KAK PAH BERAMAL MELALUI LAGU

oleh Ramlah Zainal  (Harian Metro: Sabtu, 28 April 2012)

LAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB SOSIAL KEPADA MASYARAKAT

Dirinya umpama sebatang pohon rendang.  Jika ia rebah ke bumi, tiada lagi dahan tempat orang lain untuk menumpang teduh.  Begitulah dirinya diibaratkan dengan program amal yang cukup sinonim dan aktif dijayakannya sejak empat tahun lalu.  Memang sukar untuk kita bertemu insan yang berhati mulia seperti penghibur negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar (Kak Pah).

"Sebenarnya, saya memiliki tanggungjawab yang sangat besar sebagai artis.  Jika saya jatuh sakit, ramailah orang yang bergantung pada saya akan susah nanti.  Selain itu, saya juga berstatus ibu tunggal yang mempunyai anak termasuk ramai anak angkat yang dianggap seperti anak sendiri.  Apapun, saya sangat bersyukur kerana Allah beri kesihatan yang baik untuk saya buat sebanyak mungkin program amal.  Saya percaya, setiap rezeki yang Allah beri itu bukan semuanya hak kita kerana sebahagiannya adalah hak golongan yang memerlukan seperti anak yatim dan fakir miskin di luar sana.

"Contohnya, duit hasil jualan tiket sempena sambutan Hari Ibu tanggal 12 Mei nanti turut disalurkan untuk amal.  Sebanyak 50 peratus hasil jualan tiket (selepas ditolak semua perbelanjaan) akan disalurkan kepada badan NGO - Islamic Aid Malaysia.  Ia juga untuk membantu sekolah tahfiz al-Quran, membaiki madrasah dan surau yang buruk, fakir miskin, anak yatim dan orang kurang upaya.  Setakat ini, jualan tiket Hari Ibu juga menggalakkan," katanya.

Selagi diberikan kesihatan yang baik, Kak Pah mengakui dia akan terus menjayakan program amal yang cukup dekat dengan dirinya.  "Maklumlah sebagai penyanyi, sumbangan saya adalah menerusi bakat yang dianugerahi-Nya.  Menerusi duit hasil nyanyianlah saya salurkan untuk pelbagai program amal.  Saya juga menafikan tanggapan orang yang fikir saya buat program amal kerana ingin membabitkan diri dalam politik.  Terus terang, saya buat semua ini sebagai jambatan saya hendak ke Jannah (syurga) nanti.  Saya buat program amal pun mengikut kemampuan diri, sekali gus melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.  Pada masa sama, saya mampu bertahan lebih empat dekad dalam bidang seni pun kerana sokongan padu peminat yang tidak jemu menyokong," katanya.

Justeru, tidak hairanlah, rezeki Kak Pah tidak pernah putus dan terus mendapat kepercayaan daripada pelbagai pihak seperti RTM.  Malah, dalam tempoh terdekat ini, ada dua acara besar dijayakan penghibur hebat ini iaitu Konsert Orkestra RTM dan sambutan Hari Ibu yang dijayakannya saban tahun.  Secara peribadi, Kak Pah yang menjanjikan persembahan terbaik mengakui konsert itu cukup bermakna buat dirinya yang sudah 44 tahun berkecimpung dalam bidang seni tempatan.

"Saya berasa terharu berbaur sedih apabila pihak RTM buat 'penghargaan' untuk penyanyi yang masih hidup seperti saya.  Selalunya, orang buat 'penghargaan' untuk artis yang sudah tiada tetapi RTM pula sebaliknya.  Saya akan berasa sedih kerana konsert malam ini pastinya menyaksikan ramai peminat yang hadir rata-ratanya membesar dengan lagu saya dari dulu hingga kini," katanya.  Konsert Orkestra anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Bersama Datuk Sharifah Aini di bawah pimpinan Jimmy Ali akan berlangsung jam 8.30 malam ini di Auditorium Perdana, Wisma Radio, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Barisan repertoire yang bakal disampaikan Kak Pah malam ini ialah Seri Dewi Malam, Burung Pungguk, Teratai, Empat Dara, Sayang Musalmah, Kau Tinggi Di Awan Biru, Tiada Maaf Bagimu, Biar Bulan Bicara dan Di Malam Persandingan.  Selain itu, persembahannya membabitkan beberapa segmen iaitu Melayu klasik, Melayu balada, saduran Arab dan Hindi serta pop medley.

Pada 12 Mei ini bertempat di Hotel Royale Chulan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, Kak Pah akan berlagu untuk sambutan Hari Kasihnya Ibu.  Lebih menarik, barisan repertoire yang disampaikan Kak Pah dalam tempoh dua jam nanti turut mengimbas kariernya dari dulu hingga kini iaitu Mawar Putih Untuk Mama (rakam pada 1981), Ibu (P. Ramlee versi Rafeah Buang), Dodoi Si Dodoi (1979), Kasihnya Ibu (1973), Tiada Kata Secantik Bahasa (P. Ramlee versi Rafeah Buang), Ditinggal Mama (versi Lilis Suryani), Impian Tercapai (1975), Mama (1977), Ayah Dan Ibu (versi Sudirman), Anak Dagang (versi Sudirman) dan 10 lagu hit tambahan.

Harga tiket untuk 10 orang satu meja adalah dari RM2,500 hingga RM5,500.  Ia juga dijual pada individu yang ingin membeli satu kerusi termasuk makan malam.  Penaja utama adalah Hotel Royale Chulan, Jamu Mak Dara dan Oman Air.  Keterangan lanjut sila e-mel ke limeevent@gmail.com.

Artikel lain yang berkaitan:

  Airmata Kak Pah Gugur Lagi (Berita Minggu: Bi-Pop 20 Mei 2012)

  Nyanyian Sharifah Aini Buat Ibu Menangis (Harian Metro Rabu, 15 Mei 2012)

  Kerja Amal Berterusan (Berita Minggu: Bi-Pop 29 April 2012)

  Bantu Si Miskin (Harian Metro Jumaat, 16 March 2012)

  Kak Pah Rai Para Ibu (Kosmo Sabtu, 10 March 2012)

  Kak Pah Janji Persembahan Meruntun Jiwa Sempena Hari Ibu (Berita Harian 1 March 2012)