SHARIFAH AINI SERONOK DAPAT RAYA DENGAN ALIFF OMAR

oleh Huzz  (URTV, 1 Ogos 2012)

Biduanita cantik, Datuk Sharifah Aini gembira kerana dapat menyambut puasa dan raya tahun ini dengan anak terunanya, Aliff Omar.  "Aliff cuti panjang, sepanjang ramadhan dia di sini.  Dah lebih 10 tahun Aliff belajar di Madinah.  Kalau dia tak cuti, kami bertanya khabar melalui internet dan telefon.  Hati ibu ... jauh berbatu dengan anak, ada kala boleh buat menangis.  Ni lepas raya, dia nak balik ke Madinah, sambung belajar lagi, berpisahlah lagi kami," kata Sharifah Aini terhadap anak tunggalnya itu.

Aliff memberitahu Huzz, dia akan berada di Madinah selama dua tahun lagi, selepas itu baru akan balik berkerja di sini. Bila berbuka puasa Aliff suka makan bubur Arab.  Aliff juga akan tak lupa berbuka puasa dan beraya dengan ayahnya, promoter show Ali Bakar dan adik-adiknya (anak-anak Ali dengan isteri lain setelah bercerai dengan Sharifah Aini awal 80an dulu).

Cerita tentang raya, Sharifah Aini yang seronok melaram fesyen tudung litup selepas mengerjakan haji dua tahun lalu, sudah punya kain-kain tudung yang cantik-cantik.  Ada dibelinya dan ada dihadiahkan kawan-kawan baiknya.  Selain itu, bercakap jamuan raya di rumahnya, penyanyi ini sudah mercancang segala macam yang enak-enak seperti soto, beriani daging, ketupat, lemang dan sebagainya.  Ada yang mahu dimasak sendiri dan ada juga yang ditempah dari pakar masak!

Sharifah Aini bukan aje cerewet soal kebersihan dan kemas rumah tetapi bab makan dia mahu yang sedap.  Pernah sekali tu, Huzz dapat tahu, beliau menempah nasi beraini gam yang sedap yang datang jauh dari Batu Pahat untuk majlis di rumahnya.   Biskut-biskut raya di rumahnya pada setiap kali raka mesti berbalang, beraneka bentuk.  Dibuat oleh yang pakar-pakar terpilih dari Johor, Kelantan dan Kuala Lumpur!

Habis Syawal ini, Sharifah Aini akan menghantar salah seorang pembantu rumahnya (yang dipanggil Bibik) untuk pergi mengerjakan haji.  "Tahun lepas dah bawa yang seorang tu (Muz), tahun ini Bibik pula. Kak Ani tak layan dia orang macam pembantu, mereka tu dah macam ahli keluarga," kata penyanyi yang sudah 44 tahun dalam dunia hiburan ini.  Penyanyi ini juga terkenal dengan sikap suka bersedekah di bulan mulia.

Tahun ini, beliau mengaku sedih mengenangkan adik angkat (Allahyarham Hasanah Haji Osman) yang juga pembantu peribadinya (sejak 38 tahun lalu), sudah tidak ada dengannya di bulan mulia ini.  Allahyarham Hasanah meninggal dunia 5 Jun lalu.