PERGINYA BIDUANITA NEGARA:  tiada lagi seri dewi malam

oleh Zul Husni Abdul Hamid  (BH: Nasional – Ahad, 6 Julai 2014)

 

belasungkawa datuk sharifah aini syed jaafar
(2 JULAI 1953
5 JULAI 2014)

"Saya sangat menghargai segala kasih sayang, ingatan dan budi baik anda curahkan kepada saya selama ini.  Doakan kesejahteraan saya, sedekahkan al-Fatihah, ingatlah saya dalam setiap doa anda.  Insya-Allah kita semua akan menjadi keluarga semula di Jannah."

Itu antara coretan dimuatnaik oleh Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar, 61, menerusi laman Facebook (FB) miliknya 21 Mei lalu, seperti membayangkan detik akhir perjalanan hidupnya, seakan mengerti masa untuknya dijemput Ilahi semakin menghampiri.  Ketika itu, kesihatannya tambah merosot kerana sejak enam bulan sebelum itu, sentiasa berulangalik ke hospital setiap dua minggu untuk pemeriksaan.   Dalam temubual telefon pada 10 Mei lalu, arwah mengakui kesihatannya makin tidak menentu, malah reda andai Allah menjemputnya.

Bahkan sejak setahun lalu, Allahyarham cuba mengelak berada di tempat awam selepas diserang jangkitan kuman pada paru-paru, yang bertambah teruk apabila dijangkiti pula virus Influenza A (H1N1) apabila seorang kenalan membawa teman yang meghidap batuk teruk ke majlis khatam al-Quran di kediamannya.

lawan 3 Penyakit Serentak

Berjuang melawan tiga penyakit serentak, iaitu radang paru-paru, jangkitan kuman dalam paru-paru dan virus H1N1, Sharifah Aini pada suatu pertemuan minggu lalu, tetap optimis meneruskan hidup, malah yakin kesihatannya akan kembali normal dalam tiga atau empat bulan lagi.  Biduanita ini tidak bersendirian ketika berjuang melawan maut, malah kepulangan anaknya, Aliff Omar, 32, dari Madinah selepas dua tahun tidak ditemui, membuatnya semakin bersemangat untuk meneruskan sisa hidup.  Sempat dua minggu bermanja dengan anak kesayangann yang kebetulan bercuti tiga bulan untuk meraikan Ramadan disusuli Aidilfitri, Sharifah Aini pergi menyahut panggilan Ilahi, jam 1.26 pagi semalam di Pusat Rawatan Pakar Damansara, Petaling Jaya, kerana penyakit fibrosis paru-paru.

Pesanan Buat Aliff

Ketika ulangtahun kelahiran Aliff ke-31 pada 15 April tahun lalu, Sharifah Aini yang dipanggil Mami oleh anak tunggal hasil perkahwinannya dengan Ali Bakar pada tahun 1981 itu, tidak lupa menitipkan pesanan.  Turut meluahkan hasratnya melihat Aliff berkeluarga jika diberikan Allah umur yang panjang.  Bersyukur kerana dikurniakan Allah seorang anak yang baik tidak pernah meninggikan suara, Sharifah Aini menyatakan keinginan melihat Aliff menjadi pendakwah berjaya.   Allahyarham juga merestui pemergian Aliff ke Madinah selama 11 tahun kerana menuntut ilmu Allah, meskipun terpaksa berdepan pelbagai dugaan.  Perkahwinan dengan Ali Bakar hanya bertahan setahun sebelum Allahyarham berkahwin kali kedua dengan seorang ahli korporat berpangkat Datuk di luar negara, tetapi turut bercerai pada tahun 1992.

Ingin Bergelar Doktor Atau Peguam

Sharifah Aini dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan dibesarkan di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru oleh datuk serta neneknya.  Selain berkebolehan mengalunkan ayat suci al-Quran dan pernah beberapa kali menjuarai tilawah al-Quran, Sharifah Aini turut aktif dalam bidang nyanyian.  Penah bercita-cita menceburi bidang kedoktoran atau guaman namun memilih bergelar penyanyi bagi meringankan beban datuknya menyara hidup mereka yang amat susah.  Keperitan hidup mendorong Sharifah Aini membantu nenek menjaja kuih-muih di sekitar kampung untuk mendapatkan wang membeli buku.

Rakam Hampir 100 Album

Kerjaya seninya bermula apabila bergelar juara ketika pertandingan nyanyian Bintang RTS di Singapura pada tahun 1968 membawakan lagu Tiga Malam.  Beliau seterusnya dilamar syarikat rakaman, EMI pada tahun 1969 dan merakamkan album pertama, Seri Dewi Malam.  Sharifah Aini pernah berkongsi cerita, pernah diupah 10 cucuk sate selepas menyanyi dan sekiranya bernasib baik akan menerima RM5 atau RM10 biarpun ketika itu sudah bergelar artis piring hitam.  Sepanjang bergelar artis rakaman, beliau menghasilkan 93 album, termasuk tujuh album lagu bahasa Inggeris.

Turut menceburi bidang lakonan dengan membintangi filem Hapuslah Airmatamu (1976), Sumber Ilhamku (1980), Bintang Pujaan (1981), Diva Popular (2006) dan filem terakhirnya, Penanggal (2013).  Juga melakar sejarah sebagai artis tempatan dan Asia pertama mengadakan persembahan di Victoria Concert Hall di Singapura.  Turut dikenali sebagai dermawan, Sharifah Aini sentiasa memberti pertolongan kepada mereka yang kurang bernasib baik.  Di sebalik sifat murninya, Allahyarham kekal merendah diri dan tidak pernah lupa asal-usulnya, malah senang didekati tidak kira sesiapapun.

Pencapaian Sepanjang Bergelar Anak Seni

Mampu membawa pelbagai genre lagu seperti ghazal, Melayu Deli, pop, malar segar, rock dan hip-hop, pernah tercatat dalam Malaysia Book Of Records sebagai Artis Malaysia Pertama Paling Lama Bertahan Di Bawah Satu Syarikat Rakaman.  Pada tahun 2003, beliau menerima Pingat Panglima Jasa Negara membawa gelaran Datuk daripada Yang di-Petrtuan Agong.

AIRMATA SITI DI PUSARA SHARIFAH AINI

KUALA LUMPUR "Demi Allah, Siti tak pernah simpan dalam hati apa yang berlaku antara kami dahulu.  Selepas disatukan dalam satu sesi fotografi sempena 1 Syawal empat tahun lalu, Siti anggap arwah seperti adik beradik.  Apa yang berlaku dulu biarlah berlalu," kata penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang ditemui ketika menziarahi jenazah Allahyarham Datuk Sharifah Aini di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, di sini, semalam.  Penyanyi Biarlah Rahisa itu berkata, selepas sesi fotografi berkenaan, mereka tidak pernah berhubung disebabkan kesibukan masing-masing, namun sebaik mendapat tahu arwah dimasukkan ke hospital, suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa mengajaknya menziarah, namun dibatalkan kerana hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan melawat.

Sebak Terima Berita

"Bagaimanapun, Siti tak pernah lupa berdoa supaya kesihatan arwah pulih," katanya yang mengakui sebak menerima berita mengejutkan itu.  Siti yang tidak dapat menahan airmata terharu kerana arwah dijemput Allah pada bulan suci Ramadan berkata,, sebagai anak seni, beliau amat mengagumi keperibadian Allahyarham yang sentiasa membantu sesiapa sahaja yang memerlukan, malah dengan bakat besarnnya, menggembirakan hati ramai orang.  Arwah bapa Siti antara seorang daripada peminatnya.  Pengalaman mengenalinya, dapat Siti simpulkan arwah sebagai insan seni yang hebat dan berhati mulia.  Kita tak pernah tahu bagaimana nasib kita nanti, justeru Siti harap semua pihak mendoakan yang terbaik agar arwah tenang di sana," katanya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Perginya Biduanita Negara: 'Doakan Kesejahteraan Arwah' (BH Ahad: Nasional – 6 Julai 2014)

  Perginya Biduanita Negara: Pemergian Kak Pah Dirasai (BH Ahad: Nasional – 6 Julai 2014)