BERSYUKUR TERUS DISAYANGI

oleh Roslen Fadzil  (Harian Metro: RAP – Jumaat, 12 Julai 2013)

Barangkali sambutan ulang tahun hari jadi Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar (Kak Pah) yang ke-60, baru-baru ini adalah majlis keramaian paling beremosi buat penyanyi lagu Kau Tinggi Di Awan Biru dan Terbang Helang itu sejak lebih 40 tahun menjadi penghibur.  Hakikat ini kerana sepanjang acara itu berlangsung di The View Room, Hotel Royale Chulan, Bukit Bintang, biduanita negara pujaan ramai itu tidak putus-putus sebak dan menitiskan air mata kerana terkenang 1,001 kenangan dalam kotak memori beliau selain tersentuh dengan agenda khas yang disusun buatnya.

Pada malam itu, kira-kira 80 rakan karib Kak Pah diundang khas bagi meluangkan masa bersamanya, merangkumi individu profesional dalam bidang kedoktoran, kehakiman, penerbangan dan korporat.  Kelihatan juga beberapa tetamu daripada kalangan pensyarah universiti, ahli perniagaan, tokoh muzik, politik dan tidak lupa, rakan-rakan media.  Pada majlis yang dihoskan penyampai dan pengacara terkenal, Ishak Nengah itu, Kak Pah berkali-kali menangis tatkala berkongsi pengalaman hidupnya ketika memberikan ucapan selain mendengar kisah lama yang dikongsi oleh rakan sekampungnya bersama tetamu.

Apa yang jelas, walaupun Kak Pah seorang artis, dia hanya bertemu dan bergaul dengan rakan-rakan artis pada majlis rasmi yang dihadiri atau dijayakannya saja kerana dalam kehidupan sebenar, dia dikelilingi mereka yang bukan daripada bidang seni.  Kak Pah berkata, dia benar-benar bersyukur kerana Allah SWT terus memberikan kekuatan hidup kepadanya dan sangat terhutang budi kepada doktor peribadi beliau, Datuk Dr Zainuddin Md Zin yang tidak jemu-jemu mengawasi tahap kesihatannya sejak 13 tahun lalu.

“Ketika kecil dulu saya selalu bertanya kepada diri saya, dapatkah saya menyambut hari jadi yang ke-20, 30, 40, 50 dan 60?  Alhamdulillah, sehingga hari ini Tuhan terus mengurniakan saya kesihatan, semangat dan kekuatan untuk meneruskan kehidupan.  Kata orang, hidup kita ibarat ‘roller coaster’ ada turun dan naiknya.  Bagaimanapun saya rasa sangat bertuah kerana saya sentiasa disokong oleh anda semua yang juga orang-orang penting dalam hidup saya.  Pada usia sekarang, kesihatan adalah perkara utama kerana kalau tubuh badan saya sihat, saya akan dapat terus beribadah dan bekerja (menghiburkan peminat),” kata Kak Pah yang menganggap majlisnya itu satu ‘celebration of friendship’ yang penuh dengan kasih sayang.

Antara tetamu Kak Pah yang sempat bersama Kak Pah pada malam itu termasuklah pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail; bekas pensyarah UiTM yang juga penyanyi 1960-an, Fatimah Ismail; Profesor Sulaiman Abdul Ghani dan pakar neurologi, Dr Abu Salim Idris dan penulis handalan, Aishah Ali yang juga isteri Ishak Nengah.  Kata Kak Pah lagi: “Alhamdulillah saya ingin terus hidup dengan kasih sayang.  Saya tidak mahu menoleh ke belakang dan meratapi apa yang sudah berlaku.  Pada umur yang begini saya hanya ingin melalui kehidupan yang aman, tenang dan sejahtera.  Saya ingin mara ke depan tanpa sekuman pun rasa takut.  Apa yang jelas, bukan senang menjadi wanita berkerjaya sepenuh masa dan ibu tunggal selama 18 tahun.”

Pada malam itu, Kak Pah turut tersenyum kerana dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh rakan-rakannya.  Antara persembahan itu termasuklah nyanyian lagu-lagu popular beliau bersama lagu-lagu ‘evergreen’ Melayu dan Inggeris lain oleh Azizah Basri, Fatimah Ismail serta kenalan rapat seperti Arifa Shain, Azah Johari, Profesor Sulaiman dan Trio Talha.  Menjelang tengah malam, Kak Pah sendiri mendendangkan lagu Kau Tinggi Di Awan Biru, Forever & Ever, Tiada Maaf Bagimu dan Di Malam Persandingan.

Mengimbas sedikit latar beliau, Kak Pah anak pasangan Syed Jaafar Syed Sahil dan Sharifah Noor Syed Ahmad Al-Attas yang dilahirkan di Nee Soon, Singapura pada 2 Julai 1953.  Namun sejak usia lapan bulan lagi, Kak Pah mula dijaga serta dibesarkan oleh neneknya, Tengku Wan Mariam Tengku Wan Tahir serta datuknya, Syed Sahil Syed Ali Al-Jufry, di Majidee, Johor Bahru.  Datuknya seorang pemandu teksi dan kehidupan mereka keluarga bukanlah senang.  Kak Pah sewaktu kecil pernah mengambil upah menggiling cili dan menjual buah nangka serta kuih.  Namun seperkara yang jelas, Kak Pah memang pandai mengaji dan berqasidah dengan suaranya yang merdu.

Titik tolak Kak Pah menjadi artis adalah selepas menjuarai pertandingan Bintang RTS 1968 di Singapura dengan lagu Tiga Malam.  Beliau kemudian disunting menjadi artis rakaman EMI dan terus bertahan dengan label itu selama 38 tahun.  Hasilnya, nama Kak Pah terukir dalam The Malaysia Book of Records sebagai penyanyi paling lama dengan sesebuah syarikat rakaman dan memiliki 135 album.

KEMBALI SIBUK DENGAN FILEM, ALBUM

Meskipun Ramadan kini sudah tiba, Kak Pah sentiasa sibuk menguruskan perjalanan karier beliau untuk beberapa bulan akan datang selain hal-hal biasa di rumahnya.  Pada Ramadan begini, beliau sering mengundang anak-anak tahfiz untuk datang berjemaah di surau yang terletak di rumahnya dan menganjurkan majlis berbuka puasa.  Kak Pah berkata, anak lelaki tunggalnya, Aliff Omar, 31, yang kini masih menuntut di Madinah juga belum pasti akan pulang beraya ke Malaysia pada tahun ini atau tidak.

Selepas Aidilfitri ini, Kak Pah akan kembali merakamkan lagu dengan KRU Records dan sibuk memenuhi undangan nyanyian di Malaysia dan Singapura.  Lebih menarik peminat Kak Pah akan dapat menyaksikan lakonan terbaru beliau dalam filem seram cinta, Penanggal arahan Ellie Suriaty.  Dalam filem itu, Kak Pah memegang watak sebagai seorang ibu keturunan Arab kepada tiga anak muda pada zaman sebelum merdeka.  Turut berlakon bersama Kak Pah, aktres jelita Fasha Sandha sebagai calon menantu kepada salah seorang anak lelakinya itu, lakonan Azri Iskandar.  “Saya harap semoga lakonan saya dalam filem itu akan disukai peminat. Banyak pengalaman baru saya peroleh selepas sekian lama tidak berlakon,” katanya yang sebelum ini membintangi filem Hapuslah Air Matamu, Sumber Ilhamku, Superstar Bintang Pujaan dan Diva Popular.

Mengulas mengenai sikapnya yang suka berterus terang di laman sosial, Kak Pah berkata dia menganggap semua itu sebagai nasihat kepada mereka yang kurang mengenalinya tetapi suka melemparkan fitnah dan tuduhan melulu.  “Ramai orang sekarang mudah menjadi takbur dan melihat orang dengan penuh sifat buruk sangka, tidak berhemah dan langsung tidak menjaga lidah dan percakapan.  Malah ada yang suka mengajak kawan-kawan di laman sosial bersubahat untuk menghina dan mengumpat.  Malu dan mengaibkan orang bagaikan sudah menjadi satu permainan pada hari ini.  Jangan sekali-kali kita menghukum orang tidak kira siapa pun,” ujarnya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Datuk Sharifah Aini Terharu (URTV – Ogos 2013)

  Kak Pah Rai Usia 60 Tahun (Berita Minggu – 14 Julai 2013)