SHARIFAH AINI MENYANYI DI SINGAPURA

oleh Rosli Manah  (Utusan Malaysia: Khamis, 9 Disember 1999)

Tidak mudah bagi seorang penyanyi kalau tidak berbekalkan ilmu dan pengalaman menyanyi yang banyak, berupaya mengadakan persembahan dengan iringan kumpulan orkestra.  Lebih-lebih lagi, Orkestra yang mengiringinya sudah terbilang dengan kehebatan dan mempunyai reputasi tinggi di peringkat antarabangsa.  Tidak hairanlah, pemuzik-pemuzik yang menganggotai orkestra dianggap begitu profesional dan berpengalaman luas dalam bidang muzik.  Sudah terbukti, orkestra yang seumpama itu tidak memilih penyanyi secara sembrono untuk persembahan mereka.

Pastinya, penyanyi pilihan sahaja dan diyakini kemampuan akan diberi penghormatan menyanyi sambil diiringi oleh orkestra.  Dan mereka yang terpilih itu dianggap bertuah kerana diiktiraf persembahan dan vokal oleh kumpulan orkestra yang dianggotai oleh para pemuzik daripada beberapa buah negara.  Begitu juga penyanyi evergreen, Sharifah Aini yang dianggap bertuah kerana diberi penghormatan mengadakan persembahan dengan iringan orkestra Simfoni Singapura.

Sharifah merupakan penyanyi Asia pertama dipilih untuk mengadakan persembahan bersama orkestra terkenal itu.  Dia dijadualkan mengadakan persembahan bersama orkestra itu di Victorian Concert Hall, Singapura pada 8 Februari depan.  Sebagai penyanyi yang telah lebih 30 tahun memperjuangkan seni, Sharifah Aini melahirkan rasa bangga di atas tawaran itu.

"Bukan sebarang penyanyi berpeluang mengadakan persembahan dengan iringan orkestra terkenal itu," kata Sharifah Aini lagi.  Apatah lagi, katanya, anggota orkestra itu terdiri daripada pemuzik daripada pelbagai negara.  Menerusi persembahan itu, dia berharap agar berpeluang mempromosikan lagu-lagu klasik Melayu kepada penonton luar negara.  "Dengan cara itu, lagu-lagu tradisional Melayu akan dikenali," katanya pada pelancaran album ke-70 daripadanya berjudul 'Seri Dewi Sharifah Aini' baru-baru ini.

Pada majlis pelancaran album kompilasi yang memuatkan lagu-lagu terbaik itu, Sharifah Aini turut mengadakan persembahan ringkas khas kepada pihak media.  Sharifah Aini masih mampu memukau penonton dengan nyanyian yang lantang dan suaranya masih merdu walaupun menjangkau usia awal 40-an.  Dia menyanyikan lagu-lagu 'Hapuslah Air Matamu', 'Di Malam Pernikahan', 'Hati Yang Terluka', 'Hiburkanlah Hatiku' dan beberapa lagi.  Penyanyi itu turut mengundang rakan-rakan yang banyak membantunya ketika dia dilanda kesusahan untuk sama-sama memeriahkan majlis tersebut.

Dalam perkembangan lain, katanya, dia ingin meneruskan kerjaya nyanyian sekitar empat atau lima tahun lagi kerana masih ada impiannya dalam bidang itu.  ''Saya ingin habiskan masa lima tahun itu dengan sesuatu yang amat manis untuk peminat saya,'' ujarnya yang bakal muncul dengan album bertema Hari Raya pada Ramadan nanti.  Album bertema Hari Raya yang memuatkan lagu-lagu popular yang pernah dinyanyikan oleh penyanyi lain sebelum ini dalam versinya.  Sharifah Aini juga berkata, kemunculannya sekarang bukan kerana mahu menyaingi penyanyi baru sebaliknya ingin meneruskan perjuangannya yang dimulakan sejak lama dulu.  "Saya lakukan yang terbaik untuk diri saya bukan untuk bersaing dengan penyanyi baru," katanya lagi.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Tetap Hebat (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 20 Februari 2000)

  Sharifah Mampu Tersenyum (Harian Metro – Jumaat, 11 Februari 2000)

  Sharifah Aini Buktikan Diri Penghibur (Utusan Malaysia – Jumaat, 11 Februari 2000)

  Gema Kak Pah Di Victoria Concert Hall (Harian Metro – Khamis, 3 Februari 2000)

  Konsert Simfoni Penghormatan Bagi Kak Pah (Berita Minggu: Bi-Pop – 26 Disember 1999)