TIGA PESANAN ARWAH KAK PAH

oleh Nor Akmar Samudin  (Harian Metro: Setempat Isnin, 7 Julai 2014)

  Jangan ambil gambar jenazah

  Usah buka tutup muka

  Anak imam solat jenazah

Kuala Lumpur.  Pemergian biduanita tersohor negara, Datuk Sharifah Aini, 61, awal  pagi Sabtu lalu akibat komplikasi paru-paru meninggalkan kenangan yang sarat di hati peminat dan kenalan rapatnya.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Allahyarham sempat meninggalkan tiga pesanan iiaitu jangan mengambil gambar jenazahnya, jangan membuka tutup muka dan beliau mahu anak tunggalnya, Aliff Omar, 32, mengimankan solat jenazah.

Bagaimanpun, mungkin ramai yang terlepas pandang mengenai satu lagi 'wasiat' Allahyarham yang pernah diungkapkan sewaktu program Celik Hati Prof Muhaya disiarkan di TV9, Jun tahun lalu.

Dalam remuramah dengan Prof Muhaya, beliau memberi pesanan kepada media agar tidak mengeluarkan video atau gambar lamanya tidak berhijab.  Memetik kenyataannya dalam program itu, beliau membuat permintaan kepada setesen TV dan kepada rakan media, kalau nak siarkan gambarnya, jangan siarkan gambarnya yang tidak berhijab.

"Kesian kat kita semua.  Kami semua dah 'move on'.  Kita tak kata kita baik, tapi kita nak jadi baik.  Kita nak dekat dengan Allah SWT dan setiap hari kita mencari keredaanNya," katanya.

Sebelum koma sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhirnya Allahyarham menerusi rakan karibnya, Datuk Khalilah Mohd Talha yang juga Pengurus Besar Bahagaian Komunikasi Plus Expressway Berhad, memuat naik pesanan buat peminat khususnya mereka yang sering berinteraksi dengannya menerusi akaun feacebook (FB) milknya.

Berikut antara catatan Allahyarham itu:

"Setiap dari kita tidak tahu bila kita akan dijemput olehNya.  Jika ditakdirkan Allah SWT, sampai masanya untuk saya pulang ke Rahmatullah, jika ditkadirkan ujian yang Allah SWT berikan ini berkahir dengan saya keluar sebagai jenazah dengan hati yang damai, saya tenang dan reda dengan apa yang ditetapkan.

"Doakan saya berakhir dalam  husnul khotimah.  Sesuatu yang saya ingin anda, keluarga FB saya tahu ialah saya teramat sayangkan anda semua.  Saya sangat menghargai segala kasih sayang, ingatan, doa dan budi baik yang anda curahkan kepada saya selama ini.

Doakanlah kesejahteraan saya, sedekahkanlah al-Fatihah, ingatlah saya dalam setiap doa anda.  InsyaAllah kita semua akan menjadi keluarga semula di Jannah (syurga).

"Satu pesanan saya, seandainya saya sudah tiada gunakanlah FB ini ke arah kebaikan, untuk menjaga silaturahim, saling menasihati dan bukan untuk mengumpat, menabur fitnah dan segala perbuatan yang sia-sia dan mendatangkan dosa.  Kasihanilah diri anda sendiri.

"Begitu pantas masa berlalu.  Selama 45 tahun saya bergelar anak seni.  Terlalu banyak kenangan, terlalu banyak pengalaman pahit dan manis.  Begitu ramai yang membesar dengan lagu-lagu saya.

"Namun, yang pasti perjanalan panjang penuh berwarna-warni yang saya lalui ini tidak akan terjadi tanpa kehadiran anda, peminat yang sentiasa memberi sokongan tidak pernah berbelah bagi.

"Anda pembakar semangat, pendorong untuk saya untuk terus bertahan.  Tanpa anda siapalah saya.  Ketahuilah, sedari mula saya melangkahkan kaki dalam dunia seni sehingga ke hari ini, niat saya tidak pernah berubah, ikhlas untuk menggunakan anugerah suara yang telah dikurniakan ALLAH ini sebaik mungkin.

Segala kebaikan anda tidak akan pernah luput dari ingatan, dan akan saya bawa hingga ke akhir hayat.  Doakan kesejahteraan saya dunia dan akhirat sebagaimana saya sentiasa mendoakan kebaikan dan kesejahteraan buat semua keluarga dan peminat-peminat saya di sini.  InsyaAllah.

Artikel lain yang berkaitan:

  Gugurnya Sekuntum Bunga Tanjung (Harian Metro: RAP 7 Julai 2014)

  Saya Akan Merindui Asam Pedasnya (Harian Metro: RAP 7 Julai 2014)