saya akan merindui asam pedasnya 'Karpet Merah' dikendalikan Roslen Fadzil (Harian Metro: RAP – Isnin, 7 Julai 2014) |
Bagaikan lagu Datuk M Nasir – Suatu Masa – saya tidak tahu bagaimana hendak bermula sebenarnya. Apakah juga kata-kata yang indah untuk diabadikan dan ke manakah perginya ilham? Semuanya masih lagi seperti bermimpi. Terjaga dari tidur semalam, saya masih lagi cuba menyakinkan diri ini bahawa Datuk Sharifah Aini sudah tiada lagi di dunia ini. Penyanyi lagu Bunga Tanjung dan Kekasih Pujaan sudah kembali menemui Yang Maha Esa. Inilah hakikat yang harus saya terima, bukan saja saya malah semua ahli keluarga, sahabat dan anda yang menjadi peminatnya. Seperti yang saya katakan dalam wawancara bersama Agenda Awani di Astro kelmarin, kali terakhir saya berbual dengan beliau yang biasa dipanggil Kak Ani adalah lebih dua minggu lalu sebelum saya berlepas ke Barcelona, Sepanyol. Beliau sendiri yang menghubungi saya di talian dan memberitahu status kesihatannya agak baik namun akan masuk semula ke Hospital Pakar Damansara bagi membuat rawatan susulan. Ketika itu bual bicara Kak Ani seperti biasa. Saya lega kerana nada suaranya kedengaran sihat, Kak Ani berpesan kalau sempat datanglah melawatnya ke hospital lagi pada minggu berikutnya. Saya kata insyaAllah dan berharap dapat berjumpa lagi selepas kembali dari Barcelona. Malah, dia juga berpesan supaya saya membeli ole-ole dan saya tahu sangat apa yang dimaksudkan – magnet peti sejuk. Kembali ke Malaysia pada 1 Julai, saya dimaklumkan bahawa Kak Ani sudah berada di Unit Rawatan Rapi (ICU). Saya mula memantau perkembangan beliau daripada kawan-kawan seperti Harry Jalil serta Kak Cham (Hanizam Abdullah). Tanggal 2 Julai lalu iaitu pada ulangtahun hari jadi beliau, saya terus bergegas ke wad. Ketika itu saya hanya berpeluang meninjau di luar cermin katil beliau dan tidak bercadang untuk masuk mendekati kerana keadaan kurang sesuai. Anak tunggal Kak Ani, Aliff Omar Ali, 32, kelihatan sibuk menemani ahli keluarga terdekat termasuk neneknya, Sharifah Noor Syed Ahmad Al-Attas, 80, (Ummi) yang baru sampai dari Singapura. Apa yang menyentuh hati ini, Ummi dibawa khas bagi menemui Kak Ani sebagai hadiah istimewa untuk hari jadinya yang ke-61. Apa lagi rahmat terbaik kalau bukan kasih dan doa seorang ibu? Sejak detik itu saya sentiasa mendengar perkembangan terkini mengenai status Kak Ani daripada sahabat baik beliau iaitu Aishah Ali yang juga ibu kepada 'rapper' Joe Flizow. Sungguh tidak saya sangka pada ulangtahun harijadi Kak Ani tahun lalu, saya dan Aishah dan beberapa lagi rakan membuat persembahan nyanyian untuk beliau di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur. Kami mendendangkan medley lagu-lagu popular sebagai hadiah. Nampak, Kak Ani begitu terhibur. Ketika itu beliau baru sembuh daripada rawatan intensif untuk paru-parunya yang mula tidak stabil. Kembali pada 2 Julai lalu, saya merasa sedikit lega kerana Aishah, Kak Cham dan Harry memberitahu tahap pernafasan Kak Ani menampakkan perkembangan positif. Alhamdulillah. Seterusnya pada 4 Julai lalu, hati saya tiba-tiba berdetik untuk pergi lagi ke ICU itu. Ketika berbuka, melodi lagu Mawar Putih untuk Mama begitu terngiang-ngiang di telinga saya. Tanpa membuang masa, jam 9 malam saya terus bergegas ke sana dan memang rezeki saya pada malam itu dapat masuk hingga ke sisi Kak Ani. Dalam kesedihan melihat beliau terlantar memejam mata, saya memberi salam dan berbisik perlahan ke telinganya. Saya hanya doakan kesejahteraannya dan meminta dia banyak mengucap dan moga lekas sembuh untuk pulang ke rumahnya semula berhari raya. Terharu rasanya apabila Kak Ani memberi reaksi mata dan gerakan bibir seakan mendengar bisikan saya. Saya tidak menunggu lama dan terus berlalu selepas itu. Pulang ke rumah, jam 1 pagi pada 5 Julai lalu, saya menerima panggilan daripada Aishah bahawa Kak Ani sedang nazak. Setengah jam kemudian dalam perjalanan saya menerima lagi panggilan mengatakan Kak Ani baru saja menghembuskan nafas teraklhir. Innalillahiwainnailaihirojiun ... Serentak itu, segala kebaikan seorang kakak yang pernah menyumbang bakti kepada nusa dan bangsanya mula bermain di kotak fikiran saya. Seorang insan yang suka menabur amal jariah kepada anak-anak yatim, anak-anak tahfiz dan ibu tunggal kini sudah kembali ke pangkuan Ilahi. Beliau bukan saja dikurniakan kecantikan tetapi juga bakat suara untuk mendamaikan hati yang kusut. Mampukah kita menyambut hari raya tidak lama lagi tanpa memutarkan lagu-lagunya. Saya sendiri hanya bermula sebagai seorang peminat. Lagu Sharifah Aini sentiasa mengiringi setiap fasa kehidupan saya bermula kanak-kanak, remaja hingga ke detik ini. Zaman hidup susah keluarga saya diiringi dengan alunan lagunya seperi Seri Dewi Malam dan Kekasih Pujaan. Apabila saya bersekolah rendah dan menengah, muncullah lagu hit beliau seperti Bunga Tanjung, Burung Pungguk, Kasihnya Ibu, Dari Masa Hingga Masa, Seri Mersing, Hapuslah Airmatamu, Tiada Maaf Bagimu, Terbang Helang, Teratai, Forever And Ever, Tiada Yang Kekal Melainkan Allah, Sayang Musalmah dan Kau Pergi Tanpa Pesan. Ia berterusan hinggallah ke zaman Seribu Mawar dan Seksa. Siapa yang mampu menindakkan kemerduan dan kelunakan vokal Sharifah Aini malah ketika berjumpa penggubah muzik handalan Datuk Johari Salleh pada malam pemergian beliau itu, konduktor terbabit akui Sharifah Aini menyambung kehebatan Biduanita Saloma. Daripada sahabat wartawan, saya juga dimaklumkan Allahyarham Sudirman Haji Arshad juga sangat mengagumi vokal beliau dan berkata suara Sharifah Aini sentiasa 'bulat' daripada nada rendah hinggalah chorus (tinggi). Ini jarang ada pada penyanyi lain.
Hakikatnya, kini saya akan pasti merindui
segala yang manis-manis mengenai Sharifah Aini. Saya akan merindui asam
pedasnya, kuih muihnya, teh perasa ros laici dalam cawannya malah juga dua
pembantu rumahnya yang paling setia hingga ke akhir hayat
– Mus
dan Bibik. Mereka adalah sebahagian daripada Sharifah Aini dan akan
abadi dalam ingatan ini buat selama-lamanya. Al Fatihah buat Kak Ani.
Moga rohmu dirahmati Allah SWT. Amin.
Artikel lain yang berkaitan:
Tiga Pesanan Arwah Kak Pah
(Harian Metro:
Setempat
– 7 Julai 2014)
Gugurnya Sekuntum Bunga Tanjung
(Harian Metro:
RAP
– 7 Julai 2014) |