DUIT PERSEMBAHAN UNTUK PELAJAR TAHFIZ oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed (Berita Minggu: B*Pop, 24 Oktober 2010) |
Sebaik menyelesaikan Majlis Makan Malam Amal: Malam Juitaku Sayang yang diadakan di Pacific Ballroom, Hotel Seri Pacific, Jalan Putera, Kuala Lumpur pada Ahad, 31 Oktober ini, Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini akan berangkat ke Tanah Suci Makkah mengerjakan fardu haji. Bersama anak kesayangannya, Aliff Oamr Ali, Sharifah Aini atau lebih mesra disapa Kak Pah turut membawa pembantunya, Muslikah Suhaimi dan adik angkatnya, Rosman Jasmi mengerjakan haji. Mereka dijangka berangkat pada 3 November ini, dan dijangka berada di sana selama lebih sebulan. "Walaupun sibuk menguruskan acara amal, tetapi saya tetap mahu menunaikan haji, tahun ini. Walaupun sudah 15 kali mengerjakan umrah, tetapi inilah kali pertama saya mengerjakan fardu haji. Saya rasakan agak terlewat, sepatutnya saya menunaikan haji 10 tahun yang lalu. Bagaimanapun, saya bersyukur dapat mengerjakan haji bersama anak tunggal saya. Inilah impian saya sejak dulu. Saya turut membawa pembantu yang setia, Muslikah kerana itu janji saya sejak 19 tahun berkerja dengan saya. Insya-Allah, tahun depan saya akan menghantar pembantu saya seorang lagi untuk mengerjakan haji. Sebagai persediaan, saya mengikuti kursus dan mengundang ustaz ke rumah. Saya fikir, mengerjakan fardu haji bukan perkara main-main. Saya perlu memperbaiki bacaan terutama cara bersolat yang betul," katanya ketika ditemui B*POP, baru baru ini. Untuk persembahannya pada Majlis Makan Malam Amal: Malam Juitaku Sayang pada Ahad depan, Kak Pah turut mengundang penyanyi veteran terkenal, Datuk Ahmad Jais dan penyanyi remaja, Syazliana. Walaupun ketika itu, tinggal beberapa hari lagi Kak Pah akan berangkat ke Makkah, beliau tetap melaksanakan tanggungjawabnya. Hatinya tidak akan tenang selagi tidak dapat menunaikan janji membantu dua sekolah tahfiz, Madrasah Tahfiz Baitul Mahabbah di Taman Bunga Negara, Seksyen 27, Shah Alam yang didiami 40 pelajar dan Darul Uloom Islamiah, Surau Jamal Assurur, Taman Seri Petaling membabitkan 42 pelajar. "Sebaik selesai acara amal malam itu nanti, saya bersama kakitangan akan menyerahkan hasil kutipan. Hati saya tidak akan senang selagi segala-galanya belum selesai. Saya terharu mendapat kerjasama Syazliana, dia sanggup menyanyi secara percuma pada malam itu. Wang sumbangan diterima akan diserahkan pada anak-anak tahfiz yang memerlukan. Begitu juga Datuk Ahmad Jais, beliau langsung tidak bertanya soal bayaran pada saya. Bagaimanapun, saya faham, bayaran untuknya tetap saya sediakan," katanya. Sebelumnya, penyanyi ini pernah mengumumkan majlis malam amal ketiga itu diadakan di Dewan Perdana Felda pada 15 Oktober lalu. Bagaimanapun ia ditunda pada 31 Oktober ini dan bertukar lokasi di Pacific Ballroom, Hotel Seri Pacific. Acara amal itu dianjurkan Seri Dewi Production Sdn Bhd dan Lime Events Management. "Ia tiada kena mengena dengan jualan meja, sebaliknya pertukaran dilakukan berikutan kesilapan komunikasi dengan lokasi pertama. Alhamdulillah, meja hampir habis dijual. Meja di bahagian depan sudah ditempah peminat dari Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam. Saya amat terharu dengan sokongan mereka yang sanggup menyeberang Laut China Selatan untuk menyaksikan persembahan saya, Ahmad Jais dan Syalizana. "Untuk persembahan kali ini, saya turut menyediakan tempat duduk buat peminat yang mahu menyaksikan persembahan tanpa makan malam dengan harga RM200. Setakat ini, sambutannya cukup menggalakkan," katanya yang membelanjakan RM150,000 untuk malam amal berkenaan dan wang kutipan selebihnya disalurkan kepada dua sekolah tahfiz itu. Saya bertemu macam-macam gelagat manusia ketika menganjurkan tiga malam amal ini. Ada kenamaan yang berjanji mahu mendermakan RM200,000 tetapi sampai sudah, batang hidung pun tak nampak. Saya tidak pernah patah hati, walaupun sukar nak dapatkan bantuan individu perseorangan, tetapi saya percaya masih ramai yang bermurah hati di luar sana. Jangan hanya pandai menabur janji, tetapi tidak dikotakan. Apapun saya sudah biasa kena tipu sepanjang lebih empat dekad bergelar anak seni," katanya sinis. INFO MALAM JUITAKU SAYANG Persembahan pada 31 Oktober 2010, bermula jam 8 malam Lokasi di Pacific Ballroom, Hotel Seri Pacific, Jalan Putera, Kuala Lumpur Tempahan tiket atau mendapatkan maklumat persembahan ini, boleh hubungi talian 019-3488054 / 012-9332373 atau e-mail, limeevent@gmail.com Harga bagi meja korporat bermula RM4,500 dan RM3,500 Untuk perseorangan, tiket berharga RM450 dan RM350 bagi menyaksikan persembahan eksklusif dan makan malam Tempat duduk tanpa makan dengan harga RM200. Peminat dibawa masuk ke dewan selepas selesai acara jamuan. Artikel lain yang berkaitan: Kenangan Indah Peminat Kak Pah (Berita Minggu: B*Pop – 7 November 2010) Lega Janji Sudah Tertunai (Berita Harian – Khamis, 4 November 2010) Aura Kak Pah, Ahmad Jais Sukar Dilawan (Harian Metro – Selasa, 2 November 2010) Malam Juitaku Sayang Ditunda 31 Oktober (Berita Minggu: B*Pop – 3 Oktober 2010) Kak Pah Ajak Syazliana Berduet (Berita Minggu: B*Pop – 5 September 2010) Sharifah Aini Teruskan Misi Amal (Berita Harian – Selasa, 6 Julai 2010) Sharifah Aini Ingin Terus Membantu (Utusan Malaysia – Rabu, 30 Jun 2010) Duet Kak Pah, Ahmad Jais (Harian Metro – Khamis, 24 Jun 2010) |