'SUSAHLAH JADI SHARIFAH AINI' – Aishah

oleh Huzz  (URTV: Yang Indah Yang Hangat – 15 September 2013)

“Jangan ingat senang nak jadi Sharifah Aini!  Susahlah!,” itu kata seorang teman wartawan yang pernah menulis di akhbar berbahasa Inggeris tanahair tak lama dulu.  Siapa lagi gerangannnya, kalau bukan Puan Aishah Ali yang juga ibu kepada Joe Flizow, Too Phat.  Pada malam meraikan ulangtahun ke 60 biduanita cantik itu awal Julai lalu, Aishah yang juga rakan sekampung beliau (kampung Melayu Majidee, Johor Bahru) disuruh kawan-kawannya menjadi Sharifah Aini.

Beliau kena memakai rambut palsu yang pernah dilaram Datuk Sharifah Aini ketika belum bertudung dulu.  Rambut itu pernah digayakan penyanyi ini kala menyanyi di merata tempat pada hari dia tidak mahu menayangkan rambutnya yang lebat itu.  Kini, Datuk Sharifah Aini tak lagi melaram rambut palsu lagi, setelah melaram tudung litup sejak mengerjakan haji, dua tahun lalu.

Malam itu, Aishah juga memakai baju fesyen, Kak Pah.  Aishah bersama-sama rakan-rakan yang lain kena pergi berlatih menyanyi, sebelum buat show menyanyikan beberapa buah lagu Kak Pah di majlis yang diadakan di hotel sama yang pernah menjadi tempat Kak Pah menjayakan beberapa persembahan amal, anjuran syarikatnya (Seri Dewi Malam Production).

“Saya kena berlatih menyanyi.  Lepas tu kena buat persembahan di atas pentas depan khalayak ramai.  Aduh … debarannya satu macamlah.  Pada masa yang sama, kena memakai baju, berjalan dan bergaya macam Sharifah Aini.  Tak ketinggalan memakai pula rambut palsu yang pernah dipakai beliau!  Sejam ‘menjadi Sharifah Aini’ saya dah rasa tak selesa.  Bertanya di hati, macam manalah Kak Pah menjalani semua ini dalam dunia glamour?,” kata Aishah.

Itu baru bab gaya, belum lagi Aishah menjalani kehidupan dan cabaran dalam kehidupan manusia bernama Sharifah Aini.  Apa pun ketika berbual dengannya, kata Aishah, sepanjang beliau berkawan dengan biduanita ini sejak di zaman sekolah lagi, Kak Pah banyak buat kebaikan yang menyejukkan hati.  “Dia manusia yang sangat hormat orang terutama yang lebih tua daripadanya.  Suka bersedekah kepada yang memerlukan dan tak pernah lupa kepada kawan-kawannya,” kata Aishah. 

Seperkara lagi Huzz, tengok, Kak Pah, tak lupa persahabatan dan jasa wartawan walaupun orang itu tak lagi menulis tentangnya sesudah bersara.  Beliau masih menghubungi orang itu dan bertanya khabar.  Malah ada ketika, menziarahi mereka,.  Kalau mendengar orang sakit atau meninggal dunia dia berusaha nak menizarahi dulu.  Sebaliknya, ada artis-artis tertentu, yang lain, nampak berbaik dengan wartawan hanyalah di waktu penulis hiburan itu, masih bekerja sahaja.  Bila wartawan tu dah tak menulis lagi, mereka pun tak lagi bertanya khabar.  Sedangkan dulu, bukan main selalu melepak … makan dan minum malah mengadu masalah di rumah wartawan. 

Kepada artis semacam ini, Huzz nak ingatkan mereka, renungkanlah kata-kata seniman tersohor, allahyarham Tan Sri P Ramle yang berbunyi … inilah sandiwara dunia!  Dialog itu dilafazkan beliau di satu babak dalam salah satu filem arahannya, tentang manusia yang berpura-pura dalam persahabatan.