DATUK SHARIFAH AINI ... SEGAN DAN SEDIH!

oleh Huzz  (URTV, 1 Julai 2012)

Keluaran lalu, URTV ada menyiarkan kisah perjalanan salah seorang juri Mentor 6, Datuk Sharifah Aini selama 44 tahun dalam dunia hiburan.  Ramai betul peminat yang beri respons suka dengan kisahnya.  Bukan saja mereka yang sezaman dengan beliau, bahkan yang muda remaja hari ini, bangga dengan pencapaian beliau yang mereka panggil Umi Pah.  Malah ada yang kata, beliau sudah melaram macam-macam fesyen yang muncul balik hari ini, pada zaman awal beliau dalam dunia hiburan kita.  Sebetulnya, URTV berjanji nak menyiarkan lagi sambungan kisah Sharifah Aini keluaran ini dengan gambar-gambar beliau yang kerap menghiasi cover URTV sekitar 70an, 80an dan 90an dulu.  Tetapi bila Huzz dengar Kak Pah segan dan mohon gambar-gambar lamanya tak disiarkan lagi, jadi 'ditunda' page itu.

MENINGGAL DUNIA

Sharifah Aini juga masih bersedih.  Ramai mungkin tak tahu, awal Jun lalu, sahabat baiknya yang macam isi dengan kuku, Hasanah Haji Osman, telah meninggal dunia.  Huzz kenal sangat dengan Allahyarham Hasanah itu.  Kami dah kenal lebih 25 tahun lalu.  Sharifah Aini pula rapat dengan beliau sejak 38 tahun lalu.  Allahyarham sudah macam adik kandungnya sendiri.  Bahkan beliau juga melakukan kerja-kerja selaku setiausaha peribadi kepada penyanyi top ini.  Hasanah sangat terkenal di kalangan peminat, wartawan, artis dan sesiapa yang baik dengan penyanyi ini.

"Banyak kenangan manis, kami lalui bersama.  Tak sangka, Nah yang pergi dulu.  Nah kawan setia.  Dia ada waktu Kak Ani, susah dan senang.  Dia bukan seperti adanya kawan perempuan lain, yang 'menikam' dari belakang, walaupun dilayan macam famili.  Hasanah kawan setia, penyayang dan baik.  Nampaknya, Kak Ani berkawan dengannya sampai ke hujung nyawa beliau.  Kak Ani minta izin adik beradiknya agar arwah dikebumikan di tanah perkuburan yang dekat dengan kawasan rumah Kak Ani,  Lagipun kedua ibu bapa Hasanah sudah tidak ada lagi di Kelantan.  Bila kuburnya dekat, senang nak pergi ziarah," kata Sharifah Aini yang sejak dulu, suka membahasakan dirinya sebagai Kak Ani kalau dia berbual dengan Huzz.

Hasanah ialah peminat Kak Pah dari Kelantan yang datang ke KL dan kemudian menjadi kawan baik penyanyi ini.  Allahyarham meninggal dunia kerana masalah sakit buah pinggang.  Kak Pah menguruskan segala hal arwah di hospital (Pusat Perubatan Universiti Malaya) sampai ke perkuburan.  Hasanah bersemadi di Tanah Perkuburan Kiara, Taman Tun Dr Ismail.  "Masa Kak Ani masuk wad (Hospital Pakar Damansara), awal Jun lalu, Hasanah selalu datang menjaga Kak Ani.  Macam selalu, sebelum-sebelum ini dari kami kenal dulu lagi, dialah selalu ada di sisi masa Kak Ani sakit dan demam.  Malah masa dalam wad baru-baru ni, Kak Ani yang tengah dirawat, beritahu Nah, sakit Kak Ani (jangkitan kuman) rasa lain macam, doktor pun kata serius.  Mungkinkah Kak Ani pergi dulu tapi arwah menjawab, dengan senyuman ... tak," kata Kak Pah menangis.

Tak sangka, Hasanah jatuh sakit mengejut, pada 4 Jun lalu di rumahnya dan ditemani anak saudara ke hospital.  Sampai saja di hospital dia rebah dan koma.  Doktor kata Hasanah ada masalah buah pinggang.  Sharifah Aini hanya tahu, Hasanah ada masalah gaut.  Hasanah meninggal dunia pagi 5 Jun.  Huzz tengok, Kak Ani yang sudah stabil daripada sakitnya gagah ke hospital dan ke kubur menziarahi Kak Nah.  Ramai kaum keluarga, kawan-kawan Hasanah dan beliau yang datang.  Malah anak teruna Kak Ani, Aliff Omar yang turut dibela Hasanah semasa kecil, ada sama.  Kebtulan, Aliff sedang bercuti dari pengajiannya di Madinah.  Kata Kak Ani, dia mahu membuat badal haji untuk kawan baiknya.  Malah segala kos hospital ditanggung kerana dia ada membelikan insurans untuk adik angkatnya itu.

Huzz antara kawan-kawan lain yang sebak di hospital melihat Kak Nah koma dan kemudian berada sama di hari pengkebumian melihat pemergian Hasanah.  Ingat lagi, semasa hayatnya, Hasanah suka berjenaka dengan Huzz.  Malah ada kala Huzz juga suka menyakat beliau yang sudah dianggap macam kakak, yang dipanggil Mek Nah.

HUZZ:  Al Fatihah.  Semoga rohnya dirahmati dan menjadi ahli syurga.  Amin.

BAHAGIAN 1: SHARIFAH AINI 44 TAHUN DI DUNIA SENI