LEGA JANJI SUDAH TERTUNAI oleh Hanisah Selamat (Berita Harian: Khamis, 4 November 2010) |
Dalam sesuatu persembahan, Datuk Sharifah Aini sememangnya tidak menghampakan. Persembahan Malam Juita Ku Sayang yang berlangsung di Pacific Ballroon, Hotel Seri Pacific menjadi bukti aura ikon seni yang cukup akrab dipanggil Kak Pah tetap kuat untuk 'memancing' tumpuan ramai. Tidak perlu bertukar persalinan berulang kali atau menghias pentas dengan gah. Cukup sekadar membariskan tiga penyanyi latar serta enam pemuzik pengiring berpengalaman, persembahannya tetap membuatkan bulu roma meremang dek kelunakan vokalnya. Malam Juita Ku Sayang merungkai sisi insan bernama Sharifah Aini Syed Jaafar bergelar selama penghibur 42 tahun. Biarpun tinggi sanjungan peminat, di sudut hatinya memohon supaya tidak sesekali rasa angkuh bercambah dalam diri. "Lagu Terbang Helang penuh maksud tersirat. Ada individu sudah berada di atas tidak mahu menjenguk ke bawah – sombong dan bongkak. Ia menjadi ingatan kepada semua, terutama diri saya sendiri supaya tidak mudah alpa," katanya sebelum menyampaikan dendangan nukilan Khairil Johari Johar. Hampir 35 pilihan lagu yang diperdengarkan pada malam itu juga difahamkan ada beberapa di antaranya jarang diperdengarkan di khalayak semata-mata mahu memberi kelainan khusus buat peminat tegar Sharifah Aini. Paling menghangatkan dewan tentu saja rangkaian rancak – Zapin Budi, Empat Dara dan Ingatan Manis Di Bulan September yang membuatkan beberapa kelompok penonton bangun bergoyang sama malah sesekali Sharifah Aini turun ke bawah untuk bersama hadirin. Lagu pilihan yang membuatkan penonton tidak senang duduk termasuk Sayangku (I Do, I Do, I Do), Setulus Cinta, Rahsia Hati, Penyakit Cinta selain sebuah bingkisan yang turut berkaitan dengan sejarah perkahwinannya, Inikah Balasannya. "Allah menjadikan saya begitu kuat. Saya pernah melalui perceraian namun masih mampu memandang ke depan malah bersyukur diberi kesempatan menabur bakti kepada insan lain," katanya sebelum membawakan Inikah Balasannya dan Di Malam Persandingan. Enggan membiarkan hadirin dibuai syahdu, bintang peramah itu sempat berjenaka sebelum menyanyikan sebuah lagu lama berjudul Malam Dendangan Ria. "Masa itu badan Kak Pah separuh daripada sekarang. Apa pun fizikal Kak Pah mungkin berubah tetapi Kak Pah tetap Sharifah Aini yang dulu," katanya disambut sorakan gemuruh peminat. Kata penghargaan tidak lekang dari bibirnya. Mengucapkan terima kasih di atas sokongan peminat, sahabat karib dan tidak ketinggalan insan terdekatnya, Mus selaku pembantu setia yang tinggal sebumbung sejak 19 tahun lalu malah tanpa berkira, Mus itulah yang dibawa menunaikan fardu Haji. Pada sidang media yang diadakan selepas persembahan berakhir kira-kira jam 1 pagi, Kak Pah berkata, Malam Juitaku Sayang bermatlamat membantu insan memerlukan iaitu penghuni Madrasah Tahfiz Baitul Mahabbah dan Darul Uloom Islamiah. "Alhamdulillah segala-galanya lancar. Sekarang fikiran saya sudah lapang kerana janji kepada penghuni kedua-dua rumah terbabit sudah dilunaskan dan kami akan menyerahkan dana itu sendiri sebelum menunaikan fardu Haji," katanya. Penghibur kesayangan ramai itu dijangka pulang daripada Makkah pada 21 Disember ini dan selepas itu kembali memenuhi undangan pentas tambahan pula syarikatnya kini masih berkira-kira sama ada menerima tawaran ke Sabah atau sebaliknya. "Ramai yang meminta Malam Juita Ku Sayang dibawa ke Sabah atau Sarawak tetapi kosnya agak tinggi kerana rombongan kami hampir 30 orang termasuk pemuzik dan penyanyi latar. Jika untuk malam ini saja peruntukan mencecah RM150,000, bayangkan kos yang perlu dikeluarkan untuk ke Sabah atau luar negara," ceritanya lagi dengan bersemangat. Terdahulu, MJKS turut menampilkan Datuk Ahmad Jais bersama barisan lagu popularnya termasuk Cenderawasih, Gelisah, Di Ambang Sore dan Lambaian Terakhir yang mendapat tepukan gemuruh sebelum berduet dengan Kak Pah menerusi lagu Juitaku Sayang. Penyanyi remaja, Syazliana membuka tirai acara selama setengah jam bersama lagu Kau Indah, Dia, Diriku Terbelenggu dan Sekadar Di Pinggiran juga berpeluang berkongsi pentas dengan idolanya sebelum Kak Pah meninggalkan pentas tiga lagi lagu pilihan hadirin – Hey!, Burung Pungguk dan Bunga Tanjong. Artikel lain yang berkaitan: Kenangan Indah Peminat Kak Pah (Berita Minggu: B*Pop – 7 November 2010) Aura Kak Pah, Ahmad Jais Sukar Dilawan (Harian Metro – Selasa, 2 November 2010) Duit Persembahan Untuk Pelajar Tahfiz (Berita Minggu: B*Pop – 24 Oktober 2010) Malam Juitaku Sayang Ditunda 31 Oktober (Berita Minggu: B*Pop – 3 Oktober 2010) Kak Pah Ajak Syazliana Berduet (Berita Minggu: B*Pop – 5 September 2010) Sharifah Aini Teruskan Misi Amal (Berita Harian – Selasa, 6 Julai 2010) Sharifah Aini Ingin Terus Membantu (Utusan Malaysia – Rabu, 30 Jun 2010) Duet Kak Pah, Ahmad Jais (Harian Metro – Khamis, 24 Jun 2010) |