rela binasa Berkorban nyawa, tanda kasihnya ..." akhirnya membuatkan ramai ibu dan anak-anak mengesat air mata yang tumpah ke pipi tanpa disedari. Seterusnya, jiwa penonton luluh lagi apabila Kak Pah menyanyikan lagu Ayah Dan Ibu selain Perigi Biru dengan mendayu-dayu. Perigi Biru yang jarang-jarang dinyanyikannya adalah lagu yang pernah dipopularkan Allahyarham Kamariah Noor bagi filem klasik Bawang Putih Bawang Merah.
Sebelum itu, Biduanita 'bertahi lalat' itu membuka tirai persembahan pada jam 8.45 malam dengan
lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Ibu
dan Tiada Kata
Secantik Bahasa.
Bagi Kak Pah, kesemua lagu itu adalah lambang penghargaan beliau kepada
pengorbanan serta kasih sayang yang dicurahkan semua ibunda kepada anak
masing-masing. "Kalau boleh, pegang dan genggam erat-erat tangan ibu di
sebelah anda itu. Janganlah kita malu untuk meluahkan rasa kasih sayang
terhadap ibu kita sendiri. Hargailah ibu kita ketika mereka masih hidup di
dunia ini dan bagi ibu-ibu yang sudah pergi, kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah." Begitulah antara pesan Kak Pah di celahan lagu-lagu yang dialunkan. Malam itu, Kak Pah tampak sungguh yakin dengan busana merah cili, bersedia dan melontarkan vokal dengan mantap. Kemudian sebelum mendendangkan Dodoi Si Dodoi, Kak Pah sempat berkongsi cerita bahawa itu lagu kegemaran anaknya, Aliff Ali, sewaktu kecil. Dulu apabila beliau keluar mencari rezeki dan mereka berjauhan, Aliff akan diperdengarkan lagu itu lalu terlelaplah matanya. Kata penyanyi Bunga Tanjung itu lagi: "Saya bukanlah kaya raya tapi dalam soal cinta dan kasih sayang, sayalah orang yang paling kaya." Lalu, hadirin yang mendengar, terus bertepuk tangan.
"Haa, peminat yang muda-muda tu, jangan takut-takut pula nak jamah kek Kak Pah, Akak tak 'mandrem' (guna-guna) tau ..." seloroh Kak Pah yang sempat mengusik. Apa yang nyata, selepas tiga jam berlalu menghampiri detik tengah malam, peminat Kak Pah enggan pulang. Mereka terus meminta lagi lagu dan sebagai tidak menghampakan permintaan, penghibur yang pernah mendapat jolokan nama 'Elizabeth Taylor Malaysia' itu tampil dengan lagu Empat Dara, sambil beberapa peminatnya menari bersama-sama.
Seperti mana yang sering menjadi amalan rutin Kak Pah, persembahan pada malam itu juga bertujuan mencari dana bagi disedekahkan kepada rumah-rumah kebajikan yang sangat memerlukan. Bagi Kak Pah, sokongan setiap penderma hanya mampu dibalas dengan pahala berganda oleh Allah SWT. Tahun ini juga menyaksikan Kak Pah begitu sibuk mengatur jadual kerjaya seninya kerana selain terbabit dengan banyak persembahan pentas dan menjadi juri tetap program Mentor 6, beliau turut diundang menjayakan rakaman konsert legenda bersama Orkestra RTM, baru-baru ini di samping membintangi filem Penanggal arahan Ellie Suriaty. Artikel lain yang berkaitan:
|