GEMA KAK PAH DI VICTORIA CONCERT HALL

oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed  (Harian Metro: Khamis, 3 Februari 2000)

Victoria Concert Hall, Singapura akan membuktikan segalanya.  Apakah biduanita Sharifah Aini masih sehebat dulu atau kian tenggelam dek kemunculan artis baru?  'Konsert Suara Legenda Di Malam Seribu Kenangan' yang akan berlangsung pada 8 Februari ini, jam 8.30 malam akan mendedahkan semuanya.  Sharifah adalah satu-satunya artis Asia yang diberi penghormatan untuk mengadakan konsert secara solo di Victoria Concert Hall yang sebelum dimonopoli oleh artis antarabangsa.

Victoria Concert Hall boleh menampung seramai 1,000 penonton akan bergema dengan kelunakan suara Sharifah yang dijangka menyampaikan kira-kira 25 lagu dalam tempoh dua jam setengah.  Kata Sharifah, dia akan diiringi 70 pemuzik Orkestra Simfoni Singapura untuk menjayakan konsert anjuran All Buddy Promotions itu.  Selain itu, katanya dia juga membawa 10 pemuzik Malaysia untuk bergabung bersama Orkestra Simfoni Singapura untuk mengiringinya yang akan menyampaikan semua lagu yang pernah meletakkan dirinya di puncak kejayaan suatu masa dulu.  "Saya terharu dengan penghargaan ini dan bukannya mudah bagi saya untuk memikul tanggungjawab yang diberikan.  Semua orang meletakkan kepercayaan yang cukup tinggi pada saya, InsyaAllah saya akan melakukan terbaik untuk semua," katanya ringkas. Sharifah berkata pemuzik Malaysia yang diundang ialah Rafi, Tom dan Ramli Rebana manakala Orkestra Simfoni Singapura kebanyakannya adalah pemuzik dari negara Eropah, Amerika Syarikat dan Singapura.

Menceritakan konsert yang diberinama 'Konsert Suara Legenda Di Malam Seribu Kenangan', Sharifah berkata, ia bertujuan mengisi Tabung Warisan Kesenian Melayu bagi melindungi Istana Kampung Gelam dan Gedong Kuning yang memerlukan RM2 juta bagi pengurusannya.  "Mungkin ada yang tak percaya kalau dikatakan pertama kali, Victoria Concert Hall bergema lagu Melayu dan asli dan lebih menggembirakan apabila Orkestra Simfoni Singapura buat pertama kalinya mengiring artis Asia yang menyampaikan lagu Melayu terutama etnik," katanya.

Kata Sharifah, dia akan menyampaikan semua lagu popularnya serta konsep yang pernah diketengahkan seperti balada, pop, Melayu asli, ghazal, deli dan lagu Inggeris yang masih popular dari era 40-an hinggalah kini.  Antaranya seperti 'Bunga Tanjung', 'Burung Pungguk', 'Teratai', 'Jalak Lenteng', 'Di Pinggir Kayangan' dan 'Seksa'.  Selain itu, Sharifah juga akan menyampaikan dua lagu iaitu 'Tunggu Sekejap' dan 'Smile' yang diiringi petikan piano.  "Bagi mengenang rakan karib, Allahyarham Sudirman yang cukup lapan tahun meninggal dunia pada bulan ini, saya akan mendendangkan lagu 'Merisik Khabar', 'Teratai' dan 'Salam Terakhir'.  Selain itu, saya juga mengundang bekas penyanyi kumpulan Rausyanfikir, Art Fazil dari Singapura untuk membuka tirai persembahan konsert solo saya itu' katanya yang sibuk mengadakan latihan sejak dua minggu lalu.

Katanya, dia sudah melakukan persediaan lebih awal untuk memastikan peminat yang menghadiri konsert itu balik dengan seribu kenangan. "Saya sudah menjalani latihan bersama pemuzik Malaysia sejak Disember lalu manakala semalam saya akan berada di Singapura sehingga konsert berakhir untuk berlatih bersama Orkestra Simfoni Singapura," katanya.

Difahamkan sehingga kini, pihak pengajur All Buddy Prmotions mendapat reaksi baik dari peminatnya di Malaysia dan Singapura. Tiket berharga $250 (RM555), $200 (RM444), $100 (RM222), dan $80 (RM177.60) sudah habis dijual dalam tempoh beberapa minggu. Kini hanya tiket berharga $180 (RM399.60) dan $120 (RM266.40) yang masih dijual.  Sementara itu, Pengurus Promosi dan Pemasaran EMI Malaysia, Normaheran Yusof, berkata pihak penganjur akan menyediakan jamuan sebelum konsert bermula dan jamuan lewat malam selepas pertunjukan.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Tetap Hebat (Mingguan Malaysia: Pancaindera 20 Februari 2000)

  Sharifah Mampu Tersenyum (Harian Metro Jumaat, 11 Februari 2000)

  Sharifah Aini Buktikan Diri Penghibur (Utusan Malaysia Jumaat, 11 Februari 2000)

  Konsert Simfoni Penghormatan Bagi Kak Pah (Berita Minggu: Bi-Pop 26 Disember 1999)

  Sharifah Aini Menyanyi Di Singapura (Utusan Malaysia Khamis, 9 Disember 1999)