KAK PAH AJAK SYAZLIANA BERDUET oleh aidi Mohamad (Berita Minggu: B*Pop, 5 September 2010) |
Masing-masing mempunyai darah Arab, lalu pesona wajah Datuk Sharifah Aini dan Syazliana mempunyai tarikan tersendiri. Mereka bersatu atas sebab yang kukuh sekaligus membuktikan pertembungan dua generasi, lama dan baru tetap ada keunikan tersendiri. Sekali pandang, gambar biduanita negara yang sudah 42 tahun menghambakan diri dalam dunia seni dengan si tinggi lampai berusia 24 tahun itu saling tak tumpah macam ibu dan anak. Ada bibit kemesraan yang terpancar apatah lagi mereka sudah lama menjalinkan ukhuwah dalam diam. Lebih menarik, ibu kesayangan Syazliana, Noorlaila S Hassan cukup meminati penyanyi yang mesra dengan sapaan Kak Pah itu. Daripada minat ia mencambah silaturahim sejak tiga tahun lalu. Keluarga Syazliana sudah menjadi kawan kepada Kak Pah. Penyatuan mereka berdua yang diadakan di kediaman Kak Pah di Petaling Jaya ada signifikan tersendiri kerana Syazliana turut menjadi artis undangan dalam persembahan Makan Malam Amal: Malam Juitaku Sayang bakal menyusul 15 Oktober ini yang akan di adakan di Dewan Perdana FELDA, Kuala Lumpur, bermula jam 8 malam. Terdahulu Datuk Ahmad Jais sudah mengesahkan pembabitannya dalam persembahan itu. Dalam temubual dengan Kak Pah baru-baru ini, dia mempunyai alasan kukuh mengajak Syazliana menyertai persembahan terbabit. "Ketika diundang ke sambutan hari lahirnya bulan lalu, Kak Pah berpendapat kenapa tidak mencuri peluang menampilkan bakat barut sepertinya. Dia (Syazliana) mempunyai bakat yang besar. Sayang kalau ada yang memandang sepi bakatnya. Jadi dengan menggunakan kuasa veto yang ada pada Kak Pah sebagai penganjur, Kak Pah ambil dia untuk sama-sama memeriahkan majlis," kata Kak Pah. Menurut Kak Pah, pada persembahan itu nanti beliau dijangka menyanyikan 21 lagu antaranya, Penyakit Cinta, 4 Dara, Jatuh Cinta, Rahsia Hati dan Sabar Menanti. Kak Pah juga akan berduet sebuah lagu dengan Syazliana dan dua lagu dengan Ahmad Jais. "Selain itu, Ahmad Jais akan turut menyanyikan lima lagu secara solo, manakala Syazliana pula tiga lagu. Alhamdulillah jualan tiket setakat ini amat menggalakkan. Kak Pah akan menggunakan khidmat tujuh orang pemuzik dan tiga penyanyi latar. Paling utama persembahan ini juga atas paksi amal. Persembahan ini bertujuan untuk membantu dua sekolah tahfiz iaitu Madrasah Tahfiz Baitul Mahabbah, Shah Alam yang didiami 40 pelajar dan Darul Uloom Islamiah, Taman Seri Petaling (42 pelajar)," katanya teruja. Ditanya mengenai sambutan Ramadan kali ini, Kak Pah berkata, dia menyambutnya bersama anak tersayang, Aliff. Anaknya itu pulang bercuti ke Malaysia sejak 2 Julai lalu dan hanya akan pulang ke Madinah pada raya kelima. Selain itu, Kak Pah juga takkan ketinggalan melakukan solat tarawih sepanjang Ramadhan. TAK SANGKA BERKONGSI PENTAS Syazliana yang membahasakan dirinya sebagai Syaz akui dia ternyata cukup terharu dan juga tidak pernah menyangka diberi penghormatan untuk berkongsi pentas dengan biduanita kesayangannya, Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah. Graduan Diploma Rekaan Dalaman dari The One Academy of Communication Design di Sunway itu turut mengagumi aura yang terpercik penyanyi yang dipanggil sebagai makcik itu. "Secara tak langsung minat mama saya terhadap Datuk Sharifah Aini mengalir kepada Syaz. Malah ada lagu dendangannya yang dinyanyikan oleh mama boleh dihafal Syaz secara automatiknya. Lagu Seri Dewi Malam dan Bunga Tanjung antara lagu yang Syaz minati. Personaliti, ketegasan, cara dia bekerja dan kecantikannya menjadi contoh terbaik untuk penyanyi muda seperti Syaz menjadikannya sebagai ruang memperbaiki kelemahan diri. Beliau antara penyanyi lama yang masih bertahan hingga sekarang dan masih menyinar di dalam liganya yang tersendiri," kata penyanyi yang mesra membahasakan dirinya Syaz itu. Dalam perkembangan lain, penyanyi lagu 'Bahaduri' itu juga akan melancarkan single terbarunya, 'Kau Indah' menampilkan Azan Ruffedge selepas musim raya nanti. Malahan klip video lagu terbabit juga sudah siap dirakamkan dan menunggu waktu untuk dimainkan di kaca TV. Minat Syaz dalam dunia nyanyian tak pernah terhakis sekalipun Syaz sibuk dengan dunia perniagaan. Sebagai jaminan, Syaz juga memerlukan kerja lain untuk menjamin kehidupan. Sejak tiga tahun lalu juga, Syaz menjalankan syarikat pengiklanan, Seinna Studio Sdn Bhd," katanya yang dijangka menyambut lebaran di Petaling Jaya, Kedah dan Pulau Pinang. INFO MALAM JUITAKU SAYANG Persembahan pada 15 Oktober 2010, jam 8 malam Lokasi di Dewan Perdana FELDA, Kuala Lumpur Tempahan tiket atau mendapatkan maklumat mengenai persembahan ini, boleh hubungi talian 019-3488054 dan 012-9332373 atau e-mail limeevent@gmail.com Harga bagi meja korporat bermula RM7,500, RM4,500 dan RM3,500 Artikel lain yang berkaitan: Kenangan Indah Peminat Kak Pah (Berita Minggu: B*Pop – 7 November 2010) Lega Janji Sudah Tertunai (Berita Harian – Khamis, 4 November 2010) Aura Kak Pah, Ahmad Jais Sukar Dilawan (Harian Metro – Selasa, 2 November 2010) Duit Persembahan Untuk Pelajar Tahfiz (Berita Minggu: B*Pop – 24 Oktober 2010) Malam Juitaku Sayang Ditunda 31 Oktober (Berita Minggu: B*Pop – 3 Oktober 2010) Sharifah Aini Teruskan Misi Amal (Berita Harian – Selasa, 6 Julai 2010) Sharifah Aini Ingin Terus Membantu (Utusan Malaysia – Rabu, 30 Jun 2010) Duet Kak Pah, Ahmad Jais (Harian Metro – Khamis, 24 Jun 2010) |