KAK PAH MAHU KE AFRIKA

oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed (Berita Minggu: Bi-Pop, 18 Mei 2008)

"Sudah sampai masanya saya melakukan sesuatu yang berbeza.  Jauh di sudut hati, saya ingin menyumbangkan khidmat dan tenaga untuk kerja kebajikan dan kemanusiaan" ... Sharifah AiniBiduanita Negara, Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah tetap sehebat dulu dan tidak sesekali tenggelam dek kemunculan bintang muda dan penyanyi generasi baru.  Biarpun populariti yang diraih tidak sehebat penyanyi muda tetapi mutu persembahan dan vokal Kak Pah nyata sukar disaingi penyanyi muda.  Buktinya, Majlis Minum Petang Eksklusif Hari Bonda Bersama Datuk Sharifah Aini di Hotel Legend, baru-baru ini meninggalkan sejuta kenangan manis.  Kemunculannya hanya sekali sekala di pentas tetapi tidak pernah mengecewakan.   Ratusan peminat setia hadir memberikan sokongan dengan hati teruja.  Ternyata penyanyi sepanjang zaman itu sangat dirindui peminat.

Apa yang dapat dikatakan, apabila sebut nama Kak Pah, kelunakan suara yang tidak pernah pudar menjadi perhatian ramai.  Selama lebih 40 tahun bergelumang dalam industri hiburan yang begitu hebat persaingannya, penyanyi yang masih anggun itu tetap unggul kerana walaupun ramai artis datang dan pergi, Kak Pah masih berdiri di situ.  Tentunya persembahan penyanyi tersohor itu mengimbas kenangan lama.  Diva Evergreen yang anggun dengan busana rekaan pereka terkenal, Calvin Thoo membawa penonton mengimbau kisah suka duka sepanjang lebih 40 tahun bergelar penghibur tanahair.

Kira-kira dua jam berada di pentas, kak Pah menyampaikan lebih 20 lagu merdu yang dipetik daripada era 70-an dan 80-an yang pernah dipopularkan.  Selain menghadiahkan persembahan istimewa sudah tentu Kak Pah tak lupa merapati peminatnya.  Sebaik turun dari pentas, dirinya tentunya dikerumuni peminat yang tidak mahu melepaskan peluang bersalaman, berpelukan dan merakamkan gambar kenangan.  Tidak kurang yang melepaskan rindu dengan mencium pipinya, tatkala Kak Pah berjalan-jalan menghampiri meja tetamu, sambil mengalunkan lagu Hapuslah Airmatamu.

Selain itu, Kak Pah juga membuat hati peminatnya meruntun dengan mendendangkan lagu buat insan teristimewa seperti Ibu, Mama, Kasihnya Ibu, Ayah Dan Ibu dan Mawar Putih Untuk Mama.  Persembahan kak Pah diiringi tiga pemuzik terdiri daripada Syed Sobrie, Jeya dan Eric, manakala penyanyi latar diiringi oleh Juanita, Eja dan Anis.

Persembahan kak Pah pada petang itu dianggap penuh emosi apabila kak Pah mengumumkan hasrat persaraannya sebaik saja rakaman album ke 99 dan 100 tahun depan.  Siapa yang tak terkejut?  Walaupun nadanya hanya sekadar bersenda tetapi kebenaran terpancar dalam setiap kata-katanya.  "Sudah sampai masanya saya melakukan sesuatu yang berbeza.  Jauh di sudut hati, saya ingin menyumbangkan khidmat dan tenaga untuk kerja kebajikan dan kemanusiaan.  Saya percaya ramai insan yang tidak bernasib baik di luar sana yang memerlukan.  Tetapi apabila saya menyuarakan hasrat untuk melakukan kebajikan, ramai yang memandang dan bertanya apakah saya serius?  Jadi, bagi mengelakkan perkara seperti itu berulang, hantarlah saya ke Afrika atau ke mana saja, selama tiga bulan atau enam bulan, biar saya sumbangkan tenaga untuk membantu mereka yang memerlukan pertolongan," katanya ikhlas.

Kak Pah turut menyoroti zaman susahnya.  Tatkala kanak-kanak sedang sibuk mengulangkaji pelajaran, dirinya terpaksa menjual kuih dan mengambil upah menggiling cili bagi meringankan bebanan keluarga.  Bapanya seorang pemandu teksi yang terpaksa berhempas pulas membesarkan anak-anak.  Beliau juga masih ingat peristiwa menaiki bas ke studio rakaman.  Pertandingan nyanyian disertai pada usia remaja, mengubah kehidupannya.  Dengan rezeki yang diperolehi hasil suaranya, Kak Pah membantu keluarga.

Pada petang itu juga, bukan saja kisah silam dan pesanan berguna dikongsi penyanyi ini bersama peminat, malah Kak Pah juga berkongsi banyak lagu merdu era terdahulu untuk halwa telinga penontonnya.  Antara lagu yang didendangkan ialah Putus Kasih, Seri Dewi Malam, Kenangan Indah Yang Menyayat, Dekatlah Padaku, Terbang Helang, Empat Dara, Kau Pergi Tanpa Pesan dan Bunga Tanjung

Suasana diceriakan digamatkan dengan kemunculan pengacara Dee yang menukar pakaian sebanyak empat kali.  Pada satu ketika, dia menggamatkan keadaan apabila tampil dengan imej Kak Pah.  Disamping sebuah lagu Arab, Kak Pah juga menyampaikan lagu Inggeris termasuk You're Still You, Que Sera, Sera (Whatever Will Be, Will Be), All Of You dan Don't Forget To Remember Me.

Artikel lain yang berkaitan:

  Belum Hilang Aura (Berita Harian Rabu, 14 Mei 2008)

  Album Terakhir Kak Pah (Harian Metro Rabu, 7 Mei 2008)

  Rahsia Sharifah Aini Bertahan (Berita Harian Selasa, 29 April 2008)