'KEBENARAN ITU ADAKALA MENYAKITKAN'

(Berita Minggu: Bi-Pop, 29 Mei 2005)

Hidup manusia mana yang tidak dirundung masalah.  Mendung tiba, tersirna cahaya namun di penghujung jalan pastinya ada kilauan yang menjanjikan kedamaian.  Datuk Sharifah Aini akur selepas 37 tahun meniti rentas seni yang sarat dengan jalur dan onak cabaran, sudah tiba masanya dia bercerita secara peribadi siapa dirinya yang sebenar.  'Breaking The Silence', autobiografi setebal 400 muka surat bakal dilancarkan Jun ini mendekatkan masyarakat kepada insan bernama Sharifah Aini.

"Saya tidak ada kuasa untuk memaksa peminat supaya mempercayai apa yang ditulis, terpulang sama ada mereka percaya atau tidak.  Memang untuk menegakkan kebenaran itu ada kalanya menyakitkan hati orang.  Tetapi saya perlu keluar dan memberitahu masyarakat apa yang mereka ingin tahu.  Terlalu banyak salah faham mengenai diri Sharifah Aini," katanya, apabila ditanya mengapa perlu dia tampil dengan autobiografi itu ketika nama dan kes mahkamah membabitkannya hangat diperkatakan.

Kepada Bintang Popular, biduanita bersuara emas yang tetap selesa membahasakan dirinya sebagai Kak Pah ini menceritakan mengenai autobiografi berbahasa Inggeris yang mengambil masa tujuh bulan untuk disiapkan ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Diva Popular. Dalam filem itu Kak Pah memegang watak sebagai seorang hakim yang sedang mengendalikan kes membabitkan dua artis popular lakonan Ezlynn dan Umie Aida.

Bintang Popular:  Apa yang mendorong Kak Pah menghasilkan autobiografi ini?

Datuk Sharifah Aini:  Terlalu banyak yang berlaku dalam waktu terdekat ini.  Ia masa terbaik untuk saya menjelaskan apa yang berlaku.  Dulu saya tidak pernah terfikir untuk menghasilkannya.  Tetapi apabila kes e-mel timbul, ada yang berkata apa yang menghairankan bagi Sharifah Aini kerana dulu emak sendiri pun dia pernah saman.  Saya hanya mahu menyatakan kebenaran dan berharap dapat membuka minda dengan menerangkan apa yang tidak jelas dulu.

Bintang Popular:  Boleh jelaskan isi kandungan autobiografi itu?

Datuk Sharifah Aini:  Sebenarnya ini bukan biografi sepenuhnya daripada Sharifah Aini.  Saya hanya memilih sebahagian daripada apa yang pernah saya lalui dulu.  Antara subjek yang diperkatakan termasuk pengkhianatan antara sesama manusia, persahabatan dan penghargaan saya kepada wartawan, perkahwinan dan perceraian serta kes mahkamah saya dengan ibu.

Bintang Popular:  Kes e-mel?

Datuk Sharifah Aini:  Isu itu tidak langsung disentuh.  Insya-Allah, akan menyusul nanti sebuah autobiografi penuh daripada Sharifah Aini.  Walaupun autobiografi ini baru dihantar untuk percetakan, sudah ada permintaan yang baik daripada mereka yang mengikuti perkembangan diri saya.

Bintang Popular:  Tentu banyak yang ingin Kak Pah jelaskan dalam autobiografi itu.  Tidak berdepan masalah untuk menulisnya?

Datuk Sharifah Aini:  Memang di peringkat awal sukar untuk saya memulakannya di mana.  Tetapi, saya bersyukur kerana di belakang saya berdiri kawan-kawan yang sentiasa menghulurkan tangan.  Mereka, termasuk peminat banyak membantu dengan menyediakan bahan dan melakukan kajian untuk saya menyempurnakan autobiografi ini.  Apa yang saya lakukan ini bukan untuk menyakiti hati orang lain.  Memang kebenaran itu menyakitkan, tetapi saya perlu keluar dan menceritakan perkara sebenar.

Bintang Popular:  Mengapa perlu tunggu sehingga sekarang untuk menjelaskan semuanya?  Adakah kerana kes mahkamah yang sedang berjalan?

Datuk Sharifah Aini:  Saya sudah 37 tahun menyanyi dan tidak semua yang saya lalui itu manis belaka.  Selama 27 tahun saya menyimpan apa sebenarnya yang berlaku antara saya dan ibu.  Tetapi, saya tahu saya perlu lakukan sesuatu untuk menghentikan cerita yang tidak manis itu sementara hayat masih ada.

Bintang Popular:  Apa yang menggerakkan hati Kak Pah untuk muncul dalam filem Diva Popular, walaupun hanya untuk satu babak iaitu sebagai hakim?

Datuk Sharifah Aini:  Memang pada mulanya saya tidak mahu berlakon.  Dah lama tak berlakon, kali terakhir 1981 iaitu filem Bintang Pujaan.  Tetapi, Erma Fatima pandai memujuk.  Dia sanggup datang rumah jam 1 pagi dan berbincang mengenainya.  Tidak mengapalah, saya berbesar hati menerimanya walaupun sikit.

Meneliti skrip penuh teliti sebelum beraksiSharifah Aini kembali berlakon selepas 24 tahun tidak beraksi

Bintang Popular:  Tidak terasa ada di antara adegan dalam filem itu seperti menyindir Kak Pah?

Datuk Sharifah Aini:  Saya hanya mahu berseronok, tidak ada niat lain.  Saya tidak melihat apa yang dipaparkan sebagai mempersenda.  Memang kalau difikirkan soal maruah, saya tidak akan menerimanya.  Tetapi saya sporting, berlakon kerana ia tidak ada kena mengena dengan diri saya.  Dalam hidup banyak masalah, kita kena ambil masa untuk ketawa.

Bintang Popular:  Apakah ini bermaksud Kak Pah terganggu dengan kes e-mel itu?

Datuk Sharifah Aini:  Tiada apa yang mengganggu hidup saya.  Walaupun kes itu masih berjalan, ia tidak pernah menjadikan saya susah.  Saya tidak terlalu fikirkan mengenainya kerana suara hati saya adalah jelas.  Tiada apa yang mengganggu.  Malah, saya tidak keseorangan kerana sentiasa ditemani keluarga dan kawan-kawan yang terus setia.

Artikel lain yang berkaitan:

  Tuhan Tahu Apa Saya Buat (Harian Metro – Khamis, 15 September 2005)

  Diva Comes Out Fighting (The Sun – Wednesday, 14 September 2005)

  'BTS' Dedah Hubungan Kak Pah Dengan Saloma (Berita Harian – Selasa, 13 September 2005)