SEPINTAS KENANGANKU BERSAMA SHARIFAH AINI 'Aku Fikir ...' oleh Rosyam Nor (BH Ahad: B*Pop – Ahad, 13 Julai 2014) |
Tanggal 7 Ramadan lalu kita dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini pada usia 61 tahun. Aku berada di Singapura pada tarikh pemergiannya. Tak dapat aku bersama yang lain menziarahi buat kali terakhir. Semasa aku di Singapura menghadiri majlis iftar di sana, sempat kami bersama ribuan masyarakat Islam Singapura bertafakur sebentar menghadiahkan Al-Fatihah buat arwah. Kita kehilangan sebutir lagi mutiara seni negara yang telah banyak berjasa. Tidak banyak cerita arwah yang kita dengar sejak kebelakangan ini sebelum kita dikejutkan dengan berita arwah berada di bilik ICU pada hari sebelumnya. Inilah yang dikatakan takdir Allah, apabila sampai masanya kita juga akan menyusul. Hidup, mati, rezeki dan jodoh pertemuan sudah Allah tentukan, dan perkara ini tidak boleh kita ubah. Arwah sudah berada di fasa ketiga iaitu alam barzakh, selepas melalui fasa pertama iaitu alam roh dan fasa kedua iaitu alam dunia dan akan bersama-sama kita nanti ke fasa ke empat iaitu alam akhirat. Aku tidak berapa rapat dengan arwah, tapi aku membesar dengan kehebatannya. Kelunakan suaranya membuai setiap pendengar. Aku masih ingat semasa ibu aku berkerja sebagai orang gaji di sebuah rumah di Bangsar. Kebetulan arwah tinggal berhadapan dengan rumah tempat ibu aku berkerja. Itulah kali pertama aku dapat melihat wajahnya. Wajah penyanyi yang paling popular ketika itu. Aku hanya mampu melihat dari jauh saja. Dipendekkan cerita, ditakdirkan Allah aku pun jadi pelakon dan diberi peluang oleh pihak RTM. Inilah kali pertama aku dapat bersua muka dan berbual dengan arwah. Apabila aku menjemputnya untuk ke pentas mendendangkan lagu, dengan penuh semangat aku menyebut, �Terimalah, penyanyi kesayangan ramai, biduanita Sharifah Aini �!� dan dia tersenyum memandang aku yang berada di tepi pentas sambil melangkah menuju ke tengah pentas untuk memulakan persembahan. akan terpegun Sudah pastinya semua terpegun apabila beliau mula mengalunkan suaranya yang gemersik yang jarang dimilkli oleh penyanyi lain. Sepanjang yang aku terbabit aku melihat persembahannya di kaca TV, pasti penonton akan memberikan tepukan setiapkali beliau mula menyanyikan baris pertama lagu dendangannya. Sekitar penghujung tahun 2009, aku dikejutkan dengan satu panggilan telefon. Setelah memperkenalkan dirinya Sharifah Aini, aku tergamam kerana tidak menyangka seorang legend menghubungi aku. Kelam kabut juga aku apabila beliau menjemput aku datang ke rumahnya. Katanya nak berbincang sesuatu dengan aku. Aku terus bersetuju. Ini peluang aku dapat betul-betul rapat secara formal bertemu beliau. Sampai masanya aku pun ke rumah beliau di Petaling Jaya. Aku disambut oleh Kak Pah (aku memanggilnya dengan nama itu) dan beberapa sahabatnya. Sebelum memulakan perbincangan, beliau bawa aku pusing kawasan rumahnya, mungkin kerapkali aku memuji rumahnya cantik dan besar. Hebat, ada perpustakaan yang dalam ruang pejabatnya yang dilengkapi beribu-ribu buku, ruang solat yang boleh nampak langit dan dapur yang indah. Tetapi lebih hebat lagi seluruh ruang rumahnya yang sempat aku lihat dan lawat diutamakan kebersihan dan menampakkan dirinya seorang bintang besar dan hebat yang bukan calang-calang. Tidak ramai artis di Malaysia yang ada kehidupan yang selesa seperti beliau. minta untuk bekerjasama Perbincangan aku dengan beliau bermula, rupa-rupanya arwah meminta aku bekerjasama dengannya untuk membuat sebuah konsert yang besar dan terakhir katanya. Aku bertanya kenapa pilih saya? Saya bukan orang bidang muzik, saya orang filem. Katanya, beliau yakin yang aku boleh buat kerana melihat aku buat program realiti, Pilih Kasih, dan pada pandangan arwah, program yang sebegitu sukar untuk dibuat, apatah lagi buat kali pertama membuat persembahan teater muzikal secara langsung di kaca TV. Aku kata kepadanya beri aku masa untuk berfikir. Beliau tersenyum dengan jawapan aku. Itulah Kak Pah atau Kak Ani yang tak lekang dengan senyuman. Seminggu aku berfikir akhirnya aku bertemu dengan Kak Pah dan menyatakan aku tidak sanggup. Aku beri alasan bukan bidang aku. Sebenarnya aku nak buat sangat, tapi aku takut konsert itu gagal. Aku tak mahu orang yang aku dan semua orang hormati bakatnya akan dicemuh kerana kegagalan konsert itu dan orang yang menyebabkan segala-galanya berlaku adalah aku. Aku tabik hormat jenama besar dan hebat yang dimiliki arwah. Itulah kali terakhir aku bertemu secara berdepan dengan arwah. Hebatnya orang bernama Sharifah Aini ini, beliau tetap tersenyum dan tidak mamaksa aku. Arwah orangnya pada apa yang aku lihat sentiasa memberikan senyuman. Boleh dikatakan dia murah senyuman, dan senyumannya berserta dengan kejelitaan yang dimilki, tidak hairanlah ramai yang terpukau melihatnya, apatah lagi disertakan dengan bakat semula jadi yang hebat kurniaan Ilahi. Bercakap pasal bakat ni, tak ramai artis yang ada bakat semula jadi baik dalam bidang nyanyian ataupun lakonan, malah dalam cabang seni yang lain sekalipun. Aku fikir ramai yang tidak ada bakat semula jadi, tapi golongan ini akan cuba mengasah bakat mereka sebaik mungkin dengan pelbagai cara. tiada bakat semula jadi Ada juga golongan yang tidak ada bakat semula jadi yang tak ambil tahu tentang potensi graf bakat mereka dengan tidak mahu menimba ilmu. Aku fikir golongan ini ramai. Dan akhirnya mereka tidak dapat menempatkan diri mereka untuk terus kekal dalam industri hiburan ini. Bagi yang cuba mengasah bakat mereka walaupun tidak ada bakat semula jadi, ramai yang berjaya malah ramai juga yang gagal. Tapi aku fikir, setidak-tidaknya mereka mencuba, tidak seperti mereka yang mengharap atau membiarkan saja apa yang terjadi pada karier mereka, golongan ini akan hilang dan sukar untuk menempatkan diri untuk terus dikenali dan dihormati sehingga akhir hayatnya. Itulah kehebatannya yang dimilki oleh arwah. Dari zaman hitam putih sehinggallah sekarang masih kekal terus dikenali dan diminati. Menghibur dan terus menceriakan dunia hiburan tanahair. Tidak banyak keperitan kehidupannya yang khalayak ketahui sebelum arwah pergi meninggalkan kita menuju ke fasa yang ketiga. Dia meninggalkan sejarah dalam dunia hiburan dan aku pasti namanya akan terus diingati dalam lipatan sejarah hiburan tanahair. Semoga dia tenang dan dipermudahkan di sana. Arwah kalau kita lihat kata-katanya di laman sosial sebelum pergi ke fasa ketiga, nampaknya sudah cukup bersedia dan amat pasrah untuk bertemu dengan Pencipta kita. MATI ITU PASTI
Setiap kali ada saja orang yang aku kenali
pergi buat selama-lamanya. Aku selalu berfikir dan berasa amat takut untuk
melalui fasa ketiga. Bukan apa, aku takut dengan persediaan yang begitu
sedikit ini. Aku fikir, aku boleh dikatakan berjaya di fasa kedua ini, tapi
bagaimana nasib aku di sana nanti, memiliki segala ketenangan di tempat
berehat, sementara menanti fasa ke empat seperti dijanjikan Allah Yang Maha
Kuasa. Pasti masa untuk kita ke sana akan datang dan kita tidak boleh lari.
Aku fikir dan semua orang kena selalu fikir, apa yang kita tinggalkan semasa
kita di fasa yang kedua ini, juga kena selalu fikir fasa ketiga sudah
semakin hampir. Kena fikir, tak boleh tak fikir kerana orang lain tak akan
fikir untuk kita, kerana mereka juga berfikir-fikir takut jadi fakir bila
bertemu dengan Allah. Al-Fatihah. Selamat berpuasa.
Artikel lain yang berkaitan:
Aznil Enggan Dedah Isi 'Surat Misteri'
(BH Ahad:
B*Pop
– 13 Julai 2014)
Nostalgia Terakhir Biduanita Negara
(BH Ahad:
B*Pop
– 13 Julai 2014) |