SHARIFAH AINI – 44 TAHUN DI DUNIA SENI

oleh Huzz  (URTV, 15 Jun 2012)

Tahun ini, biduanita negara, Datuk Sharifah Aini sudah 44 tahun berada dalam dunia hiburan tanahair.  Sejak mencipta nama pada tahun 1968, sampai ke hari ini, beliau mampu mempertahankan kedudukan sebagai artis yang terus aktif dan diminati ramai.  Tidak mudah untuk mana-mana artis mendapat peluang seperti ini.  Beliau telah merentasi zaman dengan memikat hati dari generasi ke generasi untuk terus meminati dan menyukai lagu-lagu nyanyiannya.

Sampai ke hari ini, lagu-lagu yang pernah dinyanyikan dulu masih berkumandang di corong radio, pusat karaoke dan jualan album lama dan kompilasi beliau juga terus mendapat sambutan.  Salah satu nyanyian hits Sharifah Aini, Seiring Dan Sejalan (berduet dengan mendiang Broery Marantika) bertahan menjadi lagu disukai ramai.  Generasi muda iaitu mereka yang belum lahir ketika banyak lagu dirakamkan Sharifah Aini lebih 30 tahun lalu, meminati nyanyiannya.

Antara lagu Sharifah Aini yang berjaya mendapat perhatian generasi hari ini ialah Bunga Tanjung, Hatiku Di Curi Lagi, Oh Di Mana, Hapuslah Airmatamu, Terbang Helang dan banyak lagi.  Kalau kita menjenguk pertandingan karaoke, ada yang mahu menyanyikan lagu-lagu dendangannya.  Bahkan lagu berjudul Seribu Mawar yang dirakamkan beliau awal tahun 2000, mampu setanding dengan artis generasi alaf baru untuk bersaing dalam dunia hiburan.

Kini, beliau mempunyai hampir 100 buah abum.  Malah akan merakamkan album terbaru tidak lama lagi.  Dari segi persembahan atau pertunjukan pentas, beliau juga terus mendapat sambutan baik.  Sharifah Aini masih juga mendapat undangan stesen TV.  Tahun ini, beliau antara juri utama Mentor 6 (TV3) menjadi juri utama bersama Datuk Haji Ramli MS.  Selain itu, baru-baru ini, beliau turut menjayakan sebuah Konsert Khas di RTM sempena sumbangan selama 44 tahun sebagai anak seni.  Malah beliau yang pernah mencipta nama di dunia filem (melalui Hapuslah Air Matamu) sekitar akhir 70an dulu, terus diundang berlakon.  Terbaru, beliau muncul dalam filem Penanggal arahan Ellie Suriati. 

Di dalam ramainya anak seni bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan, Sharifah Aini bagai 'permata berlian' yang terus berkilau menyinari dunia seni kita.  Bercerita tentang dirinya, Sharifah Aini pernah menjadi bualan kerana imej dan berambut hitam, lebat dan mengerbang, tahi lalat di wajah, kening bertaji ayam, hidung mancung, dada 'Dolly Parton' serta kegemarannya melaram barang kemas mewah.  Dari seorang insan biasa kemudian melayari kehidupan seorang penyanyi berstatus VIP. 

Namun beliau tidak riak dan angkuh dengan kehidupannya itu.  Kalau nak tahu beliau seorang insan berhati pemurah, merendah diri dan suka berkawan walaupun suka berdunia di rumah.  Apa yang dilihat beliau senang membuka pintu kepada kawan-kawan dan wartawan ke rumahnya.  Antara punca lain kenapa Sharifah Aini dikatakan mampu lama dalam dunia seni ialah kerana sikap tidak suka selalu melepak atau senang bersidai (mudah kelihatan di khalayak umum) di sana sini, sejak dulu sampai sekarang.  Jadi sikap 'mahal' itulah barangkali buat peminat tak jemu-jemu kepadanya.

Dalam kegemilangannya, Sharifah Aini juga tidak lekang berdepan dengan kisah kontroversi.  Kisah kahwin cerai dan juga peribadi yang lain.  Dakwa Sharifah Aini segala itu dugaan menguji.  Dalam senyumannya menjadi anak seni, beliau kena tabah kalau ada insan mahu 'merebahkannya'.  Beliau tak kering bersyukur kerana Allah terus membuka jalan luas untuknya meniti kejayaan hidup.

Kini, Sharifah Aini tampil dengan imej baru (bertudung litup), setelah pualng dari Tanah Suci mengerjakan ibadah haji dua tahun lalu.  Bagaimanapun, beliau masih di dunia seni dengan usaha terbarunya sejak tiga tahun lalu, mengadakan persembahan amal.  Melalui syarikat miliknya Seri Dewi Productions yang baru ditubuhkan beberapa tahun lalu, Sharifah Aini sudah banyak membuat kebajikan melalui show dan itu akan berterusan.  Semoga Allah membalas budi baiknya kepada yang memerlukan.

Sempena sambutan ulang tahun ke 44 Datuk Sharifah Aini sebagai anak seni dan menjelang sambutan ulang tahun kelahirannya pada 2 Julai ini, URTV berbesar hati mengalungkan jutaan tahniah.  Di edisi ini URTV turut memberi laluan beliau untuk menulis tentang perjalanan hidupnya.  Tak ketinggalan menyingkap pendapat wartawan lama dan baru lain tentang beliau. Di edisi depan ikuti sambungan segmen khas ini dengan cerita menarik untuk dibaca.

CoretanSharifahAini

MIMPI ANAK PEMANDU TEKSI JADI KENYATAAN

Pada tahun 1969 saya dengan rasminya telah menjadi artis rakaman EMI yang sangat terkenal pada waktu itu.  Di masa itu saya baru selesai menyertai pertandingan Johan 69 di Radio Televisyen Singapore (RTS).  Saya mendapat tempat kedua.  Pemenangnya atau juara ialah M Ismail.  Beliau seorang penyanyi profesional dari Singapura!  Sebelum saya menyertai pertandingan RTS, saya sudah pun menyanyi di khemah orang kahwin.  Saya juga selalu menyanyi di fun fair.  Semuanya untuk mencari duit poket, biasanya di hujung minggu.

Ya, sungguh cepat masa berlalu. Sebenarnya bila direnungkan segala detik yang sudah pergi ... bagaikan mustahil untuk saya percaya, hari ini, sudah 44 tahun saya sebagai anak seni.  Saya masih menyanyi dan terus mahu menjadi penghibur.  Saya adalah hamba ALLAH yang sangat bertuah.  Tidak mudah untuk mengembara begitu lama di dunia seni.  Saya bersyukur dengan bakat kurniaan Allah.  Alhamdulillah ... telah banyak yang dapat saya lakukan sebagai anak seni.  Saya berjaya menjadi penyanyi, penulis lirik, pelakon dan penghibur.  Saya gembira dapat menyanyikan lagu-lagu merdu untuk menghibur segenap lapisan peminat saya dari dulu sampai sekarang.  Namun pengembaraan saya ini tidak mudah.  Ya, segala onak duri dan ranjau harus saya gagahi untuk berdiri sebagai insan bernama artis.

Ramai tak tahu, saya sudah banyak menangis.  Biasalah, dalam ramai yang meminati tidak kurang membenci.  Syukur, dengan kekuatan semangat, serta impian dan azam mahu berjaya buat saya tak letih bekerja kerana tanpa tahu penat lelah.  Dalam berkawan pun, ada yang boleh menjadi duri di dalam diam.  Ada yang semacam tidak senang melihat saya berjaya.  Alhamdulillah, semua itu dapat saya tempuhi dengan tenang.  Kalau diperhatikan semula ke belakang menjenguk masa berlalu, saya pernah 'tersungkur' ketika 'berjalan' akibat orang yang mahu melihat saya jatuh tetapi dengan kuasa Allah Yang Maha Kaya Lagi Maha Mengetahui, saya terus bangun semula untuk meneruskan perjalanan.

Alhamdulillah, hari ini saya masih mampu tersenyum dan bersyukur dengan nikmat yang diberi.  Saya gembira masih dikelilingi oleh peminat-peminat yang kasih dan menyokong saya di sini.  Saya berbangga saya tidak pernah dan cuba untuk menjadi orang lain tetapi saya membuktikan apakah kebolehan saya untuk dinilai.

BUAH NANGKA DAN UPAH MENGGILING LADA

Bercakap tentang waktu lalu, saya tidak kecewa dilahirkan dalam keluarga sederhana.  Saya anak seorang pemandu teksi.  Ketika kedua orang tua berpisah (bercerai), ketika usia baru berberapa bulan, saya dibesarkan oleh kedua datuk dan nenek sebagai ayah dan ibu.  Hidup kami bukan senang, pada zaman kanak-kanak, saya sering mengikuti arwah nenek yang saya panggil ibu, pergi berniaga makanan seperti wajik, dodol, kuih kepal dan kacau keledek.  Bila sudah meningkat remaja, saya mengambil upah menggiling rempah membantu kehidupan kami.

Ingat lagi, arwah datuk selalu  membeli beras sekati setiap dua atau tiga hari sekali untuk makan keluarga kami.  Tetapi saya tidak pernah merasa itu adalah kesempitan kehidupan kami, kerana keluarga kami murah dengan kasih sayang!  Keluarga kami sangat kaya dengan kasih sayang. 

Saya juga selalu berjalan keliling kampung saya di Majidee Johor Bahru menjual buah nangka dan tembosa yang dibuat oleh arwah nenek.  Dulu saya 'menjual' suara sambil berniaga buah sebelum saya menyanyi.  Jarang sekali saya beraya dengan baju raya yang baru.  Nenek pula gembira bila dapat mengecilkan baju lamanya yang masih nampak baru, untuk saya pakai di pagi raya.  Pengorbanan nenek tak pernah padam dalam ingatan kerana dia selalu berusahga untuk membuat saya gembira.

DUIT RM75

Saya masih ingat, setelah mendapat restu kedua orang tua dan keluarga untuk menyanyi, saya datang ke Kuala Lumpur berbekalkan duit RM75 untuk memulakan kehidupan saya sebagai artis.  Syukur Alhamdulillah, penghujung 60an dan sepanjang zaman 70an, saya sangat gembira menjalani hidup sebagai artis muda, sibuk dengan persembahan, dunia lakonan dan mula membina kehidupan, sentiasa memikirkan masa depan yang lebih selesa.  Saya dapat menyumbang kepada keluarga.  Saya juga gembira bakat saya diterima peminat-peminat.

Saya memanfaatkan duit menyanyi dengan minat berhias kerana saya seorang perumah.  Membeli apa yang perlu untuk keperluan dan mencantikkan rumah.  Saya mahu punya rumah yang cantik ... itulah mimpi-mimpi saya ketika rezeki menyanyi mula menjadi kenyataan atau berbaloi.  Saya juga berusaha menyimpan wang menyanyi untuk menjadi kehidupan itu bermakna.  Kalau dapat duit menyanyi dalam RM100, RM20 mesti disimpan untuk mada depan.  Itu contohnya saya berjimat.  Kemudian setelah bertungkus lumus bekerja, saya gembira dapat membeli kereta dan rumah dengan duit titik peluh menyanyi.

TAK KESAL DICERAIKAN

Seterusnya babak penting dalam hidup saya bila lelaki idaman (Ali Bakar) sebagai suami dan tahun 1982 hidup saya tambah bermakna bila dapat melahirkan seorang anak comel, Aliff Omar Bin Ali!  Namun, saya berpisah dengan bapa Aliff ketika Aliff berusia 8 bulan dan di situ kemudiannya, bermulalah cabaran saya sebagai seorang ibu tunggal.

Selepas bercerai dengan Ali saya bertemu seseorang insan kemudiannya (Datuk Salleh).  Kami bercinta dan bernikah.  Kami meniti bahagia sampai ke tahun 1996.  Pada penghujung 1996, kami sama-sama membuat pilihan untuk berpisah.  Ada sebabnya dan kami sama-sama redha.  Tapi kami rapat hingga ke hari ini ... saya sangat menghormati beliau!  Saya tak kesal kerana meniti perceraian.

Saya tak suka putus asa dan berasa patah hati dalam segala macam cubaan dilalui dalam hidup apatah lagi setelah menjadi artis.

FITNAH

Peristiwa atau gossip difitnah sudah lumrah sejak awal saya nak jadi penyanyi.  Namun, bak kata pepatah,"jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi, pantai"... Jadi, memikirkan itu, saya telan setiap 'derita' dan sakit hati yang saya lalui.  Tetapi saya tidak mahu berbicara panjang tentang segala macam fitnah dan hasad dengki yang saya lalu dulu di sini.  Cuma apa yang ingin saya katakan, betapa sakitnya fitnah itu.  Barangkali ada pernah membaca tentang segala kisah kontroversi di masa lalu, ingin saya katakan, ia usaha insan yang mahu melihat saya tersungkur.

Saya mengaku, sampai ke hari ini hakikatnya, masih terkilan dengan seorang wanita yang saya anggap kawan baik kerana cuba nak melaga-lagakan saya dengan sesama artis. Saya pemaaf tetapi saya tidak redha dengan perbuatan hamba Allah ini yang saya telah layan seperti ahli keluarga betukar menjadi gunting dalam liptan. Tak mengapalah... berjawablah di akhirat nanti!  Apapun, setelah mendung singgah dalam hidup, saya mendapat cahaya terang meneruskan perjalanan seni.  Hari ini saya gembira dapat menjadi seorang ibu yang bukan saja berjaya membesarkan anak saya Aliff, tetapi mendidiknya dengan agama.  Selain itu saya juga mempunyai ramai anak angkat didalam dan luar negara.

Hari ini selain menyanyi, saya gembira diterima menjadi ahli NGO, Islamic Aid Malaysia.  Sering menjalankan aktiviti kemanusiaan khususnya di Malaysia.  NGO berdaftar di bawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan Malaysia.  Pertubuhan ini tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan mana-mana agensi kemanusiaan di peringkat antarabangsa.  Di antara kumpulan sasar di bawah program bantuan kemanusiaan anjuran pertubuhan adalah warga miskin yang tidak mempunyai pendapatan tetap, anak-anak yatim yang memerlukan, mangsa-mangsa bencana (seperti banjir, kebakaran, ribut dan lain-lain), warga OKU yang memerlukan dan masyarakat Orang Asli.

Saya juga seronok menganjurkan pertunjukan amal untuk membantu sekolah-sekolah miskin tahfiz al Quran yang memerlukan.  Doakan hajat dan perjalanan saya menuju kejayaan.  Ikutkan hati banyak yang nak dicoretkan lagi, tetapi cukup sampai di sini.  Kepada semua  peminat dan mereka yang sentiasa menyokong, terima kasih diucapkan.

ApaKataWartawan

KISAH DUIT, DALCA DAN TUDUNG LITUP SHARIFAH AINI

oleh BAM (Bahyah Mahmood)

Penghijrahan Datuk Sharifah Aini sejak pulang dari Makkah Makkatul Mukarramah mengerjakan haji, rukun Islam yang kelima, terus-terusan bertudung litup - begitulah pengakuannya.  Ini suatu kejutan bagi peminat-peminatnya.  Penghijrahan Aini dari dunia gemerlapannya ke satu daerah yang menjurus kepada keagamaan, bagi saya sendiri, adalah hidayah Allah SWT kepada hamba-Nya.  Penghijrahan yang membawa satu perubahan besar kepada diri Aini, setelah lebih dari 40 tahun begelar sebagai penyanyi dang penghibur.

Penghijrahan ini memang kena dengan masanya, apa lagi Aini sudah bertudung litup.  Kini perhatiannya tertumpu pada konsert-konsert amal khusus untuk membantu sekolah-sekolah tahfiz dan membantu kemiskinan rumah tumpangan anak-anak yatim piatu.  Lebih mengesankan lagi konsert-konsert amal yang kerap diadakan ini diselenggarakan oleh syarikat milik Aini sendiri iaitu Seri Dewi Productions.  Walaupun ekonominya teguh dan kukuh, hidup senang-lenang, tapi dia tidak mementingkan diri sendiri, ingin terus bekerja dengan nyanyian merdunya boleh menyenangkan orang lain.

Tidak setakat konsert-konsert amal jadi sedekah, bahkan wang ringgit dan apa saja yang diperlukan. Pernah 10 tahun dulu dia menghulurkan 50 helai sejadah untuk para jemaah di Surau Al-Huda Taman Keramat, Kuala Lumpur, tempat tinggal saya setelah dia mendapat tahu sejadah-sejadah di surau tersebut sudah lusuh.  Sesudah 10 tahun berlalu, kawan dan juga jiran sekampung yang sama-sama solat berjemaah waktu Maghrib mencuit hati saya menunjukkan sejadah-sejadah tempat kami sujud sambil berkata; "Semua sejadah ini Sharifah Aini yang hadiahkan 10 tahun dulu, cantikkan!".  Terkejut juga saya mendengarnya.  "Syukur Alhamdulillah ... murah rezeki Aini," kata hati saya.

Ada jemaah surau kami yang bersuara, "Ajaklah Sharifah Aini sembahyang di surau kita, ramai yang ingin berkenalan dengannya," saya hanya menganggukkan kepada dan menjawab, "Insya-Allah."  Saya sendiri juga suka memberitahu Aini tentang rumah-rumah anak yatim yang miskin yang memerlukan bantuan termasuklah Rumah Anak Yatim yang diusahakan oleh pelakon Mokhtaruddin, saya beri nombor telefonnya sekali.  Mana tahu ada duit terlebih itu bolehlah melabur untuk saham akhirat, begitulah usikan saya selamba saja.  Tapi Aini memang tak lokek keluar wang untuk rumah anak yatim dan sekolah tahfiz terutamanya.  Memang ada peruntukan untuk golongan fakir miskin juga.

Pernah saya jadi terpegun juga bila adik angkat Aini (enggan namanya disiarkan) memberitahu saya; "Kak Aini suruh saya hantar satu lori barang-barang untuk disedekahkan kepada masjid-masjid lama di Johor," katanya.  "Haaa satu lori?  Lori besar ke?  Barang-barang apa tu?" tanya saya terkejut.  Jawab si adik angkat; "Barang-barang makanan, beras, gula, kopi, teh, Milo, mi dan segala macam biskut, Kak Bahyah tahulah perangai Kak Aini, kalau nak bersedekah sampai beribu-ribu dia berbelanja, sampai hantar dengan lori ..."  "Sebab itulah rezeki Kak Aini tak pernah putus," kata adik angkatnya lagi.

Aini, yang saya kenal, dia suka memerap di rumah.  Tidak minat langsung melepak di kelab-kelab hiburan.  Kawan-kawannya kebanyakan, bukan artis sepertinya, yang pernah saya jumpa bila dijemput makan-makan di rumahnya, bersualah dengan korporat, ahli perniagaan wanita dan siapa sahaja yang ikhlas berkawan dengannya. Hebat juga perbualan di kalangan mereka, berbincang hal-hal politik semasa, kelas gitu!  Tak menyentuh langsung hal-hal dunia artis.  Mungkin Aini sendiri tidak berminat untuk menyentuh hal-hal dunia artis kerana dia sendiri seorang artis, mengapa nak bergosip hal kawan-kawan artis?

Begitulah sekelumit kisah seorang biduanita ternama negara, Sharifah Aini yang saya kenal salama lebih 40 tahun, ikatan silaturahim berkekalan hingga kini.  Aini sudah seperti keluarga saya sendiri.  Bila-bila sahaja dia akan menelefon saya bila dia mengidam nak makan kuih bingka pisang berangan.  Kemudian, mengidam pula nak makan lauk dalca.  Bila dah masak dalca, kenalah masak nasi tomato pula, ditambah satu lagi lauk ayam masak merah yang menjadi kesukaannya.  Untuk hidangan hari raya, ayam masak merah mesti ditempah awal-awal.  Bila saya tak larat nak memasaknya, Aini minta tuliskan resepinya dan bibiknya yang memasaknya.

Pembantu rumahnya dua orang ini cukup setia pada Aini yang mereka panggil mummy.  Sudah berpuluh tahun mereka tinggal bersama Aini.  Bibik bertugas memasak dan Mus pula nampaknya menjadi pengawal peribadi Aini, wanita yang paling dipercayainya kerana Mus amanah.  Aini sering membawanya bersama mengerjakan umrah bahkan ikut bersama mengerjakan haji baru-baru ini.  Mus juga jadi tukang urut bila bosnya penat dan sakit-sakit seluruh badan.  Hal ini saya lihat sendiri sewaktu kami sama-sama ke Mekah mengerjakan umrah beberapa tahun lalu.  Mus jadi tukang urut mummy.  Sungguh membahagiakan.

Apalagi yang dimahukan Aini dalam hidupnya di dunia ini?  Setelah dua perkahwinannya gagal, mujurlah ada Aliff.  Anak muda yang baik budi perkertinya ini adalah nyawa Sharifah Aini, Aliff adalah segala-galanya bagi mummynya.  Mungkin hanya satu sahaja lagi yang dalam penantian ... jodoh ke?  Jangan marah ya Aini. Kata orang, tanpa cinta hidup ini tidak ada indahnya!  Mudah-mudahan Allah akan mengurniakan jodohmu dengan lelaki yang soleh yang menjadi impianmu selama ini. Insya-Allah!  Penantianmu akan berakhir juga.  Alangkahnya indahnya hidup ini ... Sharifah Aini!

Selamat berhijrah hingga ke akhir hayat!

BELIAU MUDAH DIDEKATI Farihad

FARIHAD SHALLA MAHMUD, Wartawan Hiburan Berita Harian.  "Sejak dibangku sekolah lagi saya sudah diperdengarkan dengan lagu nyanyian Datuk Sharifah Aini atau lebih akrab disapa Kak Pah.  Waktu itu kakak saya memang meminati biduanita negara itu.  Semua koleksi album Kak Pah ada dalam simpanannya.

"Pada saya, Kak Pah adalah seorang penyanyi yang mempunyai sifat keibuan.  Dia banyak memberi nasihat dan juga kata-kata perangsang kepada peminat dan juga kawan rapatnya.  Seorang kawan yang baik, mudah didekati dan tidak sombong.  Malah status Biduanita Negara yang diberikan padanya itu tidak pernah mengubah dirinya yang dikenali sebagai seorang yang mesra dan sentiasa merendah diri.

"Seperkara mengenai Kak Pah, dia seorang yang sangat teliti terutama apabila membabitkan persembahan.  Kalau boleh dia tidak mahu membuat peminatnya kecewa dengan memberikan persembahan ala kadar.   Tak kisahlah kalau dikatakan cerweret asalkan peminatnya puas hati dengan apa yang disajikan.  Selain itu, Kak Pah juga dikenali sebagai seorang yang pemurah. Jika ada rezeki lebih, dia tidak lokek untuk berkongsi rezeki itu dengan insan yang kurang bernasib baik.  Dan dia juga suka menjamu kawan-kawan dan sering mengundang mereka kerumahnya."

SHARIFAH AINI CEREWET

oleh ABI (Ahmad Idris)

Sharifah Aini yang saya kenal, seorang penyanyi yang cerewet.  Apabila albumnya mahu dirakamkan, dia mahu semuanya berjalan dengan baik dan lancar.  Sejak mula masuk studio rakaman sehingga selesai, dia akan pastikan muzik untuk lagu-lagunya itu banyak menggunakan biola (string) yang menjadikan lagu yang dirakamkan itu pasti menggetarkan orang mendengarnya.

Bukan itu saja, malah lirik laguynya pun mesti mengandungi kata-kata mudah difahami orang dan mempunyai bahasa yang standard.  Sharifah Aini penyanyi yang sentiasa menjaga personalitinya.  Kini setelah bertudung, bila berfoto, dia lebih bersopan mengenakan pakaian yang sesuai dengan imej Islam.  Dia tidak suka mendedahkan itu dan ini, lebih-lebih lagi mendedahkan aurat.  Imej agama lebih diutamakan daripada dihambat glamour.

Dia seorang penyanyi gemar bersedekah, suka membuat amal kebajikan dalam usahanya untuk mencari nilai-nilai tambahan dalam hidupnya. Dia akan berusaha sedaya-upaya apabila menghadap Allah SWT kelak tidak dengan tangan dan dada kosong.

BAHAGIAN 2: DATUK SHARIFAH AINI ... SEGAN DAN SEDIH!