SHARIFAH AINI BUKTIKAN DIRI PENGHIBUR

oleh Nafsiah Jani  (Utusan Malaysia: Jumaat, 11 Februari 2000)

Mengasyikkan dan mengagumkan.  Begitulah reaksi peminat terhadap konsert Malam Seribu Kenangan bersama Sharifah Aini yang telah diadakan di Victoria Concert Hall, Singapura, baru-baru ini.  Dengan iringan 70 pemuzik Orkestra Simfoni Singapura (SSO) termasuk 10 pemuzik dari Malaysia di bawah pimpinan Eddie Marzuki, Sharifah Aini berjaya membuktikan kehebatannya sebagai penghibur dengan beraksi diiringi orkestra.

Dengan langkah penuh keyakinan, tepat jam 9.20 malam, Sharifah Aini mula memasuki dewan yang hanya dipenuhi kira-kira 1,000 orang dengan menyampaikan lagu pertamanya Seri Dewi Malam.  Belum pun sempat membuka mulut untuk menyanyi, Sharifah Aini telah mendapat tepukan gemuruh daripada penonton-penonton yang tidak sabar untuk menyaksikan persembahannya.  Baru saja memulakan persembahan, sekali lagi Sharifah Aini mendapat tepukan gemuruh penonton.  Pada malam itu, selain rangkaian lagunya yang memikat hati, Sharifah Aini juga turut menyampaikan sebuah lagu Inggeris, Smile dan dua buah lagu sebagai penghormatannya terhadap Allahyarham Sudirman dengan menyanyikan lagu Merisik Khabar dan Sampaikan Salam.

Konsert anjuran All Buddy Promotions ini bertujuan untuk mengisi Tabung Warisan Kesenian Melayu serta membiayai pengurusan Istana Kampung Gelam yang memerlukan duit sebanyak S$2 juta (RM4.6 juta).

Persembahan pada malam itu dibahagikan pada empat segmen lagu daripada tiga dekad dari tahun 70-an, di samping lagu 40-an.  Selain persembahannya yang mantap, Sharifah Aini juga mampu membuat penonton tidak kering gusi dengan komunikasi dan lawaknya yang begitu bersahaja.  Dalam pada itu, Sharifah Aini juga sempat memberitahu yang kesemua lagu nyanyiannya sekitar tahun 70-an iaitu Di Malam Persandingan diikuti Dekatlah Padaku, Kau Tinggi Di Awan Biru pada malam itu, semuanya berkisar pada kisah cinta dan kehidupannya.  Apabila lagu Seksa dinyanyikan, persembahannya mendapat tepukan gemuruh.

Walaupun kelihatan kepenatan di atas pentas selama 2½ jam menyampaikan 22 lagu, Sharifah Aini masih mampu membuat peminat terhibur.  Kekuatan vokalnya pada malam itu begitu menyerlah apabila Sharifah Aini menyampaikan lagu Jalak Lenteng dan Teratai.  Selain Sharifah Aini, sebelum itu, penyanyi terkenal Singapura, Art Fadzil membuka tirai persembahan dengan lagu 'Merindu Kepastian', 'Rainbow' dan 'Fikir-Fikir'.

Turut hadir menyaksikan persembahannya ialah Presiden Singapura, S. R. Nathan bersama isteri, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Kadir Sheikh Fadzil bersama isteri dan lain-lain tetamu kehormat.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Tetap Hebat (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 20 Februari 2000)

  Sharifah Mampu Tersenyum (Harian Metro – Jumaat, 11 Februari 2000)

  Gema Kak Pah Di Victoria Concert Hall (Harian Metro – Khamis, 3 Februari 2000)

  Konsert Simfoni Penghormatan Bagi Kak Pah (Berita Minggu: Bi-Pop – 26 Disember 1999)

  Sharifah Aini Menyanyi Di Singapura (Utusan Malaysia – Khamis, 9 Disember 1999)