JOM TENGOK KONSERT KAK PAH

oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed  (Berita Minggu: Bi-Pop, 26 Jun 2011)

(Dari kanan) Pengarah Radio IKIMfm, Nik Roskiman Abd. Samad; Zawahir Abdullah, Sharifah Aini; Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin dan Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel Seri Pacific, Zakaria Musa pada sidang akhbar Simfoni Kasih Bersama Datuk Sharifah Aini, di Kuala Lumpur baru-baru iniMalam Simfoni Kasih: Hapuslah Air Matamu berlangsung 2 Julai sempena hari jadi Datuk Sharifah Aini

Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini sudah sinonim dengan persembahan amal, ia bagai dua jiwa yang disatukan.  Tahun demi tahun, penyanyi bersuara lunak merdu itu tidak pernah lupa melaksanakan persembahan amal untuk menyalurkan dana kepada sekolah tahfiz, surau dan mereka yang memerlukan.  Sekian lama tidak muncul dengan persembahan amal kerana terbabit dengan program Mentor yang melabuhkan tirainya, Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah mengajak peminatnya untuk menghayati lagi pesona rangkaian lagu dan vokalnya dalam persembahan Majlis Makan Malam Simfoni Kasih: Hapuslah Air Matamu bertempat di Grand Ballroom, Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, jam 8 malam pada Sabtu, 2 Julai ini.

Konsert berkenaan yang diadakan serentak majlis makan malam itu dinamakan Malam Simfoni Kasih: Hapuslah Air Matamu bersama Datuk Sharifah Aini dianjurkan stesen IKIMfm di bawah pengurusan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Islamic Relief Association of Malaysia (IRM).  Atas dasar keprihatinan, IRM ditubuhkan untuk memberi keutamaan pada masyarakat setempat bagi bantuan kemanusiaan.  Ia juga bagi memenuhi tanggungjawab sosial kepada rakyat miskin, daif, ibu tunggal, warga tua, anak yatim, orang kurang upaya (OKU), mangsa bencana dan masyarakat Orang Asli yang beragama Islam.

Hasil kutipan bagi persembahan amal Kak Pah akan disalurkan kepada golongan terbabit di Pasir Mas, Kelantan diikuti membaiki tiga rumah penduduk miskin di daerah Pasir Mas (19 Jun), program bantuan makanan untuk 200 penduduk miskin di  Sik, Kedah (25 Jun), membaiki dua rumah warga miskin di Baling, Kedah (26 Jun), program bantuan makanan 400 warga miskin, ibu tunggal, orang asli dan anak yatim di Bagan Serai, Perak (9 Julai) dam Janda Baik, Pahang (23 Julai).  Kak Pah berkata, dia terharu dengan undangan IKIMfm kerana seperti diketahui stesen radio berkenaan berlandaskan agama Islam, apatah lagi penceramahnya dikalangan ulama dan ahli agama.

"Saya tidak mungkin menolak persembahan amal ini, malah saya merancang dengan teliti persembahan kali ini.  Setiap pemuzik yang mengiringi persembahan saya pada malam itu akan berpakaian baju Melayu, begitu juga penyanyi latar wanita, mereka tampil bertudung bagi menghormati penganjur.  Kita seharusnya berpijak di bumi nyata.  Istimewanya, saya akan menyampaikan rangkaian lagu berunsur keagamaan dan kerohanian seperti Keagungan Tuhan, Aku Sujud Padamu, Antara Dua Cinta dan banyak lagi.  Saya tidak akan mengetepikan lagu-lagu popular seperti Terbang Helang, Seri Dewi Malam, Bunga Tanjung, Hapuslah Air Matamu.  Saya akan menyampaikan 25 lagu termasuk beberapa lagu Inggeris pada malam itu.

"Niat saya ikhlas untuk membantu mereka yang kurang kemampuan.  Saya menjual suara untuk meringankan bebanan mereka.  Saya rasa ketenangan yang sukar nak digambarkan dengan kata-kata dan hanya Allah swt mengetahuinya apabila dapat menyalurkan bantuan pada mereka, apatah lagi Ramadan dan Syawal akan kunjung tiba tidak lama lagi.  Saya percaya rezeki akan tambah berlipat ganda jika membantu insan yang dalam kesempitan hidup.  Apabila kita memberi, Allah swt akan memberi semula dengan rezeki lain.  Apa guna hidup senang jika tidak berkongsi rezeki dengan warga miskin, anak yatim, ibu tunggal, orang tua atau OKU.  Setiap hari saya pasti menitipkan doa supaya diberi suara dan kesihatan yang baik supaya saya dapat membantu insan yang memerlukan.  Hanya ini cara yang mampu saya berikan untuk membantu mereka.  Saya bukannya kaya untuk sentiasa menderma tetapi saya ada kelebihan dan dikurniakan suara untuk mengadakan persembahan amal.  Saya tidak pernah lupa, inilah tanggungjawab kita sesama manusia.  Dan juga bekalan untuk akhirat," katanya.

Menyentuh majlis makan malam yang jatuh pada ulang tahun kelahirannya, Kak Pah hanya tersenyum.  Buat kali pertama, Kak Pah mahu meraikannya dengan peminat.  "Ini adalah persembahan istimewa, kebetulan jatuh pada tarikh hari lahir saya.  Sesungguhnya, tiada lain selain mahu mendapat keberkatan, apatah lagi ulang tahun diraikan dengan peminat dalam persembahan amal."  Kak Pah berkata, dia juga memiliki kumpulan sendiri yang sentiasa bergerak untuk memberi bantuan kemanusian dan memantau sekolah tahfiz, agama, surau atau masjid yang memerlukan sumbangan terutama menjelang Ramadan.

"Alhamdulillah, saya mendapat kerjasama beberapa universiti yang sanggup menyalurkan lima komputer untuk Sekolah Agama Kayu Ara, Damansara, baru-baru ini.  Saya tidak malu menulis surat kepada pihak universiti untuk meminta bantuan.  Inilah nikmat yang saya rasakan apabila dapat membantu sesama insan," katanya.

  INFO 

  Majlis Malam Simfoni Kasih: Hapuslah Airmatamu akan berlangsung pada 2 Julai 2011 jam 8 malam bertempat di Grand Ballroom, Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

  Jualan meja ditawarkan pada tiga peringkat iaitu Platinum (RM5,000), Emas (RM3,000) dan Perak (RM2,000).

  Pengunjung juga boleh membeli secara individu yang dijual dengan harga Platinum (RM500), Emas (RM300) dan Perak (RM200).

  Untuk tempahan boleh melayari www.irmalaysia.org.my atau menghubungi 019-3973558 (Farouq) dan 019-2506202 (Siti)

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Tetap Diminati (Utusan Malaysia – Selasa, 12 Julai 2011)

  Jiwa Murni Kak Pah (Berita Minggu: Bi-Pop – 10 Julai 2011)

  Kak Pah Ingat Zaman Susah (Harian Metro – Rabu, 6 Julai 2011)

  Persembahan Amal Kak Pah (Berita Harian – Selasa, 31 Mei 2011)