CEBURI DUNIA PERNIAGAAN SEBAGAI PERSEDIAAN TINGGALKAN DUNIA SENI oleh Ruzian Mohd Jan (Mingguan Wanita: 11-17 Oktober 2002) |
Kini hampir 35 tahun kemudian nama Sharifah Aini masih gah di persada seni. Dia bukan lagi penyanyi ingusan yang baru ingin mencuba nasib, tetapi telah diletakkan sebagai salah seorang penyanyi legenda tanahair. Kerana itu, walaupun agak terkejut, pelawaan untuk menemu bual biduanita ini tidak dilepaskan. Petang itu Sharifah Aini kelihatan anggun dan jelita mengenakan baju kurung merah pulasan. "Saya merasa lebih tenang dan damai dengan kehidupan saya sekarang. Hidup saya terasa lebih bermakna," akuinya yang kelihatan ceria sepanjang temubual yang berlangsung di rumahnya yang tersergam indah. Kepuasan yang dimaksudkan Sharifah Aini bukan hanya berkaitan dengan kejayaannya sebagai insan seni yang tidak jemu-jemu menghiburkan masyarakat, tetapi lebih kepada kejayaan sebagai seorang manusia bergelar wanita. Sebagai manusia dia mengakui mempunyai cita-cita untuk membina sebuah penghidupan yang sempurna untuk diri dan keluarga. Berpegang pada hasrat murni itu dia gigih menempuh segala badai dan gelombang yang melanda hidupnya. "Syukur kepada Allah kerana biarpun perjalanan hidup yang digariskan untuk saya selama ini bukan satu garisan lurus, namun ia cukup berguna dalam membentuk saya menjadi insan yang lebih tabah dan kuat," ujarnya. Dan kepuasan itu jelasnya lebh terasa apabila dapat menyaksikan putera tunggal kesayangannya mula meniti tangga kejayaan. "Sebagai ibu saya sering diburu rasa bimbang apakah saya dapat menunaikan tanggungjawab dengan baik." Dan tekanan lebih dirasai apabila masyarakat sering menganggap anak-anak artis sukar untuk berjaya. "Biarpun jalan untuk Aliff masih panjang, tetapi sebagai seorang ibu saya berasa cukup bangga dengan apa yang dicapainya setakat ini," katanya sambil menyekat airmata rindu seorang ibu yang terpaksa berpisah jauh dengan anak kesayangannya. Aliff kini melanjutkan pelajaran di Madinah dalam bidang tahfiz al-Quran.
Biarpun sudah dua kali gagal dalam rumahtangga, perkara itu tidak membuatkan dia serik atau mahu melupakan terus tentang cinta dan lelaki. Sebagai wanita Sharifah mengakui ingin dicinta dan mencintai. "Tidak mempunyai suami bukanlah satu masalah besar bagi saya. Saya boleh hidup sendiri. Saya juga tidak gentar membesarkan anak sendirian. Hanya ada ketika, misalnya bila sakit, sedih atau ada masalah, kita akan berasa alangkah baiknya jika ada seseorang untuk berkongsi rasa," beritahu Sharifah yang sudah lima tahun berseorangan.
Baginya kehancuran rumahtangga ada hikmahnya. "Saya jadi lebih sabar, tabah dan berani menghadapi hidup. Lagipun ada kebaikannya. Misalnya sekarang saya boleh pergi melawat Aliff bila-bila saya suka. Sedangkan kalau ada suami hal ini tidak mungkin dapat saya lakukan." Selain itu menurut Sharifah Aini, tanpa ikatan perkahwinan menjadikan dirinya lebih versatile. "Sebagai wanita single saya perlu gigih berusaha bagi menampung kehidupan dan keluarga." Ini adalah antara faktor lahirnya Pods & Petals sebuah syarikat yang memberikan perkhidmatan membuat jambangan bunga, hadiah dan cenderamata melalui pesanan. Syarikat ini dikongsi bersama dua rakan karibnya, Jason dan Vivian. "Sebenarnya sudah lama saya memikirkan tentang bidang perniagaan. Walaupun banyak orang mengajak, tetapi hati saya masih belum terbuka sehinggalah baru-baru ini," terangnya yang mengeluarkan modal lebih RM160,000 dalam syarikat yang mempunyai modal pusingan RM500,000 itu.
Sharifah nampaknya serius dengan penglibatannya dalam bidang ini. Seperti katanya, dia mahu benar-benar terlibat dan bukan setakat meminjamkan namanya sahaja. Untuk itu artis jelita itu sudahpun mendaftarkan diri untuk mengikuti kelas menggubah bunga di masa terdekat ini. "Saya rasa perlu berbuat demikian bagi mengasah bakat yang sedia ada. Lagipun tidak adil jika saya hanya mahu mengaut keuntungan tanpa berbuat apa-apa. Saya tidak mengharapkan perniagaan ini berkembangan dalam sekelip mata. Biar perlahan tetapi mantap." Kiranya penyanyi yang bakal melahirkan album ke 75 tidak lama lagi, sudah mula memikirkan untuk meninggalkan dunia seni. Bukan sekarang, tetapi dalam dua atau tiga tahun lagi. "Saya sudah cukup lama bergelumang dalam dunia ini dan rasanya sudah tiba masa untuk mengundur diri. Lagipun saya bimbang kerjaya saya ini akan memberi tekanan pada Aliff. Mungkin inilah pengorbanan yang dapat saya lakukan sebagai ibu untuk permata hati saya itu." Artikel lain yang berkaitan:
|