DATUK SHARIFAH AINI TERHARU

oleh Huzz  (URTV: Edisi Khas Syawal, Ogos 2013)

Pada 6 Julai lalu, berlokasi di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur, penyanyi yang lebih 45 tahun bergiat dalam dunia seni, diraikan oleh rakan-rakan terapat beliau.

Mulanya, Sharifah Aini yang Huzz panggil Kak Ani, segan dan enggan kisah pada malam itu dimuatkan dalam URTV.  Bagaimanapun, setelah Huzz memujuk, beliau mengalah.  URTV juga majalah yang sangat dekat dengan beliau.  Mana taknya, dari zaman anak dara lagi, (awal 70an), segala macam kisah perjalanan seni Sharifah Aini dimuatkan dalam majalah ini.  Zaman itu, Huzz pun masih sekolah lagi.  Mengenalinya dengan dekat pada pertengahan 80an, tak Huzz nafikan, penyanyi ini bukan saja punya jiwa seni yang tinggi tetapi seorang artis yang tak sombong dan berjiwa penyayang.

Tak hairanlah kenapa beliau punya ramai peminat yang kemudian menjadi kawan baiknya.  Nak tahu siapa-siapa yang datang ke majlis ulang tahunnya malam itu?

Bukan sebarang-sebarang orang … selain kawan-kawan rapatnya, kelihatan kelibat tetamu di kalangan hakim, doktor, peguam dan juga ahli korporat.  Huzz nampak di meja VIP dengan beliau ialah doktor peribadinya, Datuk Dr Zainuddin Mat Zan dan isteri.  Tidak terkecuali adik dan abang beliau, Syed Tahir dan Syed Rahim bersama isteri masing-masing.  Hadir juga, kaum keluarga yang lain.  Yang tak kelihatan hanya anak teruna Kak Ani, Aliff Omar, kerana tidak dapat bercuti dari pengajiannya di Madinah.

Makanan yang dihidangkan enak-enak.  Harga hidangan untuk seorang bukan sedikit RM.   Malam itu, istimewa sekali selain persembahan hiburan oleh penyanyi Azizah Basri dan bandnya, kawan-kawan Kak Ani iaitu Aishah Ali (ibunda penyanyi Joe Too Phat), Hajah Aripah, Kelly, Azah Johari, Fatimah Ali, Roslen Fadzil dan Rizal menyanyikan lagu-lagu popular Kak Ani.  Huzz juga diajak naik ke pentas tetapi menolak kerana baru baik demam, tak berapa selesa nak menyanyi.

Lain-lain kawannya yang kelihatan ialah Dr Sherley, Datin Nik Maziah, Datin Gina, Prof Sulaiman dan ramailah lagi.  Malam itu selepas adik-beradiknya dan kawan rapat berucap tentang beliau, Sharifah Aini memberi ucapan balas dengan menyatakan rasa terharu menyambut hari lahir tahun ini.  Beliau menangis dan sebak kerana doktor peribadinya dan kawan-kawan rapatnya kebanyakan, hadir dan sudi meraikannya. 

Selepas majlis, kami berbual.  Katanya, “Kak Ani syukur dengan rahmat dan izin Allah, Kak Ani masih di sini.  Malam ini, Aliff anak Kak Ani tak dapat balik bercuti.  Tak apalah, InsyaAllah, raya nanti dia akan ada di sini.  Perjalanan masa begitu pantas.  Bermacam-macam peristiwa pahit manis sebagai anak seni dan syukur, pada waktu-waktu begini, Kak Ani dikelilingi oleh ramai yang menyayangi.” 

Pada tarikh hari jadinya yang sebenar, jatuh pada 2 Julai lalu, Kak Ani menjemput kenalan datang ke rumah.  Antara mereka ialah Prof Dr Muhaya.  Mereka melakukan solat Jemaah di surau mewahnya.  Sharifah Aini seorang lagi artis tanahair yang memiliki kediaman mewah yang harganya berjuta RM.  Gambar-gambar rumahnya telah Huzz siarkan dalam edisi raya, dua tahun lalu.  Ramai memuji rumah mewah setaraf hotel enam bintang itu.

ANEKA HADIAH

Sharifah Aini menerima banyak hadiah pada malam itu.  Beberapa hari sesudah malam itu, Huzz merisik, apakah hadiah yang diterima.  Wah! Aneka jenama minyak wangi terkenal, beg-beg tangan dan kain jenama terkenal dan mahal-mahal.  “Terima kasihlah kepada yang memberi, seganlah bila orang masih bagi hadiah.  Huzz tahu, balik malam tu, Kak Ani suruh membantu Kak Ani, Muz, letakkan saja semua hadiah di satu meja besar.  Kalau dulu-dulu, dapat saja hadiah … seronok membukanya … tapi kali ini, Kak Ani agak mengambil masa nak meneleknya.  Kali ini tak ada hadiah bunga … sebab kawan-kawan dah tahu, kebelakangan ini, Kak Ani tak berminat dengan hadiah bunga hidup.  Bukan apa, bunga hidup ni, harganya mahal.  Tapi tak tahan lama,” katanya sambil tersenyum.

Aidilfitri tahun ini, Sharifah beraya di Kuala Lumpur saja.  Sejak kedua datuk dan neneknya meninggal dunia, dia jarang balik ke Johor Bahru.  Namun, beliau tak lupa bertanya khabar dengan ibunya, di Singapura.  Kala ke sana, pasti berjumpa.  Ada waktu diajak ummi (ibu)nya, datang ke Kuala Lumpur.  “Macam biasa, kalau raya, Kak Ani … akan menunggu tetamu datang ke rumah.  Juadah Kak Ani suka makan dan jamu orang, tentulah soto, lontong Singapura selain nasi beriani.  Selain itu kuih-kuih raya yang sedap-sedap,” katanya.

Sharifah Aini ini manusia cerewet, setahu Huzz, bukan saja dia teliti soal kebersihan dan perhiasan rumah malah juga soal kuih-kuih raya yang ditempah masuk ke rumah.  Mesti yang berkualiti tinggi.  Untuk tetamu yang datang, beliau hidangkan lauk pauk yang enak.  Pernah, ditempahnya nasi beriani yang datang dari Batu Pahat.  “Tentang menjamu orang yang datang ke rumah, Kak Ani mahu mereka berpuashati.  Tak mahulah menjamu orang, janji lebih kurang aje.  Lagi satu, Kak Aini tak suka memilih VIP dijamu sedap-sedap, yang tak VIP biasa-biasa saja.  Itu bukan Sharifah Aini,” katanya lagi.  Ada masanya, dia akan beraya ke rumah kawan-kawan terapat.  Antara yang pasti dikunjungi beliau ialah rumah Kak Bam.  Kak Ani ‘manja’ dengan beliau dan suka makan aneka juadah hidangan, penulis yang handal memasak itu.

Selain itu pada bulan Ramadan dan Aidilfitri, beliau yang Huzz kenal sejak dulu suka melakukan amal jariah.  Tak lupa anak yatim dan fakir miskin.  Semoga Allah panjangkan usia dan murahkan rezeki kepadanya dan sesiapa yang berjiwa pemurah.  Aamin.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Rai Usia 60 Tahun (Berita Minggu – 14 Julai 2013)

  Bersyukur Terus Disayangi (Harian Metro – Jumaat, 12 Julai 2013)