PERGINYA BIDUANITA NEGARA:  'DOAKAN KESEJAHTERAAN ARWAH'

oleh Zul Husni Abdul Hamid & Raja Nurfatimah Mawar Mohamed  (BH: Nasional – Ahad, 6 Julai 2014)

sharifah aini banyak jasa, suka bantu orang

Anak tunggal Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Aliff Omar Ali, 32, meminta semua pihak menghalalkan segala kesilapan yang pernah dilakukan ibunya dan berdoa untuk kesejahteraan arwah insan yang disayanginya itu.  "Alhamdulillah, semuanya sudah selesai dan terima kasih kepada semua yang mengambil berat kepada arwah ibu," katanya ringkas ketika ditemui selepas selesai pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, tengahari semalam.

Kelihatan tenang sepanjang pengembumian, Aliff berkata, ibunya ada meninggalkan pesan buatnya dan keluarga tetapi terlalu peribadi untuk dikongsi.  Beliau yang sedang melanjutkan pengajian di Madinah, pulang ke Kuala Lumpur untuk bercuti tiga bulan.  Ibu biduanita berkenaan, Sharifah Noor Syed Ahmad Al-Attas, 80, berkata dia dimaklumkan oleh sepupunya mengenai Sharifah Aini yang sedang koma pada Isnin lalu.

"Saya bersama suami, Musa Baba, 78, bergegas dari Singapura ke Kuala Lumpur.  Ketika itu, arwah sudah tidak sedarkan diri.  Setiap hari saya menjenguk arwah, tapi beliau tidak sedar.  Semalam, saya sempat bercakap dengan dia.  Saya kata Umi sayangkan Ani dan beliau menganggukkan kepalanya.  Arwah sedar barangkali, tetapi tidak boleh bercakap.  Saya berdoa supaya Allah SWT memanjangkan usianya, tetapi takdir sudah tertulis, beliau pergi mendahului saya.  Sebagai manusia, mati itu pasti, saya juga akan menyusul nanti.

Reda Dengan Pemergian

"Saya tidak menyangka beliau terlebih dulu dijemput Ilahi kerana saya merasakan saya akan pergi dulu.  Saya tidak sihat kerana menghidap penyakit jantung dan paru-paru, malah sering keluar masuk wad sejak akhir-akhir ini," katanya dengan penuh sebak.  Sharifah Noor turut terkilan kerana pulang terlebih awal dan tidak menyangka keadaan anaknya itu semakin tenat dan seterusnya menghembuskan nafas terakhir.  Saya reda dengan pemergiannya.  Allah lebih sayangkannya daripada melihatnya menderita sakit," katanya.  Sharifah Noor berkata, arwah anaknya diketahui memang seorang yang baik dan banyak jasa kerana sikapnya suka membantu orang.

Sepupunya, Syed Osman Syed Yahya, berkata dia berada disisi arwah ketika menghembuskan nafas terakhir.  "Saya sampai di hospital kira-kira jam 1 pagi dan ketika itu, saya bersama anaknya, Aliff Omar.  Saya pegang dan cium kakinya tetapi sudah sejuk.  Saya sempat memohon maaf dan minta dihalalkan makan minum selama bertahun-tahun saya tinggal serta menjaganya di rumahnya.  Ketika itu mesin sokongan hayat semakin menurun dan akhirnya beliau menutup mata.  Beliau pergi dengan tenang.  Saya akan tetap ingat pesanan arwah supaya saja menjaga rumahnya jika beliau sudah tiada," katanya menitiskan airmata.

Bekas suami pertama Sharifah Aini, Ali Bakar berkata, beliau sempat melawat arwah yang dalam keadaan koma di hospital, kelmarin bersama anak tunggal mereka.  "Kali terakhir saya berkomunikasi dengan Allahyarham setahun lalu, selepas itu saya mengikuti perkembangan kesihatannya menerusi Aliff dan kawan-kawan.

 

Pesanan Peribadi

"Aliff memberitahu, ibunya ada menitipkan pesanan yang terlalu peribadi untuk dikongsi.  Pemergian arwah menyaksikan industri kehilangan sebutir bintang besar yang menyinar hampir 50 tahun," katanya.  Ali menyifatkan bekas isteri yang dinikahinya pada tahun 1981 itu seperti lilin yang membakar diri untuk menerangi kehidupan orang lain.

"Arwah mengabdikan diri kepada dunia seni.  Walaupun masih sakit, arwah enggan menghampakan permintaan orang yang perlukan pertolongannya dengan memenuhi tawaran persembahan di Singapura.  Sumbangannya kepada dunia seni terlalu besar dan sukar untuk diukur.  Tuhan memberikannya kelebihan dengan bakat yang istimewa.  Arwah seorang pemurah dan sering melakukan kebaikan, malah hingga akhir hayat masih berbakti kepada anak angkat yang disayanginya," katanya.

Jenazah Sharifah Aini yang menghembuskan nafas terakhir di Pusat Rawatan Pakar Damansara disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, jam 12.10 tengahari semalam.  Antara artis yang hadir menziarahi jenazah ialah Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Yusuf Haslam, Datuk DJ Dave, Erra Fazira, Umie Aida, Rubiah Suparman, Habsah Hassan, Julie Dahlan, Misha Omar, Ziela Jalil, Azlina Aziz, Rohana Jalil dan Salwa Abdul Rahman.

Artikel lain yang berkaitan:

  Perginya Biduanita Negara: Tiada Lagi Seri Dewi Malam (BH Ahad: Nasional – 6 Julai 2014)

  Perginya Biduanita Negara: Pemergian Kak Pah Dirasai (BH Ahad: Nasional – 6 Julai 2014)