JIWA MURNI KAK PAH

oleh Muhamad Huzaimi Abdul Ghafar  (Berita Minggu: Bi-Pop, 10 Julai 2011)

Majlis Makan Malam Amal Simfoni Kasih: Hapuslah Airmatamu anjuran stesen radio IKIM.fmBiduanita bakal sertai konsert amal November ini

Kerjaya nyanyiannya yang mencecah lebih empat dekad tidak sesekali memudarkan kecintaan biduanita negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar atau dikenali sebagai Kak Pah terhadap dunia nyanyian.  Kecintaan pada bidang seni masih utuh, malah lunak suaranya yang merdu memukau telinga terus menjadi igauan pencinta seni.  Kelebihan yang meletakkan Kak Pah sebagai penyanyi yang berada dalam kelasnya yang tersendiri. 

Keampuhan bakat nyanyian masih tiada tandingan.  Ke mana saja langkahnya dibawa, Kak Pah kekal mendapat tempat di hati peminat.  Sokongan terhadapnya tidak pernah beransur kurang sebaliknya jumlah itu semakin bertambah, malah populariti yang dikecapinya menerawang ke pelbagai kelompok peminat termasuk penggemar remaja.

Kehadiran lebih 300 peminat setia ke Majlis Makan Malam Amal Simfoni Kasih: Hapuslah Airmatamu anjuran stesen radio, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKM.fm) di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, baru-baru ini, membuktikan sokongan terhadapnya masih kuat.  Sokongan luar biasa itu membuatkan anak kelahiran Johor yang popular dengan lagu Seri Dewi Malam dan pernah meraih pelbagai pencapaian masih belum puas dalam perjuangan muziknya.

Jiwanya terhadap nyanyian masih subur dan kerana itu, selagi diberikan Tuhan kudrat istilah bersara tidak pernah meniti di ulas bibirnya.  Kak Pah berkata, perjuangan dalam industri muzik perlu diteruskan bagi mengembalikan semula kegemilangan yang pernah dicipta penyanyi sebelumnya.  Atas alasan itu, peminat pernah melihat Kak Pah membanting idea dalam program realiti, Mentor bersama anak didiknya, Shiha membawa keinginan untuk melahirkan bintang yang membanggakan industri hiburan.

Kejituan cintanya kepada nyanyian tidak terhenti di situ.  Selesai Mentor, Kak Pah menyusun agendanya tersendiri dan sebelum Ramadan, beliau akan kembali ke studio untuk rakaman album terbarunya.  "Saya sedang berusaha untuk menyempurnakan rakaman album solo terbaru.  Memilih pop kontemporari, proses rakaman akan bermula sebelum puasa dan insyaAllah, semua perancangan dijangka siap menjelang September.  Tidak seperti album terdahulu yang membabitkan label, saya mengeluarkan modal untuk produksi yang diterbitkan di bawah syarikat sendiri," katanya.

Mengulas persembahannya pada malam itu, Kak Pah berkata, beliau lebih gemar membawakan lagu nyanyiannya sendiri untuk keselesaannya di pentas.  Kepuasan kata Kak Pah akan lebih dirasai apabila menyanyikan lagu sendiri dan pada masa dapat mempromosikan lagu yang pernah dipopularkan kepada peminat remaja.  Pengaruh penyanyi Seribu Mawar itu masih berbisa apabila turut menerima kehadiran tetamu dari Singapura dan Brunei Darussalam yang tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan tandatangan serta bergambar dengannya.

Selain persembahan nyanyian, acara itu juga diserikan lelongan amal koleksi peribadi Kak Pah seperti poster yang ditandatanganinya serta pemotongan kek sempena sambutan hari kelahirannya.  Pada malam itu, Kak Pah mengalunkan 24 lagu seperti Terbang Helang, Seri Dewi Malam, Tunggu Sekejap, Di Malam Persandingan, Kini Hatiku Telah Tertawan, Dari Masa Hingga Masa dan Seiring dan Sejalan.

Kak Pah yang baru selesai menjalankan tanggungjawabnya sebagai mentor kepada bakat baru, Shiha turut merancang untuk menerbitkan sebuah album yang menggabungkan mereka berdua, tahun depan.  Kak Pah berkata, kemunculannya bersama Shiha dalam Mentor memberikan impak besar yang mengembalikan kegemilangan karier nyanyiannya.  "Kolaborasi ini sedikit sebanyak membantu Shiha untuk membina kariernya dalam industri muzik.  Biarpun Mentor sudah berakhir, tetapi hubungan kami masih terjalin akrab.  Saya sentiasa menasihatkan Shiha supaya bersungguh-sungguh dalam membina kariernya.  Sebagai bakat baru, Shiha akan menempuh pelbagai cabaran dalam mencapai cita-citanya itu," katanya.

Kak Pah juga akan terbabit dalam satu lagi konsert amal yang dijadualkan berlangsung pada November ini khusus bagi membantu sekolah di luar Kuala Lumpur serta golongan yang memerlukan.  Setakat ini, pemilik syarikat Pods And Petal Giftlab berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM80 ribu menerusi kutipan amal konsert kepada sekolah tahfiz di seluruh negara.

Sementara itu, Pengarah Radio IKIM.fm, Nik Roskiman Abdul Samad berkata program makan malam itu dianjurkan untuk membaiki tiga rumah penduduk miskin di daerah Pasir Mas, Kelantan dan Baling, Kedah.  Kutipan dana itu juga akan disalurkan bagi program bantuan makanan kepada 200 penduduk miskin di Sik, Kedah serta 400 warga miskin ibu tunggal, Orang Asli dan anak yatim di Bagan Serai, Perak dan Janda Baik, Pahang.  Tutur hadir menyaksikan persembahan malam itu Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Prof Datin Paduka Dr Zaleha Kamaruddin dan Presiden Pewrtubuhan Islamic Relief Malaysia, Zawahir Abdullah.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Tetap Diminati (Utusan Malaysia – Selasa, 12 Julai 2011)

  Kak Pah Ingat Zaman Susah (Harian Metro – Rabu, 6 Julai 2011)

  Jom Tengok Konsert Kak Pah (Berita Minggu: Bi-Pop – 26 Jun 2011)

  Persembahan Amal Kak Pah (Berita Harian – Selasa, 31 Mei 2011)