'TUHAN TAHU APA SAYA BUAT'

oleh Norhayati Nordin  (Harian Metro: Khamis, 15 September 2005)

Bukan mudah menjadi anak seni yang berjaya dan mampu bertahan hingga kini.  Pelbagai dugaan serta cabaran sentiasa datang menguji diri.  Apapun, dengan hati yang tabah mampu mengatasi segalanya.  Dalam soal ini, sokongan keluarga dan rakan amat penting.  Reda dengan ketentuan Tuhan membantu membina kekuatan diri.  Bagaimanapun, hanya Tuhan dan diri sendiri yang tahu akan kebenaran itu.  Bagi biduanita negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar, beliau berasa lega apabila bukunya, 'Breaking The Silence: 55 Reasons Why Sharifah Aini Was Not Lying' akhirnya dilancarkan, kelmarin.

"Sembilan bulan saya menulis buku ini.  Kini, saya bersyukur kerana ia sudah siap sepenuhnya dan dilancarkan.  Buku ini amat bermakna kerana ia menceritakan situasi sebenar diri saya.  Banyak andaian tidak benar dan kisah buruk menimpa saya selama ini.  Namun, saya tetap tabah menghadapinya kerana percaya Tuhan sentiasa bersama saya.  Malah, Tuhan juga tahu apa yang saya lakukan.  Saya sudah bersedia melancarkan buku ini.  Saya juga tidak takut sekiranya buku ini menimbulkan kontroversi kelak.  Apa yang pasti, semua ditulis dalam buku ini adalah kisah sebenar," katanya.

Sharifah Aini berkata beliau menulis buku itu dengan satu tujuan iaitu mencari keadilan untuk dirinya.  Ini kerana, sudah banyak andaian dan kisah mengenai dirinya diperkatakan.  Baginya, inilah masa untuk menjelaskannya.  "Saya fikir, ini adalah masa yang sangat sesuai.  Sudah tiba masa orang ramai di luar sana mengetahui kisah sebenarnya.  Selama ini, mereka hanya mendapatkan maklumat daripada apa yang ditulis media.  Apapun, sama ada hendak percaya atau tidak, ia terpulang kepada mereka (orang ramai).  Saya tidak minta mereka mempercayainya.  Itu hak mereka, tetapi jauh di sudut hati saya percaya kepada-Nya.  Dalam buku ini, saya menjelaskan semua perkara yang pernah dilalui selama ini.  Bermula dengan kerjaya nyanyian, jatuh bangun saya dalam industri ini, hubungan keluarga, anak-anak, rakan dan semuanya," katanya.

Beliau juga berkata semua yang ditulisnya dalam buku itu adalah benar dan tiada unsur penipuan.  Semua fakta adalah benar kerana beliau mahu pembaca tahu situasi sebenar yang mereka ingin tahu.  Buku setebal 481 muka surat itu berharga RM99.  Ia boleh didapati di pasaran tidak lama lagi.  Selain Sharifah Aini, turut menulis dalam buku itu ialah 'Pakar Gerak Bahasa Badan', Jackson Yogarajah.  Pada majlis itu, Jackson berkata dia berminat menulis buku berkenaan disebabkan dia percaya Sharifah Aini bercakap benar selama ini.  Dia tidak pernah menganggap biduanita negara itu menipu sebelum ini.

"Saya menyifatkan Sharifah Aini sebagai wanita yang berjaya.  Sama ada dalam kerjaya nyanyiannya ataupun keluarga.  Beliau adalah individu hebat dan juga ibu yang cemerlang dalam mendidik anak.  Pencapaian anaknya, Alif Omar Aly@Ali dalam pelajaran perlu dibanggakan.  Ini sudah menunjukkan beliau amat mengambil berat mengenai anak dan keluarga.  Beliau juga berjaya sebagai penyanyi ternama.  Kini, saya mengharapkan supaya buku ini diterima di pasaran.  Semua fakta terkandung di dalamnya adalah benar.  Buku ini amat menarik. Anda akan tahu segalanya mengenai Sharifah Aini selepas membaca buku ini," katanya.

Jackson berkata, buat masa ini buku 'Breaking The Silence: 55 Reasons Why Syarifah Aini Was Not Lying' ditulis dalam bahasa Inggeris.  Ia bagi memudahkan masyarakat membacanya.  Malah, ia juga akan ditulis dalam bahasa Cina.  Hingga kini, buku ini sudah diedarkan di semua kedai buku di seluruh negara.

Artikel lain yang berkaitan:

  Diva Comes Out Fighting (The Sun – Wednesday, 14 September 2005)

  'BTS' Dedah Hubungan Kak Pah Dengan Saloma (Berita Harian – Selasa, 13 September 2005)

  Kebenaran Itu Adakala Menyakitkan (Berita Minggu: Bi-Pop – 29 Mei 2005)