PERGINYA BIDUANITA NEGARA:  PEMERGIAN KAK  PAH DIRASAI

oleh Zul Husni Abdul Hamid & Raja Nurfatimah Mawar Mohamed  (BH: Nasional – Ahad, 6 Julai 2014)

       

"Saya sedih atas pemergian Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini.  Semoga ditempatkan dalam kalangan yang beriman.  al-Fatihah"

Kenyataan dalam Twitter Perdana Menteri

Pemergiannya satu kehilangan yang tiada pengganti dan berharap keluarganya sabar menghadapi berita sedih itu.  Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan di kalangan orang yang beriman.  al-Fatihah"

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri,  Puan Sri Norainee Abdul Rahman

"Salam takziah buat keluarga Biduanita Negara Kak Pah.  Jasa besar dalam dunia seni tanahair.  al-Faithah"

Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Pertahanan

 

"Kerajaan negeri menyanjung sumbangan dan perjuangan seni Allahyarhamah dalam usaha mengangkat dan mempopularkan muzik Ghazal.  al-Fatihah ..., semoga rohnya dicucuri rahmat"

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Johor

Pemergian Datuk Sharifah Aini ke rahmahtullah bukan hanya dirasai kehilangannya oleh anak kandung, Aliff Omar tetapi turut dirasai peminat setianya.  Sikap pemurah dan penyayang daripada penyanyi yang mesra disapa dengan nama Kak Pah bukan sesuatu yang asing.  Tidak hairan, arwah banyak membantu orang susah dan anak yatim selain mempunyai ramai anak dan adik angkat.  Antara mereka itu ialah penyanyi Shiha, Rosman Jasmi dan Khir Johari.

Rosman Jasmi

Pertama kali jumpa arwah pada September 1998 di Menara KL.  Ketika itu saya menetap di Melaka.  Daripada situ kami jadi kawan.  Kami sudah seperti adik-beradik.  Arwah banyak berkongsi suka duka hidupnya.  Ketika dimasukkan ke hospital, saya melawatnya dua kali.  Keadaannya memang nazak dan semua yang datang diingatkan bersedia dengan kemungkinan buruk.  Kami sama-sama solat hajat tetapi Tuhan sayangkannya.  Mengenali arwah, beliau seorang yang sangat terperinci dari hujung rambut hingga hujung kaki.  Memorinya tajam, contohnya klau sesiapa ada berikan sesuatu kepadanya, tujuh tahun selepas itu pun arwah masih ingat.

Khir Johari

Saya membesar dengan lagu dan lakonannya sejak di bangku sekolah lagi.  Suara dan nyanyiannya bukan sekadar menghiburkan tetapi juga sangat memberi inspirasi.  Arwah juga seorang penulis lirik yang baik.  Ada lagu yang kita dengar umpama isi hati yang dikongsinya.  Arwah menyanyi bukan dari mulut tapi dari jiwa.  Vokalnya bukan sekadar berlagu, sebaliknya menterjemahkan apa yang dirasai di dalam hatinya.  Jika gembira atau sedih, maka mood itu jelas dapat dirasai.  Lenggok suara dan patah lagunya juga cukup sempurna.  Mungkin kerana latar belakang arwah yang pernah menjuarai tilawah al-Quran beberapa kali pada usia mudanya di Johor.

Shiha

Kali terakhir berhubung ketika beliau dimasukkan ke hospital dan itu pun menerusi SMS.  Saya faham mengapa panggilan telefon dan SMS yang dihantar tidak berjawab.  Pada masa sama saya juga bimbangkan keadaan Umi (panggilan untuk arwah).  Hasrat nak melawat Umi terhalang sebab dilarang kerana ia hanya terbuka untuk keluarga rapat saja.  Cuma hati bertambah seronok apabila dapat SMS daripada teman Umi kerana menyangka ada peluang untuk melawatnya.  Tapi SMS yang diterima memaklumkan Umi sudah meninggal dunia.  Saya rasa ralat kerana tak berpeluang menemuinya.  Lebih membuat saya terkilan ialah tak sempat menunaikan permintaan Umi untuk makan kari ikan dari restoran mamak.  Umi memang jarang keluar rumah dan kerana itu saya mahu memenuhi permintaannya.  Kebelakangan ini pun saya sibuk dan ketika Umi di hospital, saya tak mahu mengganggunya.  Arwah sangat penyayang, tegas dan baik hati orangnya.

  INFO   

Hasil seni dan pencapaian Sharifah Aini

Jumlah album dihasilkan

  EP: 15 album

  Era 70-an: 11 album

  Era 80-an: 18 album

  Era 90-an: 13 album

  Era Milenium: 14 album

  Album Hari Raya: 8 album

  Runut Bunyi: 4 album

Filem

  Hapuslah Airmatamu (1976)

  Sumber Ilhamku (1980)

  Bintang Pujaan (1981)

  Diva Popular (2006)

  Penanggal (2013)

Pencapaian

  Juara Bintang RTS (Tiga Malam, 1968)

  Penghibur Terbaik (Anugerah Seri Angkasa, 1972-1977)

  Penghibur Wanita Popular (Anugerah PAPITA 1970-1976, 1979)

  Anugerah Pelakon Wanita Terbaik (Hapuslah Airmatamu: Festival Filem Malaysia 1977)

  Anugerah Lagu Terbaik Asia Pasifik (Anugerah Lagu Asia Pasifik 1975)

  Anugerah Penghibur Terbaik Asia Pasifik (Anugerah Lagu Asia Pasifik 1975)

  Anugerah Darjah Pingat Setia Mahkota Johor, 1983

  Anugerah Pencapaian Seni Terbaik (Anugerah PAPITA 2000)

  Anugerah Khas Planet Muzik  (Anugerah Planet Muzik 2001)

  Anugerah Biduanita Sepanjang Zaman (Darjah Kebesaran Sultanah Kedah 2001)

  Anugerah Emas ERA (Anugerah ERA 2002)

  Anugerah Khas Bintang Popular (Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003)

  Anugerah Tertinggi Biduanita Negara (Anugerah Kecapi 2006)

 

KENANGAN LALU

Artikel lain yang berkaitan:

  Perginya Biduanita Negara: Tiada Lagi Seri Dewi Malam (BH Ahad: Nasional – 6 Julai 2014)

  Perginya Biduanita Negara: 'Doakan Kesejahteraan Arwah' (BH Ahad: Nasional – 6 Julai 2014)