RAHSIA SHARIFAH AINI BERTAHAN

oleh Serimah Mohd Sallehuddin  (Berita Harian: Selasa, 29 April 2008)

Penyanyi evergreen jayakan Minum Petang Eksklusif Hari Bonda pada 11 Mei di Hotel Legend

Mac lalu, cukup 40 tahun perjalanan Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar dalam gelanggang seni.  Meniti perjalanan yang cukup lama bergelar anak seni, pelbagai pengalaman suka, duka, pahit dan manis dilalui penyanyi yang memiliki vokal lemak merdu ini.  Penyanyi datang dan pergi.  Ada yang masih lagi bertahan dan tidak kurang juga yang hanya dapat merasakan seketika aura glamor.  Namun, Sharifah Aini masih terus bertahan.

Meraikan ulang tahun ke-40 dalam arena seni suara, penyanyi yang lebih gemar membahasakan dirinya sebagai Kak Pah, sedang merangka pelbagai projek bagi meraikan kejayaannya mempertahankan nama serta kedudukan hingga kini.  Salah satunya, Minum Petang Eksklusif Hari Bonda yang akan diraikan tanggal 11 Mei nanti bertempat di Hotel Legend, Kuala Lumpur.  Biarpun hanya sebuah majlis minum petang, Kak Pah menjanjikan persembahan bertaraf konsert.  Kak Pah bakal menghiburkan tetamunya selama satu jam setengah dengan lebih 22 rangkaian lagu.

Kata Kak Pah, jika peminat mengharapkan kelainan daripadanya.  Mungkin dia tidak mampu menunaikannya, dia tidak mampu menari di dalam usia yang bakal mencecah 55 tahun pada 2 Julai nanti.  Kelainan yang dapat dijanjikan hanyalah pada pilihan lagu dan dia juga mahu menumpukan pada vokal serta interaksi bersama peminat.  "Kelainan yang dapat Kak Pah janjikan adalah dari segi repertoire.  Kak Pah akan menyanyikan lagu yang ada kaitan dengan Hari Ibu seperti Mawar Putih Untuk Mama, Ibu, Ummi, You Light Up My Life dan banyak lagi.  Kak Pah tidak suka persembahan kelam kabut diiringi penari latar, sebaliknya Kak Pah mahukan sebuah persembahan yang relaks dan santai," katanya yang berasa bertuah dan gembira kerana berjaya bertahan dalam industri ini sehingga 40 tahun.  Kak Pah juga akan berduet dengan pelawak Dee untuk tiga buah lagu dan juga penyanyi Syed Sobri pada persembahan itu nanti.

Sebagai penyanyi berpengalaman, tentunya Datuk Sharifah Aini mempunyai rahsia mempertahankan nama dan popularitinya hingga kini.  Penyanyi itu ternyata tidak lokek berkongsi rahsia dan formula untuk terus bertahan dalam industri yang penuh saingan ini.  Rahsia Kak Pah, sejak 15 tahun lalu dia hanya keluar rumah apabila perlu.  Katanya, dunianya hanya di rumah, wajahnya tidak mudah untuk dilihat di tempat awam.

"Sampai satu tahap, Kak Pah mengelak daripada keluar ke tempat yang tidak relevan.  Dunia Kak Pah adalah di rumah.  Kalau ingin bertemu dengan rakan, Kak Pah selesa di rumah.  Kak Pah jarang bertemu mereka di luar.  Bagi Kak Pah, hanya ini saja cara untuk seseorang artis menjaga nilai eksklusif mereka.  Jika orang sentiasa melihat wajah kita di mana-mana, eksklusif seorang artis itu akan hilang.  Tetapi semua ini sekadar formula saya, mungkin saya silap.  Lagipun Kak Pah bukan lagi muda, Kak Pah tidak perlukan lagi publisiti.  Kak Pah juga perlu menjaga hati anak-anak, apa kata mereka sekiranya ibu mereka dikaitkan dengan cerita tidak enak," kata penyanyi itu lagi.

Sambutan ulang tahun ke-40 dalam hiburan akan berlanjutan hingga tahun depan.  Antara program yang turut diatur ialah konsert untuk peminatnya yang terdiri daripada golongan sederhana.  Dia merancang untuk mengadakan konsert berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan menawarkan tiket pada harga yang berpatutan.  Mereka juga kata diva itu sebahagian daripada peminat yang menyumbang kepada kejayaannya dalam industri ini.  Justeru, mereka juga wajar dihargai.  Bukan itu saja, Kak Pah juga sanggup mengeluarkan bajet yang besar untuk album ke-99.  Album berjudul Warisan dan Irama Terindah Malaysia mendapat sentuhan dua komposer terkemuka iaitu Pak Ngah dan Ramli MS.  Kak Pah akan memperjuangkan irama Melayu klasik di dalam albumnya nanti.

Menurut Kak Pah, dia berharap satu hari nanti, albumnya itu akan menjadi bahan rujukan generasi baru.  Malah, Kak Pah juga akan masuk ke universiti di seluruh Malaysia setelah albumnya siap kelak bagi memberi ceramah kepada pelajar mengenai lagu Melayu serta warisan kita.  Disebabkan itu, Kak Pah sanggup berhabis berpuluh-puluh ribu semata-mata untuk memastikan album ini berjaya.

Memahatkan kejayaan bertahan lama di dalam industri ini, sebuah lagu diciptakan khas buat Kak Pah yang akan turut dimuatkan dalam album terbarunya itu.  Lagu berjudul Aku Masih Di Sini menjadi lambang kejayaan penyanyi evergreen itu.  Malah lagu itu turut dibuat dalam dua versi iaitu, satu versi sentuhan Yassin sementara sebuah lagu kolaborasi Yassin dan Ramli MS.

Tambah membuatkan penyanyi ini bangga apabila 13 universiti di Amerika Syarikat membuat kajian mengenai Sharifah Aini dan berkemungkinan besar, Kak Pah akan ke sana untuk bertemu mereka.

Kembali sertai Karyawan

Selepas menarik diri daripada persatuan Karyawan pada 2004, Datuk Sharifah Aini kini bersedia untuk kembali menjadi ahli persatuan berkenaan.  Dia menarik diri kerana situasi ketika itu yang tidak mengizinkan, bagaimanapun sejak Freddie Fernandez mengambil alih dia melihat persatuan berkenaan cukup aktif menjaga kebajikan artis.  Biarpun persatuan berkenaan bergolak sikit masa dulu, namun dia tetap mempercayai kredibiliti Freddie sebagai pemimpin dan tidak mahu menghukumnya.

"Saya kira sekarang masa yang sesuai untuk kembali.  Sejak Freddie mengambil alih Karyawan, saya berasa lebih selamat.  Dia seorang yang prihatin dan bekerja keras menjaga kebajikan ahlinya.  Ketika Kak Pah menghadapi waktu yang sukar pada 2004, satu-satunya orang yang tidak mempunyai sikap menghukum adalah Freddie," katanya lagi.

Bagi mereka yang ingin menyaksikan persembahan Datuk Sharifah Aini sempena Hari Ibu nanti boleh membuat tempahan dengan menghubungi 03-61409571.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Mahu ke Afrika (Berita Minggu: Bi-Pop 18 Mei 2008)

  Belum Hilang Aura (Berita Harian Rabu, 14 Mei 2008)

  Album Terakhir Kak Pah (Harian Metro Rabu, 7 Mei 2008)