KAK PAH ABAIKAN KESIHATAN oleh Farihad Shalla Mahmud (Berita Harian: Isnin, 28 Mei 2012) |
Biarpun doktor menasihatkannya supaya berehat kerana kesihatan yang masih belum pulih sepenuhnya, Sharifah Aini atau lebih akrab disapa Kak Pah berpendapat amanat yang dipertanggungjawab kepadanya itu lebih penting daripada segala-galanya. Bersama-sama seorang lagi juri tetap iaitu Datuk Ramli MS, Kak Pah bukan sekadar menegur tetapi juga memberi panduan dan nasihat kepada Zatul yang menjadi pelatih atau protege Ogy Ahmad Daud, Anas (Faizal Tahir), Puteri Caroline (Ella) dan Tisha (Ferhad). Semangatnya ini boleh dianggap bukan sahaja sebagai menunaikan tanggungjawab menjadi juri, tetapi lebih daripada itu mahu berkongsi pengalaman dan ilmu kepada semua peserta program ini. Atas dasar kecintaannya dalam bidang seni, dia rela menderita asalkan dapat melaksanakan amanah yang diberikan. "Memang Kak Pah minta kebenaran dokor untuk pergi menjadi juri. Kak Pah mahu berjumpa dengan semua peserta yang Kak Pah anggap macam anak-anak Kak Pah. Kak Pah mahu kehadiran ini memberi semangat pada mereka. Terus terang, kesihatan Kak Pah pada malam ini (semalam) memang tidak memuaskan. Tapi Kak Pah takmahu kesakitan menjadi penghalang menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. "Pada hari ini (semalam), Kak Pah dibenarkan keluar selama lima jam saja dan selepas selesai program itu, KakPah dikehendaki pulang ke hospital untuk kembali menerima rawatan," katanya kepada Hip semalam. Ternyata penyanyi malar segar ini sanggup menanggung risiko kerana dalam keadaan kesihatannya seperti itu, berada di tempat awam adalah sesuatu yang harus dielakkan. Namun, insan seni sejati ini tidak pernah mengendahkan bahaya yang dibakal dihadapinya itu. "Disebabkan itulah Kak Pah harus pulang segera ke hospital sebaik saja acara tamat. Kak Pah tak boleh hadir untuk sesi sidang media. Tetapi untuk menjalankan tanggungjawab ini, Kak Pah ditemani oleh seorang jururawat yang memantau keadaan Kak Pah," katanya. Selama lima hari terlantar di hospital, penyanyi ini mengakui sedikit rimas kerana terkurung dan tidak melakukan sebarang aktiviti. Justeru, apabila doktor membenarkannya keluar walaupun untuk sementara waktu, Kak Pah begitu teruja dan menyifatkan ia seperti seekor burung yang bebas dari dalam sangkar. "Bayangkan sepanjang dirawat, Kak Pah hanya terlantar di atas katil dengan wayar yang berselirat atas badan. Keadaan itu sangat membuatkan Kak Pah tidak selesa. Jadi apabila dapat kelur, Kak Pah dapatlah rasa sedikit bebas dan tidaklah terkurung dan hanya menghirup udara pendingin hawa saja," katanya. Kak Pah menceritakan detik-detik cemas ketika dibawa ke hospital akibat penyakitnya itu. "Jangkitan kuman ini sangat teruk. Waktu itu Kak Pah rasakan seperti ajal Kak Pah sudah sampai. Kak Pah sendiri tidak menyangka bahawa penyakit itu sangat teruk," katanya dalam nada sebak. Berita penyanyi ini dimasukkan ke hospital tersebar apabila sebuah kenyataan dikeluarkan oleh sahabat baiknya, Khalilah Datuk Mohd Talha yang mengesahkan bahawa penyanyi itu sedang dirawat di hospital. Artikel lain yang berkaitan: Dugaan Dalam Sedih (Harian Metro – Sabtu, 9 Jun 2012) Kak Pah Berehat Lima Bulan (Kosmo – Selasa, 5 Jun 2012) |