KEHIDUPAN SHARIFAH AINI SUDAH BERUBAH

oleh Huzz  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 13 Oktober 2002)

Semenjak biduanita Sharifah Aini bergelar pengarah eksekutif sebuah syarikat penyediaan bunga-bungaan dan hadiah – Pods & Petal's Giftlab yang mula beroperasi hampir sebulan lalu di Petaling Jaya, Selangor... jadual kehidupannya sudah banyak berubah.  Ramai yang masih tak faham bisnes apa laa yang Kak Aini buat tu. Ada yang tanya pada Huzz apakah Kak Aini buka kedai bunga?  Sebenarnya bisnesnya ialah menyediakan tempahan hadiah.  Kalau kita nak berikan hadiah hari lahir ke, Hari Raya ke, perkahwinan ke dan lain-lain majlis untuk kenalan atau sesiapa yang kita hajatkan ... bolehlah membuat tempahan.  Segalanya diuruskan oleh mereka, termasuk kos penghantaran.  Tak payah susah-susah pening kepala.  Harga tempahan berpatutan dari RM60 - RM1,000 ke atas, ikut hadiah yang kita mahukan.  Kelas gitu!

Antara penyediaan hadiah tu termasuk gubahan bunga-bungaan (jenis segar atau ciptaan tangan) selain barangan lain seperti kek, biskut, coklat, anak patung (untuk hadiah hari lahir) dan macam-macam yang dimahukan penempah.  Pelbagai corak disediakan untuk pelanggan pilih.  Kalau pelanggan mahukan corak mengikut cita rasa mereka pun boleh.  Ada ramai kakitangan yang mahir dalam bidang gubahan ini bekerja di situ.  Malah Sharifah Aini pun sudah mendalami kursus gubahan ini (selama 100 jam).  Huzz seronok menjenguk hasil gubahan mereka tu.  Tak hairan kalau ada pelanggan mengatakan mereka berpuas hati dan mahu teruskan tempahan lain.  Setakat ini, dalam KL penghantarannya percuma, ditanggung oleh pihak syarikat Pods & Petals Giftlab.

Semasa Huzz berborak dengan Kak Aini Rabu lalu, katanya: "Memang betul ... jadual hidup saya dah banyak berubah.  Bukan saja jadual berubah ... kehidupan sekarang saya sudah berubah.  Alhamdulillah saya bersyukur dengan kehidupan yang dijalani sekarang.  Kalau dulu saya banyak habiskan masa dengan keluarga terutama anak-anak selain bisnes nyanyian, sekarang saya 'busy' dengan bisnes baru ini.  Macam mimpi pula difikirkan di waktu sekarang ini saya mengendalikan sebuah syarikat bersama dua sahabat, Jason Ong dan Vivian.  Bisnes ini bukan calang-calang.  Perlukan perhatian.  Apatah lagi saya jenis orang yang teliti dan mengambil berat tentang sesuatu saya buat ... begitulah dengan bisnes sekarang.

"Ada harinya saya akan berada di butik kami yang beroperasi di Petaling Jaya.  Saya juga menyemak segala tempahan melalui faks dan laman web (www.giftlab.com.my) serta memastikan sebelum semua tempahan dihantar, saya dan rakan kongsi saya meneliti semua barangan yang akan dihantar itu.  Kerja sambil lewa, melepaskan batuk di tangga bukan amalan kami.  Segalanya diteliti.  Kepuasan pelanggan diutamakan.  Memang kerja ini menyeronokkan.  Cubalah Huzz bayangkan ... suatu masa dulu saya selalu menerima hadiah seperti bunga-bungaan dan hadiah yang dibungkus cantik bila tiba Hari Raya dan hari lahir saya ... sekarang saya pula mengendalikan bisnes pengurusan tempahan seumpama itu untuk kiriman orang.  Pada saya dunia bisnes yang saya ceburi ini langsung tak membosankan, apatah lagi antara hobi saya sejak dulu ialah menggubah bunga dan hadiah.  Tak cukup tu ... saya rasa sekarang saya juga mempunyai kawan-kawan baru yang terlibat dalam bisnes begini.  "Ada ketikanya saya menghadiri mesyuarat untuk syarikat.  Ada harinya saya bertemu pelanggan di mana kebanyakannya adalah peminat saya.  Terima kasih banyak-banyak kerana memberi sokongan kepada saya.

Sekarang ini dah banyak tempahan kami terima.  Ada yang datang daripada syarikat-syarikat di KL dan luar KL membuat order untuk hadiah-hadiah yang nak diberikan kepada pelanggan atau rakan kongsi mereka menjelang Hari Raya, Krismas, Tahun Baru Cina dan majlis hari lahir.  Paling mudah datang ke pejabat, layari laman web atau hubungi saja kami di talian 03-79557555 atau faks 03-79573233."

Macam mana dengan Aliff yang sedang belajar di Madinah?

Kata Kak Aini: "Setiap tiga hari kami akan berborak di telefon.  Rindu saya kepadanya memanglah tidak pernah padam.  Saya juga memastikan adik-adiknya di sini berjaya dalam pelajaran.  Walau sibuk mana pun saya sekarang ... itu tak bererti saya tak utamakan mereka.  Tentang menyanyi ... saya juga terus menyanyi, tapi untuk album hanya dalam masa tiga tahun saja lagi.  Lepas tu bersara.  Hanya akan menyanyi untuk konsert besar atau undangan sesekali."

Ada tak peminat tak bersetuju dengan keinginan Kak Aini nak bersara menyanyi?

"Ya, memang ada.  Ada menganggap keputusan itu tidak wajar.  Ada yang mahu Sharifah Aini merakamkan album sampai akhir hayat.  Memang peminat saya ni setia begitu sekali mahukan saya terus menyanyi.  Tapi saya sudah berkata ... apabila Aliff sudah belajar di Madinah ... saya perlukan cuma tiga tahun lagi untuk menyanyi."   Begitulah cerita Kak Aini kita.  Kepada peminat yang ingin tahu kisah album terbarunya ... pihak syarikat rakaman EMI Malaysia akan menerbitkan album terkini beliau pada Januari depan.  "Ini kerana masih ada lagu belum siap.  Dalam bulan puasa nanti album raya akan diedarkan, jadi untuk album solo akan muncul pada Januari depan pula," kata Kak Aini.

Khabarnya Kak Aini juga memenuhi undangan memberi motivasi di majlis tertentu?

"Ya, sebelum ini Kak Aini menjayakan majlis yang diusahakan oleh rakan artis dulu – Nozie Nani (pengusaha kecantikan dan rawatan kesihatan Ozon – Nabila Najat di Batu Pahat, Johor).  Kalau ada sesiapa nak menjemput lepas tu pun Kak Aini sudi untuk bercakap mengenai wanita dan keyakinan menempuh hidup selepas berusia 40 tahun."

Hmm ... bagaimana dengan calon suami?  Tak ada yang terkini dalam hidup?

"Dah sibuk-sibuk macam ni sekarang tak fikir bab perkahwinan.  Jodoh tu tengoklah.  Kalau ada jodoh, kahwinlah lagi saya ni.  Tapi hakikat sebenarnya sampai saat ini saya tak ada yang istimewa selain dunia bersama anak-anak dan kerjaya.  Tu saja.  Kesepian seorang perempuan saya berganti dengan kesibukan.  Kalau lelaki nak datang dalam hidup saya ... kalau boleh saya tak mahu bermadu, saya tak mahu yang tidak boleh berkongsi dengan dunia saya.  Saya ingin seorang lelaki yang mempunyai ciri seperti bekas suami saya – Datuk S yang terlalu baik orangnya terhadap saya.  Cuma jodoh kami tak panjang.  Jasa baiknya akan saya kenang sampai bila-bila."

Begitulah dunia terbaru Kak Pah.  Bertambah pengalaman, bertambah kenalan dan bertambah suasana ceria serta tabah menjalani hidup sebagai seorang wanita berkarier.

Artikel lain yang berkaitan:

  Gubahan Sharifah Aini Penyeri ABP-BH2002 (Berita Harian – Jumaat, 18 Oktober 2002)

  Ceburi Dunia Perniagaan Sebagai Persediaan Tinggalkan Dunia Seni (Mingguan Wanita – 11-17 Oktober 2002)

  Sharifah Aini Beri Tempoh Tiga Tahun Lagi (Berita Harian – Selasa, 1 Oktober 2002)

  Dunia Baru Sharifah Aini (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 29 September 2002)