ALBUM TERAKHIR KAK PAH

oleh Ramlah Zainal  (Harian Metro: Rabu, 7 Mei 2008)

Sharifah Aini mahu tinggal dunia hiburan diwarnai 40 tahun selepas projek album ke-99

"Artis datang dan pergi.  Saya pula entah bila nak bersara.  Mungkin tidak lama lagi?" demikian antara ucapan alu-aluan Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar, 54, ketika sidang media sempena sambutan Hari Ibu Sharifah Aini di Hotel Legend, Kuala Lumpur, baru-baru ini.  Sekalipun berucap dengan nada ceria, hakikatnya, kata-kata penghibur malar hijau itu begitu mendalam maksudnya.  Apatah lagi beliau meraikan ulang tahun ke-40 pembabitannya di persada muzik tanah air tahun ini.

Sharifah Aini berkata, antara acara diatur bagi meraikan sambutan ulang tahunnya yang cukup bermakna itu ialah Minum Petang Eksklusif Hari Bonda yang juga bersempena Hari Ibu di Hotel Legend, Kuala Lumpur pada 11 Mei ini.  "Ia persembahan pertama saya sempena sambutan 40 tahun dalam industri muzik tanah air.  Empat puluh tahun berkecimpung dalam industri muzik adalah jangka masa cukup lama.  Saya sangat produktif dan banyak keluar album.  Pada masa sama, saya banyak menjayakan persembahan dalam dan luar negara.  Tapi, majlis makan malam korporat pula tidak ada publisiti seperti acara lain," katanya.

Sharifah Aini berkata, sambutan ulang tahunnya yang ke-40 itu juga berterusan tahun depan.  "Saya bertuah kerana masih meneruskan perjuangan dalam industri muzik.  Saya bukan di sini untuk mengumpul anugerah.  Apa yang penting, saya masih banyak pengikut termasuk mereka yang membesar dengan lagu saya.  Pada masa sama, saya mempunyai peminat baru yang ingin kenal lebih rapat dengan saya," katanya.

Pada masa sama, Sharifah Aini juga mempunyai rahsia mempertahankan nama dan popularitinya hingga kini.  "Sejak 15 tahun lalu, saya hanya keluar rumah apabila perlu.  Dunia saya hanya di rumah.  Saya juga mengelak daripada keluar ke tempat tidak sepatutnya.  Bagi saya, jika orang sentiasa melihat wajah kita di mana-mana, eksklusif seseorang artis itu akan hilang.  Saya bukan muda lagi untuk mencari publisiti.  Pada masa sama, saya perlu menjaga hati anak dan tidak ingin dikaitkan dengan cerita tidak baik," katanya.

Projek lain turut direncanakan Sharifah Aini ialah dua bingkisan albumnya, Warisan dan Irama Terindah Malaysia yang juga impiannya selepas berkecimpung 40 tahun dalam industri muzik.  "Projek album ke-99 ini impian saya sebelum meninggalkan industri seni.  Maklumlah, saya sudah begitu lama dalam industri muzik dan saya ingin meninggalkan sesuatu berharga buat generasi akan datang.  Pada masa sama, saya juga ingin buat seminar kepada pelajar di universiti mengenai lagu Melayu dan warisan serta memberi penjelasan pada mereka mengenai lagu ghazal, zapin dan gurindam," katanya.

Demi merealisasikan projek albumnya itu, Sharifah Aini sanggup mengeluarkan belanja puluhan ribu ringgit untuk album irama Melayu klasik yang mendapat sentuhan dua komposer terkemuka, Pak Ngah dan Ramli MS.  "Saya bekerja keras untuk album ini kerana bukan mudah untuk buat 40 lagu.  Saya dan Ramli sama-sama sibuk, tetapi Insya-Allah, album ini akan keluar tahun ini juga," katanya.

Selain album, program lain direncanakan Sharifah Aini tahun depan ialah konsert untuk peminatnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan menawarkan tiket pada harga berpatutan.  "Konsert ini bagi menghargai peminat yang setia menyokong perjuangan saya selama ini.  Bagaimanapun, saya masih mencari penaja untuk menjayakan konsert ini," katanya.

Bercerita lanjut mengenai sambutan Hari Ibu yang juga majlis hi-tea pada 11 Mei nanti, Sharifah Aini berkata, dia akan menyampaikan lebih 22 lagu pada persembahan bertaraf konsert itu nanti.  "Repertoire lagu khusus untuk meraikan Hari Ibu seperti Mawar Putih Untuk Mama, Ibu, Ummi (dipopularkan Datuk Shake), You Light Up My Life, Que Sera-Sera dan lain-lain lagi.  Saya akan berduet satu atau dua lagu bersama pelawak Dee.  Saya juga mengundang penyanyi Syed Sobri pada persembahan itu," katanya.

Apa yang penting, kata Sharifah Aini, dia memang ikhlas setiap kali menjayakan persembahan untuk peminatnya.  "Saya tidak akan terima bayaran jika terpaksa membohongi peminat.  Saya ingin pastikan duit diterima pada persembahan Hari Ibu nanti ikhlas dan setimpal buat peminat yang menyaksikan persembahan saya.  Saya tidak suka berkira soal bayaran dengan peminat," katanya.  Sharifah Aini berkata, dia juga akan tonjolkan aspek vokal dan banyak berinteraksi dengan penonton pada persembahannya nanti.  "Dalam usia 54 tahun, saya tidak akan menari di pentas.  Apa yang saya janjikan, ia petang yang cukup santai buat golongan ibu yang diraikan," katanya.

Sementara itu, Sharifah Aini berkata, dia kini bersedia menjadi ahli persatuan Karyawan selepas menarik diri dari persatuan berkenaan pada 2004.  "Sejak Freddie Fernandez mengambil alih Karyawan, saya melihat persatuan itu cukup aktif menjaga kebajikan artis.  Kini, masa sesuai untuk saya kembali.  Saya berasa lebih selamat untuk bersama Karyawan kerana Freddie prihatin dan bekerja keras menjaga kebajikan ahlinya.  Malah, ketika berhadapan saat sukar pada 2004, Freddielah satu-satunya orang tidak mempunyai sikap menghukum," katanya.

Mereka yang berminat menyaksikan Minum Petang Eksklusif Hari Bonda bersama Sharifah Aini pada 11 Mei nanti boleh membuat tempahan dengan menghubungi talian 03-61409571.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Mahu ke Afrika (Berita Minggu: Bi-Pop 18 Mei 2008)

  Belum Hilang Aura (Berita Harian Rabu, 14 Mei 2008)

  Rahsia Sharifah Aini Bertahan (Berita Harian Selasa, 29 April 2008)