DUGAAN DALAM SEDIH

oleh Roslen Fadzil  (Harian Metro: Sabtu, 9 Jun 2012)

KAK PAH ... masih bersedih dengan pemergian sahabat karib, Hasanah (belakang) Selasa laluRabu lalu, Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini (Kak Pah), 56, mengotakan janjinya apabila menyerahkan sumbangan wang RM25,000 kepada Yayasan Al-Ijabah yang menguruskan Rumah Ijabah Anak Yatim dan Al-Hafiz, Subang Jaya, Selangor.

Menjelang final Mentor 6 esok, Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini terpaksa menempuh pelbagai dugaan yang menimpa dirinya, namun semua itu tetap diterima dengan penuh redha.  Selepas sembuh daripada demam serta jangkitan kuman di bahagian paru-parunya sehingga terpaksa dirawat kira-kira dua minggu di hospital, baru-baru ini, Sharifah Aini atau Kak Pah kini sangat bersedih dengan kematian seorang peminat dan adik angkatnya, Allahyarham Hasanah Osman, 55, pada selalu lalu.

Bercakap kepada RAP, semalam, Kak Pah dalam nada terisak-isak berkata, adik angkatnya itu meninggal dunia selepas koma selama 48 jam akibat kegagalan fungsi organ dalaman di Universiti Hospital, Selasa lalu.  "Selepas saya keluar dari wad Ahad lalu, saya pula mendapat berita arwah Hasanah dikejarkan ke wad kerana tiba-tiba jatuh sakit.  Apa yang sangat menyedihkan, ketika saya terlantar sakit di hospital baru-baru ini, arwah selalu datang menjaga saya dan bertanya apa saya nak makan.  Malah pada Jumaat lalu dia masih tidur menemani saya di wad."

"Tidak sangka pula selepas saya keluar wad, arwah pula pergi buat selama-lamanya," kata Kak Pah yang sempat menjaga Hasanah sebelum beliau meninggal dunia.  Kak Pah berkata, dia mula mengenali arwah kira-kira 38 tahun lalu dan arwah asalnya adalah salah seorang peminatnya yang kemudian menjadi sahabat dan adik angkat.  Tiga minggu lalu, saya dan arwah pernah bercakap soal hidup dan mati.  Saya katakan kepadanya, kita sudah 38 tahun berkawan dan tidak tahu siapa akan mati dulu.  Rupanya-rupanya perbualan kami itu ada hikmah dan rahsianya.  Akhirnya saya dengan rasa yang sangat sedih menerima ketentuan yang sahabat saya itu mati dulu.

"Namun apa yang yang membuatkan saya terkilan, arwah Hasanah tidak pernah memberitahu saya yang dia sakit.  Saya terlalu banyak terhutang budi kepadanya.  Kalau saya cakap saja nak makan apa, paling lewat esoknya, makanan yang saya idamkan itu akan terhidang di meja dapur saya.  Arwah sangat banyak membantu urusan tugas saya seperti mengemas kini segala fail dan bermacam bil-bil penting di pejabat dan rumah.  Arwah Hasanah sudah seperti pembantu peribadi saya dan ahli keluarga.  Sekarang saya masih terperanjat dengan pemergiannya dan sentiasa terkenang wajah dan senyumannya di dalam rumah saya," kata Kak Pah dalam nada yang tersekat-sekat.

Bagi Kak Pah, beliau akan kenang jasa dan budi sahabatnya itu buat selama-lamanya dan berdoa agar segala kebaikan yang ditaburkan arwah mendapat ganjaran pahala dari Tuhan.  "Dia seorang yang amanah dan sahabat sejati saya di dunia dan akhirat," ujarnya lagi.  Sementara itu Kak Pah akui dirinya semakin sihat tetapi masih perlu banyak berehat. Seperti yang dijadualkan, beliau akan muncul dalam final Mentor 6 malam esok untuk meneruskan misi kemuncak sebagai juri tetap bersama Datuk Ramli MS.

Bagi Kak Pah, kesemua protégé iaitu Zatul, Caroline dan Anas ada kekuatan masing-masing untuk menjadi juara dan berharap mereka semua akan memberikan yang terbaik.  "Saya menganggap mereka macam anak-anak saya dan bangga mereka kesemua menunjukkan peningkatan sangat baik.  Saya ucapkan selamat berjuang dan selamat berjaya kepada mereka serta mentor masing-masing," ujar Kak Pah dalam nada kembali bersemangat.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Berehat Lima Bulan (Kosmo Selasa, 5 Jun 2012)

  Kak Pah Abaikan Kesihatan (Berita Harian Isnin, 28 Mei 2012)