SHARIFAH AINI TETAP HEBAT

oleh Napsiah Jani  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 20 Februari 2000)

Dia seorang biduanita yang dikagumi ramai memandangkan pengaruh dan kehebatannya untuk terus kukuh berdiri di atas persada seni lebih daripada 30 tahun.  Apabila konsertnya berlangsung pasti ramai yang tak mahu ketinggalan menyaksikan penyanyi pujaan ramai, Sharifah Aini yang sentiasa 'evergreen' ini beraksi.  Maka tak hairanlah kita sekiranya peminat di negara jiran juga begitu meminatinya hingga sanggup menjemput penyanyi kesayangan ramai ini untuk beraksi di dewan eksklusif, Victoria Concert Hall, Singapura yang hanya memapu memuatkan 1,000 penonton sahaja.

Nampaknya harga tiket S$80, S$100, S$120, S$180, S$200, S$250 tidak menjadi halangan untuk mereka datang.  Malahan ada juga golongan VIP yang sanggup menderma dan membayar harga tiket sehingga S$500, S$700 dan S$1,000.  Lagipun konsert anjuran All Buddy Promotions ini diadakan untuk Tabung Warisan Kesenian Melayu dan membiayai pengurusan Istana Kampung Gelam S$2 juta (RM4.6 juta).

Sesuai dengan tajuk konsertnya 'Suara Legenda – Malam Seribu Kenangan', Sharifah Aini membuktikan dirinya masih hebat dan vokalnya masih mantap untuk beraksi di persada seni tak kira dalam dan luar negara.  Menyaksikan persembahannya, tidak rugi bagi mereka yang datang kerana Sharifah Aini berjaya menceriakan suasana dan membuat penonton tertunggu-tunggu lagu-lagu yang bakal didendangkannya, kerana lagu-lagunya mempunyai nostalgia yang tersendiri kepada sesiapa yang mendengarnya.

Dengan iringan 70 orang pemuzik Orkestra Simfoni Singapura (SSO) termasuk 10 pemuzik dari Malaysia di bawah pimpinan Eddie Marzuki, Sharifah Aini berjaya menguasai penonton untuk menyaksikan persembahannya mendendangkan 22 buah lagu selama dua setengah jam tanpa berganjak daripada tempat duduk masing-masing.  Ia mungkin mengulangi kejayaan konsertnya dengan iringan Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selama tiga hari di Auditorium DBKL sedikit waktu dulu.

Membuka tirai persembahannya pada jam 9.20 malam, Sharifah Aini yang tampil dengan baju jingganya mendapat tepukan gemuruh penonton dan tepukan bergema lagi apabila Sharifah Aini mendendangkan lagu 'Seri Dewi Malam'.  Persembahannya pada malam itu dibahagikan pada empat segmen lagu-lagu daripada tahun 70-an, 80-an, 90-an dan kembali semula kepada lagu-lagu 40-an.  Pada malam itu, penonton juga turut dibuai dengan irama lagu-lagunya yang begitu menusuk kalbu menyingkap kisah suka dan dukanya dalam percintaan seperti lagu 'Di Malam Persandingan', 'Dekatlah Padaku', 'Kau Tinggi Di Awan Biru', 'Putus Kasih' dan banyak lagi lagu.  Dewan yang sememangnya hangat dihangatkan lagi dengan dendangan lagu-lagu Melayu klasikal sekitar tahun 40-am seperti 'Jalak Lenteng', 'Burung Pungguk', 'Bunga Tanjung' dan 'Teratai'.  Selain itu, Sharifah Aini juga menyampaikan sebuah lagu Inggeris, 'Smile' dan dua buah lagu sebagai penghormatannya terhadap Allayarham Sudirman dengan menyanyikan lagu 'Merisik Khabar' dan 'Salam Terakhir'.

Walaupun penat beraksi di atas pentas dengan persembahannya yang mantap, Sharifah Aini juga mampu membuat penonton tidak kering gusi dengan komunikasi dan lawaknya yang begitu bersahaja.  Walaupun konsertnya telah berakhir penonton seolah-olah tidak puas menyaksikan nyanyiannya membuatkan Sharifah Aini menyanyikan semula lagu 'Smile' sebagai kenangan untuk peminat-peminatnya yang berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an.  Selain Sharifah Aini, sebelum itu penyanyi terkenal Singapura, Art Fazil membuka tirai persembahan dengan lagu 'Merindu Kepastian', 'Rainbow' dan 'Fikir-Fikir'.  Turut hadir menyaksikan persembahannya ialah Presiden Singapura, SR Nathan bersama isteri, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Kadir Sheikh Fadzil bersama isteri dan lain-lain tetamu kehormat.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Mampu Tersenyum (Harian Metro – Jumaat, 11 Februari 2000)

  Sharifah Aini Buktikan Diri Penghibur (Utusan Malaysia – Jumaat, 11 Februari 2000)

  Gema Kak Pah Di Victoria Concert Hall (Harian Metro – Khamis, 3 Februari 2000)

  Konsert Simfoni Penghormatan Bagi Kak Pah (Berita Minggu: Bi-Pop – 26 Disember 1999)

  Sharifah Aini Menyanyi Di Singapura (Utusan Malaysia – Khamis, 9 Disember 1999)