gugurnya sekuntum bunga tanjung

oleh Norhayati Nordin  (Harian Metro: RAP Isnin, 7 Julai 2014)

 

belasungkawa datuk sharifah aini syed jaafar

(2 JULAI 1953 5 JULAI 2014)

allahyarham ketika hayatnya seorang yang sangat pemurah, penyayang, pemurah

Di kala Aidilfitri akan bertandang tidak lama lagi lagu seperti Hari Yang Mulia, Suasana Hari Raya serta Nostalgia Aidlfitri dendangan asal Biduanita Negara Allahyarham Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar pasti menjadi pilihan pendengar.  Namun, kini semuanya tinggal kenangan apabila penghibur ternama itu akhirnya menyahut panggilan Ilahi pada Sabtu lalu di Pusat Rawatan Pakar Damansara, Petaling Jaya akibat penyakit komplikasi fibrosis paru-paru yang dideritai hampir dua tahun.

Bahkan, Allahyarham juga turut disahkan doktor menghidap dan menderita virus Influenza A (H1N1) sejak beberapa lama selepas dijangkiti daripada seorang teman yang dibawa kenalannya ketika menghadiri satu majlis di kediaman arwah di Petaling Jaya.  Ternyata pemergian buat selama-lamanya Sharifah Aini atau mesra dengan sapaan Kak Pah itu satu kehilangan besar kepada industri seni tanahair yang tiada galang gantinya.  Allahyarham adalah bintang tersohor yang mampu bertahan dalam industrI selama 45 tahun.

Dilahirkan di Ngee Soon, Singapura tanggal 2 Julai 1953 hasil perkongsian hidup ibunya Sharifah Noor Syed Ahmad Al Attas bersama Syed Jaafar Syed Sahil.  Bagaimanapun, pada ketika Allahyarham berusia lapan bulan, arwah dijaga dan dibesarkan oleh pasangan datuk, Syed Sahil Syed Ali Al-Jufry serta neneknya, Tengku Wan Mariam Tengku Wan Tahir di Kampung Majidee, Johor Bahru.

Pun begitu, bakat penyanyi berdarah kacukan Melayu-Arab yang terkenal dengan sebutan 'idgham' ini dicungkil menerusi pertandingan Bintang Radio Televisyen Singapura (RTS) pada 1968 dengan lagu Tiga Malam.  Pernah mendapat gelaran Supertsar pada puncak kegemilangan sekitar 1970-an, anak seni yang berbakat menyanyikan apa saja lagu dalam pelbagai genre itu turut menerima pelbagai jolokan seperti Elizabeth Taylor Malaysia dan Diana Ross Malaysia.

Turut diingati peminat dengan kejelitaannya yang kaya dengan 'tahi lalat' di wajah.  Allahyarham juga cukup terkenal dengan barisan lagu popular seperti Bunga Tanjung, Seri Dewi Malam, Terbang Helang, Mawar Putih Untuk Mama, Teratai dan Bunga Tanjung.  Tidak ketinggalan pada 1976 pula Allahyarahm turut menceburi dunia lakonan dengan membintangi filem Hapuslah Airmatamu pada 1976, diikuti filem Sumber Ilhamku dan Superstar Bintang Pujaan, selain kemunculan khas dalam Diva Popular dan Penanggal, tahun lalu.

Pun begitu, pencapaian Allahyarham dalam industri muzik tanahair cukup cemerlang apabila pernah menghasilkan kira-kira 135 album, termasuk 7 album bahasa Inggeris.  Selain memiliki jutaan peminatnya tersendiri daripada pelbagai kaum dan usia termasuklah golongan istana hingga ke marhain.  Allahyarham juga menjadi artis paling lama bertahan dengan satu syarikat rakaman iaitu EMI Malaysia dan pernah membuat persembahan di rantau Asia seperti Jepun, Dubai, Korea, Hong Kong, China, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Turut mencipta nama dalam Malaysia Book of Records kerana mampu bertahan di bawah naugan EMI Music, pada sekitar 2006 Allahyarham meraih gelaran Biduanita Negara yang melonjakkan nama dan sumbangan seninya sehebat Allahyarham Puan Sri Saloma.

Memiliki seorang cahayamata, Aliff Omar Ali, 32, hasil daripada perkahwinan pertamanya dengan Ali Bakar pada 1981.  Sebagai seorang ibu yang menyanyi, memahami dan menyokong kehendak anak tunggalnya untuk mendalami agama.  Allahyarham cukup cekal perlu berjauhan dengan permata hatinya selama 11 tahun.  Berkat Ramadan yang mulia ini juga arwah sempat dua minggu bermanja dan mengubat rindu dengan Aliff apabila anak tunggalnya itu pulang ke Malaysia selama tiga bulan kerana bercuti untuk meraikan Ramadan disusuli Aidilfitri tidak lama lagi.

Turut mendapat peluang dijaga dengan penuh perhatian oleh anak tersayang sepanjang keadaan kesihatannya yang merosot di hospital, seorang lagi individu penting yang setia berada di sisi Allahyarham sehingga menghembuskan nafas terakhir ialah ibunya, Sharifah Noor, 80.  Allahyarham ketika hayatnya seorang yang sangat pemurah, penyayang dan pemaaf.  Malah sering membuat pesembahan amal tanpa bayaran.  Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat.  Amin.

Artikel lain yang berkaitan:

  Tiga Pesanan Arwah Kak Pah (Harian Metro: Setempat 7 Julai 2014)

  Saya Akan Merindui Asam Pedasnya (Harian Metro: RAP 7 Julai 2014)