KONSERT SIMFONI PENGHORMATAN BAGI KAK PAH

oleh Ellyna Ali  (Berita Minggu: Bi-Pop, 26 Disember 1999)

Apabila Orkestra Singapura memberi penghormatan kepada Sharifah Aini untuk mengadakan konsert simfoni khas untuknya, tentu ia menjadi agenda menarik bagi kita semua.  Nyata penyanyi bersuara emas ini juga mempunyai nama kukuh di kota Singapura.  Inilah julung kali penyanyi Malaysia diberi penghormatan seumpama itu oleh negara luar.  Apatah lagi bagi Orkestra Singapura sendiri yang selama ini sudah dikenali dunia dengan persembahan cemerlang dan tersendiri.  Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah yang semakin anggun dengan penampilan terbarunya, begitu bersemangat menceritakan hal itu kepada Bi-Pop.  Penyanyi kelahiran Johor Bahru yang sudah 30 tahun dalam bidang seni suara ada sebab tersendiri untuk berasa bangga dan gembira dengan konsert yang bakal dijayakannya pada 8 Februari 2000.

"Ini konsert besar saya yang pertama.  Malah konsert pertama saya di alaf baru.  Dan paling membanggakan saya, sepanjang konsert itu nanti mereka (Orkestra Singapura) akan memainkan lagu Melayu.  Selama ini, mereka sering membawakan lagu klasikal Barat tetapi bayangkanlah pemuziknya yang kebanyakannya 'Mat Salleh' menggesek violin memainkan lagu 'Burung Pungguk'.  Saya bangga kerana pada usia seperti ini masih berpeluang untuk menikmati dan mendendangkan lagu saya dalam bentuk simfoni," katanya dengan nada gembira.

"Bayangkan juga, penonton yang datang nanti bukan hanya daripada golongan Melayu tetapi juga dipenuhi oleh pelbagai bangsa.  Sebab itulah latihannya yang dijadualkan bermula akhir Januari depan, terpaksa dilakukan dengan rapi.  Ia satu konsert yang penuh prestij.  Tiket paling murah berharga RM445," katanya.  Selain lagunya sendiri, Sharifah Aini akan membawakan lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee, 'Tunggu Sekejap' serta sebuah lagu Inggeris bertajuk 'Smile'.  "Malam persembahan itu dinamakan Unforgettable Night.  Rangkaian lagu dendangan bermula dari era 50-an hinggalah ke 90-an," katanya.

Penyanyi yang beridentiti tahi lalat di muka ini juga bakal muncul dengan album solo alaf baru sekitar Mac atau April nanti.  Ini adalah album gabungan tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Arab.  "Sukar untuk saya jelaskan sama ada album ini bakal menjadi album antarabangsa atau tidak.  Itu terpulang kepada budi bicara syarikat rakaman.  Apapun projek ini cuba menampilkan kepelbagaian bakat saya membawakan lagu dalam tiga bahasa," katanya.

Namun apabila ditanya lebih lanjut mengenai pembikinan album terbarunya, Kak Pah seperti keberatan untuk memberitahunya dengan lebih lanjut.  "Bukan tidak mahu beritahu tetapi nanti sudah tidak ada kejutan lagi," katanya sambil menyimpul senyum.  Pada usia pertengahan 40-an itu, Kak Pah masih lagi kelihatan segar dan menarik.  "Walaupun sibuk tetapi kita kena juga jaga diri dan kesihatan.  Itu paling penting," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Tetap Hebat (Mingguan Malaysia: Pancaindera 20 Februari 2000)

  Sharifah Mampu Tersenyum (Harian Metro Jumaat, 11 Februari 2000)

  Sharifah Aini Buktikan Diri Penghibur (Utusan Malaysia Jumaat, 11 Februari 2000)

  Gema Kak Pah Di Victoria Concert Hall (Harian Metro Khamis, 3 Februari 2000)

  Sharifah Aini Menyanyi Di Singapura (Utusan Malaysia Khamis, 9 Disember 1999)