SHARIFAH MAMPU TERSENYUM

oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed  (Harian Metro: Jumaat, 11 Februari 2000)

Ia bukanlah terbaik dan ia juga bukanlah terburuk tetapi apa yang mengkagumkan apabila melihat bintang sepanjang zaman, Sharifah Aini dengan penuh semangat melakukan yang terbaik dalam konsert 'Legendary Voices: One Unforgettable Night' (Suara Legenda: Di Malam Seribu Kenangan) di Victoria Concert Hall, Singapura, Selasa lalu.  Sungguhpun Sharifah hanya sempat mengadakan latihan tidak sampai 10 jam bersama Orkestra Simfoni Singapura, dia masih mampu tersenyum dan berlawak jenaka biarpun jauh di sudut hatinya, bimbangkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Semuanya membuktikan Sharifah masih unggul dan pengalaman selama 30 tahun dalam dunia persada seni tidak dipersia-siakan begitu sahaja dan pada malam itu, Sharifah memangnya masih hebat.  "Syukur semuanya selesai dengan baik," kata Sharifah ketika ditemui selepas konsert kira-kira jam 12 malam.  Sharifah yang kelihatan agak keletihan berkata: "Bayangkan saya hanya sempat melakukan latihan bersama Orkestra Simfoni Singapura tidak sampai 10 jam sedangkan saya perlukan latihan yang cukup untuk konsert ini.

Kebanyakan pemuzik orkestra datangnya dari China dan Amerika Syarikat dan mereka tidak pernah memainkan lagu Melayu yang saya nyanyikan, jadi jika tiada latihan mencukupi, apa akan berlaku?  Namun berkat keyakinan serta semangat, saya lalui perkara ini dengan tenang sungguhpun ia begitu mencabar.  Saya juga diselamatkan dengan kecekapan pemuzik yang di bawa dari Malaysia," katanya yang begitu anggun dengan kostum rekaan Harun dan Jefrey.

Selain diiringi 70 pemuzik Orkestra Simfoni Singapura, konsert itu juga dibantu oleh Tom selaku pemain dram, Indra Shahril (piano), Ramli Rebana (alat perkusi tradisional), Mohammad Raffi (gitar akustik), Hamid Ahmad (gitar bass) dan Mohamed Noh (perkusi).  Orkestra Simfoni Singapura membuka tirai persembahan Sharifah dengan mengalunkan lagu 'Di Mana Kan Kucari Ganti' (ia sungguh menyentuh jiwa), 'Wajah Kesayangan Hamba', 'Rindu Bayangan', 'Hari Ini Dan Semalam' dan 'Cindai'.  Mungkin boleh dikatakan di sini, konsert berkenaan tidak perlu ada kemunculan artis lain kerana ia hanya membuang masa!

Melihat latar belakang pendidikan serta pengalaman dalam bidang muzik, Art Fazil mungkin nampak hebat tetapi persembahannya pada malam itu agak mengecewakan.  Dia tidak perlu menjerit-jerit menyampaikan lagu popularnya, 'Dikir Fikir-Fikir' kerana itu bukanlah konsert rock kerana persembahannya diiringi Orkestra Simfoni Singapura.  Selain itu 'Dikir Fikir-Fikir', Art Fazil juga menyampaikan lagu 'Merindu Kepastian' dan 'Rainbow'.

Sharifah yang begitu anggun dengan kostum ungu memulakan persembahan kira-kira jam 9.20 malam dengan menyampaikan lagu popularnya, 'Seri Dew Malam' diikuti dengan 'Di Malam Persandingan'.  "Engkaulah suamiku, engkau syurgaku ... " bait lirik lagu 'Di Malam Persandingan' sudah cukup menggambarkan segalanya. Sharifah menyampaikan lagu berkenaan dengan penuh perasaan, mungkin mengenangkan pengalaman silam!

Sharifah juga menyampaikan lagu 'Dekatlah Padaku' dan kemudian berjenaka seketika sebelum menyampaikan lagu 'Kau Tinggi Di Awan Biru'.  Sambil tersenyum lebar, Sharifah dengan nada berseloroh berkata: "Mungkin ini kisah cinta saya yang nyata.  Lagu ini adalah ciptaan Ahmad Nawab dan lirik oleh saya sendiri.  Dulu saya pernah bercinta dengan seorang juruterbang dan beberapa bulan sebelum kami kahwin, dia mati," katanya dengan nada perlahan tetapi ikuti dengan gelak ketawa dan menyambung persembahan dengan menyampaikan lagu 'Putus Kasih'.

Sebagai penulis, saya sendiri agak tersentuh apabila Sharifah menyampaikan lagu 'Merisik Khabar.'  Dia juga menitiskan airmata dan masih meneruskan persembahan ketika menyampaikan lagu 'Salam Terakhir'.  "Saya yakin Allahyarham Sudirman berada bersama-sama saya di sini.  Tarikh 22 Februari ini, genaplah lapan tahun dia kembali ke rahmatullah," katanya ringkas sambil mengesat airmata.

Selain itu, Sharifah juga menyampaikan lagi 'Smile', 'Getaran Jiwa' (diringi petikan piano), 'Gerimis Mengundang', 'Rindu Serindu Rindunya', 'Seksa', 'Hiburkanlah Hatiku', 'Jalak Lenteng', 'Burung Pungguk' dan 'Teratai'.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Tetap Hebat (Mingguan Malaysia: Pancaindera 20 Februari 2000)

  Sharifah Aini Buktikan Diri Penghibur (Utusan Malaysia Jumaat, 11 Februari 2000)

  Gema Kak Pah Di Victoria Concert Hall (Harian Metro Khamis, 3 Februari 2000)

  Konsert Simfoni Penghormatan Bagi Kak Pah (Berita Minggu: Bi-Pop 26 Disember 1999)

  Sharifah Aini Menyanyi Di Singapura (Utusan Malaysia Khamis, 9 Disember 1999)