PERSEMBAHAN AMAL KAK PAH oleh Rozdan Mazalan (Berita Harian: Selasa, 31 Mei 2011) |
Pembabitannya dalam melakukakan keraja amal bukan kerana mengejar nama dan atas sebab itu Kak Pah sering mengadakan secara tertutup dan tidak mahu menghebahkan kepada media. Namun, pada 2 Julai depan, Kak Pah akan muncul dalam majlis Malam Simfoni Kasih: Hapuslah Airmatamu yang dianjurkan oleh IKIMfm stesen radio di bawah pengurusan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) bersama Islamic Relief Malaysia (IRM). Majlis amal itu turut menjadi sasaran 12 siri persembahan amal oleh Kak Pah secara peribadi yang dirancangnya sebelum diakhiri dengan konsert mega penghujung tahun ini. Menurut Kak Pah, tiada cara lain lagi yang mampu dilakukan selain menjual suara bagi membantu anak-anak yatim yang memerlukan wang bagi membiayai pelajaran mereka. "Sebenarnya sejak dulu lagi setiap enam bulan atau setahun beberapa kali saya akan mengadakan persembahana amal, baik daripada pihak saya sendiri atau undangan daripada pihak luar bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik. Ini adalah aktiviti amal dan tanggungjawab saya kepada masyarakat selepas lebih 40 tahun karier saya disokong oleh orang sekeliling, kini tiba masanya saya membalasnya semula," katanya. Menceritakan keterbukaan dirinya menerima lamaran daripada IKIMfm dan IRM mengikuti majlis itu kerana kesefahaman objektif yang dilihat melalui hala tuju yang sama. "Sebenarnya ini kali pertama saya bekerjasama dengan IKIMfm dan IRM di dalam menganjurkan program amal. Saya cukup berbesar hati ditawarkan mengadakan program amal ini, lebih-lebih lagi saya menyedari IKIMfm adalah satu-satunya saluran radio kerohanian dan terharu mereka memilih saya yang disifatkan kini sudah melalui alam penghijrahan yang kini berhijab. "Saya juga tidak ada masalah untuk kembali bekerjasama sengan IKIMfm dan IRM sekiranya rezeki dan dipanjangkan usia lagi," katanya yang akan menghiburkan pengunjung dengan 20 lagu malar segarnya. Majlis itu diadakan bagi mengumpul dana bagi disumbangkan kepada golongan fakir miskin, anak yatim, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan ibu tunggal di bawah program Jejak Kasih kelolaan pertubuhan IRM. Majlis akan diadakan di Dewan Utama, Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur yang boleh memuatkan kira-kira 400 tetamu. Ketua Pengarah IKIM Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata, usaha yang dianjurkan bukan sekadar menarik minat pihak lain mengikutinya, malah mahu melahirkan kesedaran kepada semua masyarakat berkaitan sifat suka menderma. "Walaupun kini terdapat banyak badan kebajikan yang turut menganjurkan majlis amal ini, namun kita sebenarnya tidak mahu sekadar mengharapkan badan kebajikan atau kerajaan saja membantu. Seharusnya program bemotifkan tanggungjawab sosial ini hendaklah dikembangkan dari masa ke semasa dan kita menyedari betapa besarnya sumbangan yang berjaya dikumpulan melalui penjualan meja bagi majlis makan malam ini, katanya. INFO
Artikel lain yang berkaitan:
|