NOSTALGIA TERAKHIR BIDUANITA NEGARA 'Desas Desus' oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed (BH Ahad: B*Pop – Ahad, 13 Julai 2014) |
Hari ini, sudah lapan hari Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar kembali ke rahmatullah. Pemergiannya pada awal pagi Sabtu lalu akibat komplikasi paru-paru cukup mengejutkan. Tak sangka secepat ini seorang insan istimewa yang dianggap seperti kakak bagi Raja, sudah kembali ke pangkuan Ilahi ... Ketika beliau menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.26 pagi, Kuala Lumpur hujan renyai-renyai, seolah-olah menangisi pemergiannya ... Tentulah sikap bergurau, celoteh, rajuk dan ketawa manjanya dirindui! Bila terpandang wajahnya di dada akhbar, airmata Raja tak henti berjuraian. Melihat temubual ulangan bersamanya di program TV sebelum ini, hati jadi sebak. Entah, mungkin hati ini masih bersisa menyimpan rasa terkilan tidak dapat menatap wajahnya buat kali terakhir biarpun Raja bersama Editor Hiburan Utusan Malaysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin serta beberapa rakan artis seperti Zaiton Sameon, Uji Rashid, Hail Amir dan Fazli Zainal menunggu di bilik mayat Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya, sejak jam 3.30 pagi lagi. Kami turut mengiringi jenazah ke masjid dan perjalanan terakhirnya ke pusara, namun sudah ditakdirkan tiada rezeki nak menatap wajahnya. Zaiton dan Uji nampak terkilan sangat dan tak henti-henti menitiskan airmata. SUKA MERAJUK Raja dan arwah yang lebih mesra dipaggil Kak Ani bukan kenal sehari dua. Sejak mula bekerja sebagai wartawan pada awal tahun 1990-an, Raja sudah biasa dengan kisah suka duka Kak Ani. Sebutlah apa saja konsert dan persembahannya, sampai ke Singapura pun Raja pernah mengikutnya. Jarang tidak hadirkan diri, bimbang mengecilkan hatinya, Kak Ani suka merajuk ... Sebenarnya terlalu banyak kenangan antara Raja dan Kak Ani sehinggakan Raja sendiri tidak tahu apa yang nak ditulis. Hati ini dipalit rasa sebak memanjang ... Sebelum dimasukkan ke Hospital Pakar Damansara, Raja bersama Pengarang Bersekutu Hiburan/BH2, Hanizam Abdullah atau Kak Cham sempat mengunjunginya di rumahnya pada 21 Jun lalu iaitu dua minggu sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir. Entahlah, hati ini tiba-tiba terlalu mengingatinya, lebih-lebih lagi mendengar keadaan kesihatannya yang tidak menentu. Raja masih ingat, ketika berada di rumahnya, beliau duduk di atas kerusi roda dan bernafas menerusi bantuan oksigen. Wajahnya sudah berbeza dan kelihatan agak 'sembab'. Matanya agak membengkak dan berair. Raja jadi emosi dan menangis, sambil memeluk dan menciumnya. Kami sama-sama menangis dan berpelukan lama! Dalam hati terdetik, Kak Ani tidak pernah kelihatan sakit seteruk ini! Banyak yang dibualkan sepanjang hampir empat jam bertemu, dari cerita peribadi hinggalah soal industri hiburan. Seperti kebiasaannya, pembantu rumahnya, Mus dan Bibik sibuk menghidangkan makanan yang enak-enak, sambil kami berbual. ARWAH LEMAH Dari menu makan malam, pencuci mulut hinggalah buah-buahan, semuanya serba lengkap dan pelbagai. Tapi, hati ini menangis lagi apabila melihat Mus terpaksa menyuapkannya makanan. Arwah seperti tak gagah menyuapkan makanan ke mulutnya sendiri. Malam itu, Raja sempat usap tangannya, Raja katakan tangan gebu dan mulus ini tidak pernah sebengkak ini. Raja cakap padanya sambil menangis. Raja tak sangka keadaannya selemah ini. Sebenarnya kaki Kak Ani juga membengkak dan tidak kuat menyebabkan beliau terpaksa menggunakan kerusi roda, malah Raja sedih apabila mendengar beliau beberapa kali jatuh. Beliau pula ketika itu cuba menyakinkan Raja bahawa beliau semakin pulih. Katanya, oksigen yang digunakan untuk memudahkan pernafasannya, bukannya bermakna kesihatan makin teruk. Hanya dua bulan saja lagi beliau akan menggunakannya. Mendengarnya, Raja rasa sedikit lega. Ohhh, mungkin betullah tu ... Kami terus bersembang, macam-macam perkara dibualkan, tapi biasalah, banyak perkara menjadi rahsia. Jadi, biarlah Raja dan Kak Cham simpan rahsia ini dulu. Ketika jam menghampiri tengah malam, Raja dan Kak Cham terpaksa meminta diri. Sebelum berpisah, kami menangis lagi. Terasa sukar nak melepaskannya. Dari kejauhan beliau memandang kami dengan pandangan sayu hati ... Dan rupa-rupanya itulah perpisahan abadi kami sebelum beliau menutup mata pada 5 Julai lalu. Dan, Raja menjadi wartawan yang terakhir menemubual penyanyi evergreen yang berjasa hampir 45 tahun dalam industri hiburan tanahair itu. MASIH TERNGIANG-NGIANG SUARA ARWAH Dan ketika menulis artikel ini, masih terngiang-ngiang kelunakan dan kemanjaan suaranya membisik 'I Love U' sebelum kami berpisah lewat malam Sabtu itu ... Cerita Kak Ani suka melakukan persembahan amal sudah sebati dengan kami. Bertahun-tahun Kak Ani buat persembahan untuk mengutip dana membantu anak-anak tahfiz, anak yatim dan ibu tunggal miskin. Apabila mendengar anak yatim, fakir miskin, warga emas dan sekolah atau madrasah tahfiz daif yang memerlukan bantuan, pantas tangannya merencanakan persembahan amal untuk menghulurkan sumbangan yang termampu. Biarpun sikit, tapi itulah Kak Ani, besar hatinya mahu membantu mereka yang memerlukan. Dan satu cerita yang Raja simpan terlalu lama ... Kak Ani ni sebenarnya seorang yang sangat pemurah. Beliau melakukan kerja amal sejak muda lagi. Beliau pernah derma satu lori makanan dan kelengkapan untuk insan yang kurang bernasib baik. Satu lori, bukannya sikit! Banyak lagi projek amal yang dilakukan, tak terhitung dengan jari. Raja sering ingat kata-katanya pada Raja, 'inilah saham akhirat'. Ketika Kak Ani ditimpa susah kes dakwaan menyebar e-mel fitnah, Raja berkampung di rumahnya boleh dikatakan setiap hari. Sampaikan hari cuti pun diminta bekerja. Dan boleh dikatakan setiap hari artikel Kak Ani keluar muka depan akhbar BH. Raja masih ingat, ketika berpuluh-puluh wartawan menunggu di hadapan rumahnya dalam panas terik matahari, Raja pula mendapat laluan mudah masuk ke rumahnya. Mus sudah menunggu Raja di pintu belakang. Kasihan juga pada teman-teman lain yang menjalankan tugas, berjam-jam menunggu di hadapan kediamannya di Lorong Utara, Petaling Jaya, tapi apakan daya, kepercayaan hanya diberikan pada Raja. RAMAI MAHU MELAWAT Dan ketika Kak Ani masih mendapat rawatan di Hospital Pakar Damansara selepas diserang dua lelaki di Bandar Utama pada 2004, hanya Raja dibenarkan masuk menziarahinya keesokan harinya. Raja masih ingat, ramai wartawan menunggunya di luar, tapi beliau enggan bertemu. Puas memujuk, teman-teman di luar mohon pertolongan Raja, mereka sudah berada di hospital sejak pagi lagi. Akhirnya, puas memujuk, Kak Ani bersetuju, itupun sudah petang. Kalau ikutkan kenangan kami, berjela-jela mahu ditulis, ada yang Raja masih ingat, ada juga yang sudah lupa, maklumkan sudah hampir 20 tahun saling mengenali ... Cukuplah di sini, Raja tidak mampu meneruskan kata-kata lagi, hati ini cukup sebak mengenangkannya dan menahan titisan airmata. Damailah dirimu di sana wahai Sri Dewi Malam ... Al-Fatihah
RAJA:
Salam takziah buah anak arwah,
Aliff Omar.
Artikel lain yang berkaitan:
Aznil Enggan Dedah Isi 'Surat Misteri'
(BH Ahad:
B*Pop
– 13 Julai 2014)
Sepintas Kenanganku Bersama Sharifah Aini
(BH Ahad:
B*Pop
– 13 Julai 2014) |