AZNIL ENGGAN DEDAH ISI 'SURAT MISTERI' 'Sekadar Tanya' oleh Zul Husni Abdul Hamid (BH Ahad: B*Pop – Ahad, 13 Julai 2014) |
Pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi dalam program khas H Live!, Apa Kata Malaysia yang memberi penghormatan kepada biduanita, Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 6 Julai lalu mendedahkan mengenai misteri sepucuk surat yang berada dalam simpanannya sejak sedekad lalu. Aznil mendakwa sampul surat itu diserahkan oleh penyanyi bersuara lunak berkenaan kepadanya untuk disimpan pada satu pertemuan di kediamannya dan turut di alamatkan kepada satu nama besar dalam industri hiburan tempatan. Pada pertemuan itu juga, arwah dikatakan turut mengamanahkan kepada Aznil supaya mendedahkan isi kandungan surat itu kepada umum apabila tiba masanya. Pemergian Allahyarham yang mesra disapa Kak Pah pada awal pagi 5 Julai lalu menggamit semula ingatan Aznil kepada surat yang lama tersimpan itu. Surat apakah itu? Bersediakan Aznil untuk berkongsi isi surat itu kepada umum? B*POP mendapatkan penjelasan Aznil. B*POP: Sejauh mana keakraban Aznil dan Kak Pah hingga arwah meletakkan kepercayaan untuk menyimpan salinan 'surat misteri' itu? Aznil: Saya masih ingat pada tahun 2004 ketika sedang berdepan tekanan, arwah menghubungi saya kerana memerlukan seseorang untuk berkongsi isi hatinya. Kebetulan hubungan kami berdua agak rapat kerana sering menjayakan persembahan bersama. Arwah pernah menawarkan diri untuk mengajar saya menyanyi percuma, tetapi saya tolak kerana suara saya tidak sehebat mana,. Ketika berbual, arwah mengeluarkan sampul surat yang memuatkan satu dokumen menceritakan sudut pandangan dirinya terhadap isu hangat yang diperkatakan masyarakat ketika itu. S: Selepas pemergiannya, apakah Aznil terfikir untuk mendedahkan isi kandungan surat itu? J: Sebenarnya, saya sudah lupa mengenai dokumen 10 muka surat yang lama tersimpan itu. Pada hari arwah meninggal saya berkesempatan menziarahinya di hospital. Ketika dalam perjalanan pulang, saya teringat amanah yang diberikan arwah dan berhasrat untuk berkongsi dengan umum. Apabila difikirkan semula, lebih baik saya menyimpannya sebagai rahsia peribadi. Saya bimbang pendedahan itu akan membongkar semula kenangan lalu dan mengguris hati mereka yang dikaitkan. S: Apakah yang membuat Aznil membatalkan hasrat untuk berkongsi isi kandungan surat berkenaan? J: Saya bernasib baik kerana cuma berkongsi sedikit mengenainya dan Tuhan belum membukakan pintu hati saya untuk mendedahkan keseluruhan kandungan surat itu pada hari siaran. Apabila difikirkan semula, rasanya tidak wajar untuk saya membongkar perkara yang sudah berlalu. Biarlah saya simpan luahan hatinya terhadap peristiwa pada tahun 2004 itu menjadi misteri sampai bila-bila. Saya tidak tahu apakah arwah turut menghantar surat berkenaan kepada penama yang dimaksudkan. Sekiranya dihantar, saya berharap ia juga menjadi misteri kerana saya hanya mahukan arwah tenang di sana. S: Apakah antara kenangan atau nasihat daripada arwah yang masih membekas dalam ingatan Aznil? J: Dulu kami kerap berjumpa apabila ditawarkan menjayakan persembahan di RTM. Tidak tahu kenapa, arwah lebih selesa untuk berbual dengan saya sementara menanti waktu rakaman bermula. Setiap kali arwah menganjurkan majlis atau acara amal, pasti arwah akan menghubungi saya untuk menyumbang dan memberi sokongan. Setiap kali berdepan sesuatu isu yang merunsingkan, arwah akan menghubungi untuk bertanya pendapat. Sebagai adik, saya sedia menjadi pendengar yang setia. Bagaimanapun, selepas beberapa ketika kami sudah jarang berhubung kerana kesibukan masing-msaing. Sebaik mendengar kesihatannya merosot, saya cuba menghubungi semula arwah untuk bertanya khabar tetapi nombor telefon bimbitnya dalam simpanan saya sudah bertukar. S: Sesuatu yang tidak memungkin Aznil lupakan mengenai arwah? J: Arwah selalu meluahkan hasratnya untuk mencari pelapis yang meneruskan legasi seninya. Arwah selalu berpesan, seseoang itu tidak akan selamanya berada di puncak dan tiba masa harus melahirkan legasi sendiri. Saya pegang amanahnya itu, cuma ralat kerana jejak seninya hanya sempat diturunkan kepada Shiha. Arwah terlalu banyak ilmu, cuma tidak diberikan peluang dan ruang supaya lebih ramai anak seni mendapat manfaat daripada pengalamannya. Artikel lain yang berkaitan: Sepintas Kenanganku Bersama Sharifah Aini (BH Ahad: B*Pop – 13 Julai 2014) Nostalgia Terakhir Biduanita Negara (BH Ahad: B*Pop – 13 Julai 2014) |