GUBAHAN SHARIFAH AINI PENYERI ABPBH2002

oleh Zul Husni Abdul Hamid  (Berita Harian: Jumaat, 18 Oktober 2002)

Tiga jambak bunga indah hasil sentuhan kreativiti Biduanita Sharifah Aini menjadi penyeri Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2002 (ABP-BH 2002) yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang, Ahad lalu.  Sharifah, pengasas Pods & Petals' Giftlab, butik yang menawarkan perkhidmatan gubahan bunga dan gaya hadiah kontemporari sudi menyediakan cenderahati itu untuk tetamu istimewa ABP-BH 2002, Cik Puan Muda Julita Aishah Abdul Latif serta isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Endon Mahmood.

Kehalusan seni gubahan penyanyi 'Bunga Tanjung' itu juga dapat disaksikan penonton apabila gabungan flora disampaikan kepada penerima Anugerah Seniwati Veteran, Datin Sarimah Ahmad, di pentas.  Bagi Cik Puan Muda dan Datin Seri Endon, gubahan istimewa itu disampaikan kepada mereka ketika majlis koktel berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Genting (GICC), Hotel First World, Genting Highlands selepas acara ABP-BH 2002 selesai.

Bagi penyanyi yang bakal muncul dengan album ke-75 tidak lama lagi, minat mendalam terhadap seni gubahan bunga dan hadiah membuatkannya sering tampil dengan idea tersendiri untuk dihadiahkan kepada teman rapat.  "Dengan adanya syarikat ini, saya bersama rakan kongsi membawa seni gubahan hadiah ke suatu dimensi baru.  Kami juga menawarkan pengkhususan dalam seni pembungkusan hadiah.  Pihak pereka kami sedia berbincang dengan pelanggan untuk memahami kemahuan masing-masing dalam usaha menghasilkan rekaan eksklusif.  Kami sentiasa cuba untuk memberi pelanggan kami sesuatu yang berbeza," kata Sharifah.

Memandangkan musim perayaan Deepavali, Aidilfitri dan Hari Natal hampir tiba, Sharifah dan rakan kongsinya dijangka sibuk menerima pelbagai tempahan.  Bagi Sharifah, kesibukan itu memberinya satu kepuasan yang sukar diungkap dengan kata-kata.  Malah, sudah menjadi pegangan Pods & Petals' Giftlab mementingkan penggunaan barangan berkualiti.  Untuk itu, kata Sharifah, mereka menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat besar seperti Crabtree & Evelyn, Mothercare, Celicakes, Cave & Cellar, Absolute Essential Aromatheraphy, Arnott's Biscuits dan Sincerely Suze's.  "Paling penting, kami ingin memastikan hadiah yang dibeli daripada Pods & Petals' Giftlab akan sentiasa memberi sentimen tulus ikhlas kepada penerima, juga memberi kepuasan kepada pembeli," katanya.  Syarikat berkenaan juga menyediakan pembelian secara on-line menerusi laman web di alamat www.giftlab.com.my.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kehidupan Sharifah Aini Sudah Berubah (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 13 Oktober 2002)

  Ceburi Dunia Perniagaan Sebagai Persediaan Tinggalkan Dunia Seni (Mingguan Wanita – 11-17 Oktober 2002)

  Sharifah Aini Beri Tempoh Tiga Tahun Lagi (Berita Harian – Selasa, 1 Oktober 2002)

  Dunia Baru Sharifah Aini (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 29 September 2002)